Hobi & Minat

Syahir Rosdi Cipta Rekod Malaysia Book of Records, Sepakan ‘Tekong’ Cecah 2.28 Meter

Share

Baru-baru ini, tekong sepak takraw negara, Syahir Rosdi mencuri perhatian selepas berjaya menghasilkan sepakan tekong setinggi 2.28 meter (m), sekaligus mencipta rekod baru yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori “Highest Tekong Kick By An Individual”.

Menerusi sebuah perkongsian di media sosial milik beliau, Syahir atau pemilik nama sebenar Muhammad Syahir Mohd Rosdi (30) berkata, pencapaian itu dilakukan ketika Karnival GenBlu Yamaha di Setia City Convention Centre, Shah Alam, menerusi cabaran melakukan servis tekong tanpa melompat.

“Terima kasih kepada keluarga besar Yamaha yang membawa saya bersama anda sekarang, saya juga bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Malaysia Book Of Records ‘Highest Tekong Kick By An Indivdual’,” katanya.

“Setelah bertahun menekong saya secara jujur baru tahu saya boleh menekong setinggi 2.28 meter,” ujarnya lagi.

Difahamkan, dalam cabaran tersebut, Syahir perlu melakukan servis dengan mengangkat kaki pada tahap maksimum tanpa bantuan lompatan, selaras dengan teknik sebenar yang digunakan dalam permainan sepak takraw. Keadaan itu menjadikan catatan berkenaan lebih mencabar kerana ketinggian sepakan perlu dicapai sepenuhnya melalui kawalan dan fleksibiliti tubuh.

BACA: Syahir Rosdi Dinobat Tekong Terbaik Dunia! Tahniah!

Pengiktirafan itu turut menyerlahkan keupayaan Syahir yang sememangnya dikenali sebagai antara tekong utama negara, selain memperlihatkan tahap kawalan fizikal dan teknik yang diperlukan untuk menghasilkan servis pada ketinggian luar biasa.

Pada masa sama, dalam karnival yang sama turut membuka peluang kepada pengunjung menyahut “Tekong Challenge” dengan mencuba aksi sepakan yang dipamerkan Syahir. Aktiviti tersebut mendapat sambutan apabila orang ramai diberi pengalaman untuk menguji sendiri kemampuan mereka melakukan tekongan pada ketinggian masing-masing.

Lebih menarik, acara berkenaan turut menyaksikan satu lagi pencapaian apabila aktiviti tersebut berjaya mencatat rekod MBOR bagi kategori “Most Tekong Kicks In An Event”, sekaligus melengkapkan pengiktirafan berganda. 

Terdahulu, Syahir pernah mencuri tumpuan peminat sukan tanah air apabila diiktiraf sebagai antara tekong terbaik dunia oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) selepas konsistensinya dalam aksi antarabangsa yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai antara tonggak utama skuad negara.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE