
Pelakon Sweet Qismina mengakui dia seorang yang cepat bosan sehingga gemar bertukar-tukar hobi.
Terbaharu Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 27, memberitahu dia mula minat mengumpul kad Pokemon yang disifatkan bukan sekadar hobi, malah berpotensi menjadi satu bentuk pelaburan.
Sekeping kad kecil bergambar karakter Pokemon menjadi titik permulaan kepada minat baharu Sweet Qismina.
Apa yang pada awalnya sekadar rasa ingin tahu, akhirnya membuka pintu kepada dunia koleksi yang bukan sahaja menyeronokkan, malah bernilai tinggi.
Berkongsi secara santai, Sweet mendedahkan minatnya terhadap Pokemon Card tercetus selepas menonton sebuah video di Instagram. Video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak yang menangis kegembiraan selepas memperoleh sekeping kad Pokemon yang sangat istimewa.
“Bila tengok dia sampai menangis, saya tertanya-tanya… kad apa ni? Jadi saya Google harga,” kongsi Sweet.
Carian ringkas itu benar-benar membuka mata Sweet Qismina apabila dia mendapati harga kad Pokemon tertentu boleh mencecah lima angka, bergantung kepada tahap rare serta penilaian profesional kad tersebut.
Dari situ, Sweet mula menyelami dunia Pokemon Card dengan lebih mendalam. Antara perkara yang menarik perhatiannya adalah konsep edisi terhad, tahap rare yang berbeza, serta sistem grading yang digunakan oleh badan penilai profesional.
Sistem grading memainkan peranan penting dalam menentukan nilai sesebuah kad. Kad yang memperoleh penilaian tertinggi seperti PSA 10 dianggap hampir sempurna dari segi kondisi fizikal dan cetakan, sekali gus menjadikan nilainya meningkat berkali ganda.
“Kalau jumpa kad rare, lepas tu hantar grading dan dapat PSA 10, memang boleh cecah beribu,” jelasnya.
Walaupun masih baharu dalam dunia koleksi ini, Sweet Qismina sudah mula mengumpul sekitar satu hingga dua kotak Pokemon Card sebagai permulaan. Modal awal yang dikeluarkan hanyalah sekitar RM300.
Namun begitu, nilai semasa koleksi tersebut kini dianggarkan hampir RM600, walaupun masih belum dinilai sepenuhnya melalui proses grading.
“Value tu belum habis check semua lagi, tapi bila nampak naik macam tu, rasa macam okay… maybe this is something new yang boleh explore,” katanya jujur.
Perkembangan ini membuatkan Sweet melihat hobi tersebut bukan sekadar hiburan, tetapi satu bentuk pelaburan alternatif yang menyeronokkan.
Menariknya, minat terhadap Sweet Qismina Pokemon Card ini juga menjadi sebahagian daripada azam tahun baharunya.
Satu pilihan yang agak berbeza berbanding kebiasaan selebriti wanita yang sering menumpukan kepada kecantikan atau gaya hidup semata-mata.
Apabila ditanya mengenai reaksi suaminya, Adam Lee, Sweet hanya tersenyum sambil ketawa kecil.
“Dia gelak je. Sebab hobi ni lain sangat dengan dia,” katanya ringkas.
Walaupun minat mereka berbeza, jelas Sweet selesa meneroka dunia baharu ini dengan sokongan pasangan, tanpa sebarang tekanan.
Fenomena Pokemon Card kini bukan lagi sekadar permainan atau koleksi nostalgia. Di peringkat global, kad-kad rare dianggap sebagai aset koleksi bernilai tinggi dan ada yang dijual pada harga luar biasa di pasaran antarabangsa.
Bagi Sweet Qismina, hobi ini memberi pengalaman baharu yang menggabungkan keseronokan, minat peribadi dan potensi pulangan pada masa hadapan.
Kadang-kadang, hobi terbaik datang tanpa dirancang bermula dengan satu scroll di media sosial, kini berkembang menjadi minat serius yang penuh nilai.
Sumber : Mstar
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.