Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim baru-baru ini menitahkan supaya budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dihentikan serta-merta.
Menurut Seri Paduka Baginda dalam titah sulung selaku Canselor UPNM meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah”
“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah Sultan Ibrahim.
Kredit: Facebook Sultan Ibrahim
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Seri Paduka Baginda sebagai Canselor UPNM dan Konvokesyen ke-14, pada Selasa.
Sultan Ibrahim bertitah, falsafah UPNM adalah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.
Oleh itu, Seri Paduka Baginda bertitah, universiti tersebut turut dikawal selia oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Akademi Latihan Ketenteraan.
Ads
“Ini bermakna, disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini. Namun begitu, saya merasa dukacita dengan budaya penderaan yang berlaku, sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kadet pada tahun 2017”
“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras, tetapi ini tidaklah sampai mendera hingga menyebabkan kecederaan dan kematian”
“Lebih mendukacitakan saya, walaupun kejadian penderaan sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah, tetapi perkara ini masih terus berlaku pada setiap tahun, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak,” titah Sultan Ibrahim.
Ads
Kredit: Facebook Sultan Ibrahim
Pada istiadat konvokesyen itu, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan para graduan bahawa mereka akan mengharungi pelbagai bidang pekerjaan yang lebih mencabar, selain tiada jalan pintas untuk mencipta kejayaan dan semuanya memerlukan usaha keras dan sifat takwa dalam setiap pekerjaan.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka.
“Jadilah insan yang sentiasa bersyukur dan seorang anak yang sentiasa mengenang jasa serta mendoakan kedua ibu bapanya”
“Sudah tentu kejayaan ini adalah juga berkat doa restu daripada ibu dan bapa, serta usaha daripada tenaga pengajar. Justeru itu, jangan sekali-kali awak semua melupakan jasa dan peranan ibu bapa serta tenaga pengajar,” titah Sultan Ibrahim.
Mengakhiri titah, Yang di-Pertuan Agong mendoakan semoga kedaulatan dan kemakmuran negara akan terus terpelihara daripada sebarang ancaman dan musibah.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, pendaki wanita, Jaslinda Saludin (49), yang sebelum ini dilaporkan hilang hampir dua minggu ketika menyertai ekspedisi pendakian di kawasan Gunung Batu Putih, dibenarkan pulang selepas menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Tapah. Beliau meninggalkan hospital sekitar jam 1.50 petang dengan ditemani suami untuk kembali ke Kuala Lumpur, pada Selasa.
Memetik laporan Bernama, Jaslinda dilihat berjalan menggunakan tongkat dengan kaki kiri berbalut sebelum menaiki kenderaan yang dipandu suaminya. Keadaan kesihatan beliau turut dilaporkan semakin baik selepas ditemui selamat Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Jaslinda meluahkan rasa syukur atas keselamatan dirinya selain berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menitipkan doa sepanjang operasi pencarian dijalankan.
“Alhamdulillah, saya sihat. Terima kasih banyak. Terima kasih semua atas titipan doa buat saya dan saya sangat-sangat menghargainya. Saya juga nak memohon maaf kepada semua kerana telah menyusahkan banyak pihak sepanjang insiden ini, minta maaf dan terima kasih semua,” katanya.
Mengulas mengenai pelbagai dakwaan serta spekulasi yang tersebar sepanjang kehilangannya, Jaslinda menegaskan bahawa perkara berkenaan akan diperjelaskan menerusi satu kenyataan media pada masa yang sesuai selepas beliau selesai berehat dan memulihkan kesihatan.
“Kenyataan media kemudian nanti saya beritahu. Yang benda-benda tu semua yang dengar tu fitnah dan tidak betul, nanti saya bagi kenyataan,” jelasnya.
Sementara itu, menurut suami beliau, Haszman Othman, berpandangan insiden yang menimpa isterinya perlu dijadikan pengajaran kepada penganjur aktiviti pendakian supaya memperkukuh prosedur keselamatan.
Katanya, syarat penyertaan boleh diperketatkan termasuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan serta menetapkan had umur tertentu bagi mengurangkan risiko kecemasan ketika berada di kawasan pergunungan.
Dalam perkembangan sama, Haszman berkata minat Jaslinda terhadap aktiviti mendaki masih belum pudar meskipun berdepan pengalaman mencemaskan tersesat di dalam hutan selama hampir dua minggu.
Untuk rekod, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh pada Sabtu lalu selepas dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman yang bermula pada 23 Mei bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada hujung minggu ini, Rapid KL akan memanjangkan waktu operasinya sehingga 24 jam tanpa henti.
Perkhidmatan akan bermula seawal pukul 6 pagi pada 30 Ogos dan akan terus beroperasi sehingga jam 11:30 malam pada 31 Ogos. Ia melibatkan laluan kereta api dan bas terpilih.
Menerusi laporan media tempatan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd Azharuddin Mat Sah memaklumkan, sebanyak 60 bas tambahan percuma akan disediakan dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Putrajaya Square. Ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai yang ingin menyertai perarakan Hari Kebangsaan.
Selain itu, semua perkhidmatan kereta api termasuk LRT, MRT, dan monorel, serta transit bas (BRT) di laluan Sunway akan mengikuti jadual operasi 24 jam. Beberapa laluan bas terpilih juga akan turut disediakan.
Selain itu, Rapid KL juga mengumumkan bahawa lebih daripada 4,000 kakitangan akan bertugas untuk memastikan operasi berjalan dengan lancar. Mohd Azharuddin turut melahirkan rasa bangga mereka dengan pencapaian ini dan menekankan komitmen mereka untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti.
“Dengan bantuan Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia, kami pastikan laluan bas khas tidak akan terganggu. Anggota Polis Bantuan Infrastruktur juga akan membantu memastikan trafik lancar,” ujarnya lagi.
Bagi mereka yang merancang untuk menyertai perarakan Hari Kebangsaan, disarankan agar menggunakan pengangkutan awam. Kebanyakan stesen kereta api menyediakan tempat letak kereta yang besar, ada yang boleh menampung sehingga 10,000 kereta.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Rapid KL & Prasarana
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mahkamah Koroner semalam dimaklumkan bahawa arwah Zara Qairina Mahathir sering dijadikan sasaran tuduhan setiap kali berlaku kes kecurian di sekolahnya.
Peguam Joan Goh, yang mewakili salah seorang daripada lima kanak-kanak berkaitan kes ini, berkata saksi memaklumkan arwah pernah dituduh terbabit dalam insiden kecurian botol air sebelum ini.
Perkara itu dikongsikan Goh kepada media selepas prosiding sebelah petang inkues kematian Zara Qairina.
Sementara itu, rakan guamannya Datuk Ram Singh menyatakan beliau terkejut dengan keterangan saksi kanak-kanak ketiga yang mendakwa terdapat penggunaan kata-kata kesat.
“Goh bertanya beberapa soalan, sama ada ia adalah budaya mereka, adakah ia datang daripada sekolah, atau siapakah yang mengajar itu kepada mereka?
“Selain itu, keterangan saksi adalah agak konsisten,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Azhier Farhan Arisin, yang juga mewakili seorang lagi kanak-kanak, merumuskan keterangan tiga saksi dengan mendakwa Zara Qairina dipanggil memberi penjelasan selepas seorang pelajar mengadu kepada ketua dormitori mengenai kehilangan barang.
Namun, pada masa sama, satu lagi insiden berasingan didakwa berlaku di dorm lain. Saksi memaklumkan sekumpulan pelajar Tingkatan Satu telah menyelongkar beg dan lokar milik Zara Qairina tanpa sebarang arahan daripada senior.
Mereka kemudian mendakwa menemui sebuah lencana yang pernah dilaporkan hilang dan didakwa kepunyaan seorang ketua dormitori.
Menurut saksi, seorang ketua dormitori turut melemparkan kata-kata kesat kepada Zara Qairina. Penemuan itu menimbulkan kemarahan seorang pelajar senior meskipun Zara Qairina menafikan tuduhan, malah bersumpah tidak mencurinya.
“Saksi menyatakan selepas insiden itu, semua pelajar kembali ke bilik asrama masing-masing, termasuk Zara.
“Mereka juga menyatakan tiada mendengar apa-apa bunyi luar biasa pada malam 15 Julai lalu, tiada bunyi yang menunjukkan Zara dipukul atau diheret,” katanya.
Prosiding inkues dijadualkan bersambung esok dengan dua lagi saksi kanak-kanak dipanggil untuk memberi keterangan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: BH Online
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!