
Selepas melalui perjalanan panjang dalam perbicaraan yang mendapat perhatian ramai, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman membabitkan kes pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, panel dua hakim iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan Syed Saddiq pada Jun tahun lalu.
Bagaimanapun, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang turut menganggotai panel tersebut membuat keputusan berbeza.
Menurut Che Mohd Ruzima dan Sequerah, tiada sebarang kesilapan dari sudut undang-undang mahupun prosedur yang boleh dijadikan asas untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan.
Dengan keputusan itu, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan serta denda RM10 juta.
Sabitan dan hukuman berkenaan sebelum ini melibatkan dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.
Sebelum prosiding berlangsung pada pagi tadi, Syed Saddiq dalam kenyataan ringkasnya hanya menyuarakan satu harapan.
Beliau berkata, beliau hanya mengharapkan agar keputusan yang bakal diumumkan berpihak kepada kebenaran.
Dalam masa sama, kehadiran ahli keluarga Syed Saddiq di pekarangan mahkamah turut mencuri perhatian.
Mereka dilihat tidak putus-putus memberikan sokongan moral sepanjang prosiding berlangsung, sekali gus menjadi simbol kekuatan buat Ahli Parlimen Muar itu ketika menanti keputusan yang dinanti-nantikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.