
Debaran menyelubungi suasana di Istana Kehakiman, Putrajaya apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir bagi prosiding rayuan terakhir membabitkan sabitan kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 8.55 pagi dalam keadaan tenang sebelum memasuki bangunan mahkamah bagi mengikuti prosiding yang dinanti-nantikan.
Sebelum melangkah masuk ke dewan mahkamah, Syed Saddiq sempat meluangkan masa bertemu kumpulan pengamal media yang telah berkumpul sejak jam 7.30 pagi.
Dalam kenyataan ringkasnya, beliau hanya mengharapkan agar keputusan yang bakal diumumkan berpihak kepada kebenaran.
“Saya harap keadilan dan kebenaran. Doakan,” katanya ringkas.
Turut mencuri perhatian ialah kehadiran ahli keluarga yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral kepada Syed Saddiq.
Bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Alsagoff, ketika ditemui media di pekarangan mahkamah berkata seluruh keluarga sentiasa mendoakan yang terbaik buat anaknya.
“Bagi pihak keluarga, kami berikan restu dan doa sebanyak mungkin untuk beliau dan Insya-Allah karier beliau sebagai Yang Berhormat akan diteruskan. Amin,” katanya ringkas.
Selain ibu beliau, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, tunang Syed Saddiq iaitu Bella Astillah turut hadir bagi memberikan sokongan.
Mahkamah Persekutuan dijadualkan menyampaikan keputusan sama ada Syed Saddiq akan kekal bebas atau dijatuhi hukuman berhubung empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Prosiding keputusan itu sebelum ini ditangguhkan pada 30 Jun lalu selepas seorang daripada tiga hakim panel mengambil cuti sakit.
Panel tiga hakim yang akan menyampaikan keputusan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sepanjang prosiding rayuan, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pendakwaan sebelum ini merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari ARMADA, melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan dana RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise, selain dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bakal menjadi penentu sama ada Ahli Parlimen Muar itu kekal bebas atau berdepan hukuman atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.