
Koleksi dinanti-nantikan menjelang musim perayaan, Summeraya oleh Rico Rinaldi kembali untuk tahun ke-15 dengan skala koleksi yang lebih besar serta pilihan busana Hari Raya yang lebih muda, inklusif dan paling penting, mampu dimiliki.
Bercakap kepada REMAJA sewaktu ditemui di acara pelancaran Summeraya 2026, Rico yang sudah bertapak dalam industri fesyen tempatan selama 19 tahun berkata, koleksi kali ini sememangnya dikhususkan untuk peminat jenama tersebut (dan peminat Rico sendiri) yang terdiri daripada golongan muda.
Ia selari dengan trend pengikutnya di TikTok Live yang terdiri daripada Gen Z yang setia menantikan rekaan terbaru serta celoteh Rico sendiri sepanjang berada di hadapan kamera.
“Saya baru sedar bahawa ramai peminat-peminat saya terdiri daripada generasi muda. Oleh itu untuk koleksi tahun ini, saya cuba kombinasi warna ‘orang muda’ yang belum pernah kami tawarkan sebelum ini. Contohnya seperti ungu bersama merah jambu ataupun biru dan jingga. Semuanya kelihatan lebih fresh and vibrant.”
“Secara total, Summeraya menawarkan 70 rekaan berbeza termasuklah koleksi wanita dan lelaki. Ada juga rekaan beg tangan yang mendapat sentuhan kolaboratif bersama jenama pastri terkemuka, Chef Kecik.
“Ya, ini merupakan antara persenbahan terbesar saya dalam sejarah Summeraya. Walaupun fokus menjurus kepada selera anak muda, saya yakin pelanggan setia Rico Rinaldi tetap akan menyukainya kerana DNA utama jenama ini masih dikekalkan,” ujarnya dengan senyuman.
Seperti yang pernah dilaksanakan pada tahun lalu, Rico Rinaldi sekali lagi menyertakan aksesori selendang bersama busana Raya yang dipilih oleh pemakai.
Kongsinya, hampir 70 peratus daripada keseluruhan Summeraya 2026 didatangkan dengan selendang disebabkan respon positif yang diterimanya pada tahun lalu.
Pada era ekonomi mencabar sebegini, Rico Rinaldi masih mampu memberikan more than what is bargained from him. Apa rahsianya?
“Tahun ini tahun yang paling banyak (rekaan)selendang. 70 peratus! Bagi saya, semuanya terletak kepada cara kita merancang koleksi itu sendiri agar ia lebih cost effective.
“Daripada pengalaman saya, paling penting adalah fasa sourcing iaitu misi mencari fabrik, batu-batuan dan macam-macam faktor lain dalam penghasilan sesebuah koleksi.
“Contohnya apabila sesuatu baju itu disertakan selendang, realistiklah untuk saya mengurangkan sedikit perincian pada baju. Rekaan keseluruhannya minimal sedikit agar kami boleh mengawal harga yang kami tawarkan,” katanya.
Apabila diamati, Rico Rinaldi merupakan antara pereka fesyen terawal untuk berkecimpung di platform media sosial. Tidak segan beraksi dan berinteraksi di hadapan kamera, Rico ibarat menjadi ‘duta’ buat jenamanya sendiri.
Jika satu ketika dahulu pernah meletakkan wajah-wajah popular seperti Neelofa dan Daiyan Trisha sebagai penghias, kini beliau tidak tanpa mengharapkan kelibat selebriti popular untuk menjadi ‘pelaris’ helaian Rico Rinaldi. Cukuplah sekadar beliau, ahli pasukannya dan produk-produk mereka diletakkan di hadapan kamera.
Kongsinya, dalam keseriusan berniaga, dia memilih pendekatan santai dan bersahaja di platform digital yang menjadi salah satu sumber terpenting untuknya memasarkan sebarang produk pada zaman ini.
“Ramai Gen-Z sebenarnya yang suka follow saya. Sepanjang dua tahun ini, saya banyak habiskan masa melakukan promosi di TikTok live dan saya lihat, trend pembeli anak muda saya semakin meningkat.
“Mungkin mereka suka melihat celoteh saya. Mungkin juga ada yang merasakan harga produk-produk Rico Rinaldi mampu dimiliki seperti beg tangan kami.
“Apa jua punca mereka meminati Rico Rinaldi, saya hanya go with the flow sahaja. Biarlah the product speaks for itself.”
“Apa yang pasaran minta, kita cuba tunaikan. Paling utama, saya ingin tawarkan produk-produk yang boleh dipakai semasa dan selepas Hari Raya; termasuklah busana Raya kali ini,” katanya.
Bagi yang sedang tercari-cari busana Raya yang ringan di tubuh, selesa dipakai sepanjang hari dan berlabel ‘designer’, korang boleh dapatkan koleksi Summeraya 2026 oleh Rico Rinaldi bermula harga RM239 hingga RM439.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.