Sujud Syukur & Air Mata Iringi Pembebasan Akmal Akif, 18 Lagi Diarah Bela Diri

Share

 

Keadaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini memerlukan rakan media untuk berlari ke sana-sini bagi mendapatkan liputan menyeluruh kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman.

 

Dalam perkembangan terbaru pada pagi tadi, satu-satunya tertuduh yang dilepaskan dan dibebaskan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan ialah Mohamad Akmal Akif Alias, manakala 18 tertuduh lain diarahkan untuk membela diri kelak.

Kemas berkot blazer hitam dan berkemeja biru, Akmal ditemui memeluk ibunya di luar kamar mahkamah dan momen ringkas itu menyaksikan mereka berdua berlinangan air mata mungkin disebabkan rasa terharu dengan keputusan hari ini.

Akmal bagaimanapun menolak sebarang temuramah bersama mana-mana pegawai media dan segera meninggalkan kawasan mahkamah dengan ahli keluarga serta pengiringnya.

BACA: “Dia Menjerit Tolong & Panas” – Kenyataan Saksi Kes Pelajar Ditekap Seterika

Sementara itu, Zurkarnain Idros yang merupakan bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman melakukan sujud syukur, juga di luar kamar mahkamah. Mereka sekeluarga juga didapati menyarungkan baju T #SayNoToBullying #Humanity #JusticeForZulfarhan.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kematian arwah terbela,” kata beliau.

Ia susulan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah mengarahkan 18 orang tertuduh lain (penuntut UPNM) untuk membela diri selepas beliau membebaskan Akmal.

Menurut laporan rakan di AWANI, Hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir sesi pendakwaan.

6 daripada mereka akan dibicarakan di bawah Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, 12 tertuduh lain akan dibicarakan di bawah Seksyen 220 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan perbicaraan akan bermula pada 2 Oktober ini.

 

IKLAN