
Sekali berdiri, suaranya jadi inspirasi. Air mata, senyuman dan laungan kemenangan, semuanya menjadi saksi kepada perjalanan luar biasa seorang remaja yang berani bersuara, Adik Nur Awadah Mohd Adli.
Masih muda, baru Tingkatan 1, tetapi semangatnya sudah sebesar juara dunia! Anak jati Melaka ini bukan nama asing dalam dunia pidato. Dari sekolah rendah hingga kini, Awadah terus membuktikan bahawa usia muda bukan alasan untuk tidak bersuara dan berimpak.

Lebih membanggakan, Awadah kini melakar satu lagi kejayaan apabila dinobatkan sebagai Johan Pidato Peringkat Kebangsaan kategori menengah rendah, sekali gus menjadikannya kejayaan ketiga berturut-turut di pentas kebangsaan.
Sebelum ini, semasa di sekolah rendah, pelajar Sekolah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin, Melaka itu turut bergelar juara dua tahun berturut-turut (2023 & 2024) dalam Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi Madani.

Kepetahannya berhujah, keyakinan dan mesej yang dibawakan penuh makna menjadikan Awadah simbol inspirasi buat generasi muda hari ini.
Sebagai info, Awadah merupakan salah seorang ikon cilik PASTI. Tiada kejayaan datang tanpa usaha, dan kisah Awadah ini membuktikan usia muda bukan penghalang untuk jadi luar biasa!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Melaka Hari ini
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Isu Perubahan Iklim Diangkat Artis Kontemporari Malaysia Untuk ‘Cover’ Majalah TIME

Biarpun mengambil sedikit masa, semakin ramai artis seni kontemporari tempatan yang menerima pengiktirafan selayaknya hasil daripada kreativiti dan tenaga yang dikerah untuk menghasilkan karya seni bertaraf antarabangsa.
Terbaru, seorang seniman kontemporari bernama Red Hong Yi telah menempa nama selaku pencipta karya seni yang dijadikan sebagai penghias wajah hadapan atau cover majalah antarabangsa, TIME Magazine.
Red Hong Yi. Sumber Foto: Instagram @redhongyi.
Menerusi muat naik di akaun Instagram, artis kelahiran Sabah ini menjelaskan tentang pemilihan konsep perubahan iklim sebagai cover majalah yang bakal dilancarkan pada 24 April nanti.
“Kami (dia dan pasukannya) melekatkan batang-batang mancis tanpa henti selama lapan jam sehari, sepanjang tempoh dua minggu. Kemudiannya, ia dibakar dalam masa dua minit saja untuk jurufoto dan juruvideo merakamkannya.
“Saya benar-benar berbesar hati kerana telah menghasilkan karya istimewa untuk isu TIME Magazine pada bulan kesedaran perubahan iklim ini.”
“Apabila pandemik COVID-19 terus merebak di seluruh dunia, kita semakin diingatkan bahawa tiada negara yang terkecuali dalam soal krisis global. Sama ada ia pandemik, keruntuhan ekonomi atau dalam isu yang diketengahkan ini, masalah perubahan iklim yang perlu ditangani,” catatnya.


Menariknya, cover majalah ini mendapat sentuhan daripada seniman Malaysia sendiri apabila foto tersebut telah ditangkap oleh pengasas Women Photographers Malaysia, Annice Lyn.
Untuk pengetahuan, Red terdahulu merupakan seorang arkitek dan pernah melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di Universiti Melbourne, Australia sebelum beralih arah ke bidang seni kontemporari.
*
Sebelum ini, REMAJA pernah melaporkan mengenai artis seni remaja yang dipilih untuk menghasilkan mural di hadapan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.
ARTIKEL BERKAITAN : Pemuda Ini Berjaya Hasilkan 12 Lakaran Haiwan Terancam Di Papan Iklan KLCC – REMAJA
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penggunaan Frasa Yang Gramatis

Penggunaan frasa yang tidak gramatis seperti "lain-lain hal" dan "hal lain-lain" banyak digunakan dalam penulisan minit mesyuarat, karangan, ayat dan sebagainya.
Hukum DM ialah rumus dalam tatabahasa yang telah ditetapkan oleh ahli bahasa. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, yang diterangkan (D) disebut atau ditulis dahulu sebelum yang menerangkan (M).
Tidak ada frasa “lain-lain hal” kerana ini menyalahi hukum DM dalam tatabahasa bahasa Melayu.
Walau bagaimanapun, "lain-lain" hanya boleh menerima kata hubung "dan" dan "yang" sahaja untuk menghasilkan frasa "dan lain-lain" dan "yang lain-lain" kerana kata hubung tidak boleh digandakan.

Ingatlah bahawa "dan lain-lain" dan "yang lain-lain" sahaja yang boleh menggunakan kata ganda "lain-lain". Yang lain perlu digandakan sebelum menerima kata nama "lain".
A. Contoh Penggunaan “lain”:
1. Hal-hal lain.
2. Perkara-perkara lain.
3. Sekolah-sekolah lain.
4. Guru-guru lain.
5. Kemudahan-kemudahan lain.
B. Contoh Penggunaan “dan lain-lain”:
Ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka pada setiap masa di kawasan hotel termasuk di kolam renang, lobi hotel, bilik senaman dan lain-lain.
C. Contoh Penggunaan “yang lain-lain”:
Kuarantin dan gabungan langkah kesihatan awam yang lain-lain seperti penjagaan kebersihan yang maksimum dapat mengawal COVID‐19 daripada menular.
Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca. Bahasa Jiwa Bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Faridah Mohamad Saad
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Kesempurnaan Memerlukan Praktik, Bukan Sekadar Teori..” Kebolehan Berbahasa Melayu Jadikan Kimberly Chuah UNIK – Isu Digital Ogos 2023

Sudah tangan bertuah, mumbang ditanam tumbuh juga.
Ya, itulah pepatah yang sesuai bagi pemilik nama penuh Kimberly Chuah Ching Li; anak seni tempatan berbangsa Cina yang kian meningkat naik dalam industri seni hiburan. Berbekalkan minat, potensi dan semangat yang dimiliknya, tidak keterlaluan jika kami ramalkan Kimberly bakal berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan pelakon muda berkaliber yang kini mewarnai industri.
Bertatih perlahan-lahan, kehadirannya semakin dirasai langkah demi langkah selepas menamatkan perjalanannya dalam program pencarian Dewi Remaja 2022 pada kedudukan tempat ketiga. REMAJA raikan Kimberly Chuah sebagai salah seorang personaliti pilihan kempen Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks FATH ABU BAKAR jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan AYANG KAMELL persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Kefasihan Kimberly dalam berbahasa Melayu boleh dikatakan merupakan salah satu keunikan dominan yang ada padanya sekali gus menjadi ‘punca’ rezeki buat Kimberly terus menyemai nama menerusi naskhah yang ditonton rata-rata oleh penonton berbangsa Melayu.
Menurut Kimberly, sejak kecil lagi dirinya sudah dibesarkan untuk fasih berbahasa Melayu dan secara tidak langsung dirinya sudah sinonim dengan persekitaran berbilang kaum. Kebolehan ini menjadi satu titik tolak untuknya terus memahat nama menerusi siri drama dan telefilem bersama pemain industri tempatan terkenal.
“Boleh dikatakan tiada masalah langsung kerana saya fasih berbahasa Melayu sejak kecil. Saya pula bersekolah kebangsaan di mana saya sudah biasa bergaul dengan semua kaum.
“Dulu tidak ramai (pelakon berbangsa Cina yang aktif memasuki industri seni berbahasa Melayu) tetapi kini semakin ramai pelakon bukan Melayu yang muncul. Jujurnya, kebolehan berbahasa Melayu ini adalah keunikan dan kelebihan bagi kami (selebriti berbangsa Cina di Malaysia). Bak kata orang, practice makes perfect. Kesempurnaan memerlukan kita untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Jika sekadar teori sahaja yang mengisi ruang minda tanpa mempraktikkan bahasa kebangsaan kita, sayang sekali.
“Oleh itu, saya menganggap kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai keunikan serta kekuatan pada diri. Bahkan, saya bangga apabila terus-menerus diberikan peluang berlakon dalam drama Melayu,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.
Selain memainkan watak di depan kamera, siapa sangka Kimberly juga mempunyai bakat terpendam dan mampu melontarkan bait-bait lagu rap secara lancar dalam bahasa Melayu! Pernah suatu ketika sewaktu mengikuti uji bakat pencarian Dewi Remaja 2022 di Pulau Pinang, klip pendek yang dimuat naik oleh REMAJA bertukar tular apabila warganet terpegun dengan caranya mempersembahkan lagu bergenre rap.
Menurut Kimberly, bakat terpendam ini mungkin sekali diasah sewaktu di bangku sekolah apabila dia seringkali menyertai aktiviti di luar bilik darjah seperti berdebat.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak Kisah Dilaber Kolot, Cikgu Tari Tular Farees Asri Pertahankan Seni Budaya Menerusi Lensa Media Sosial

Kitalah Pengganti
Disoal apa yang difahaminya mengenai erti Saya #RemajaMalaysia bersempena kempen REMAJA yang sudahpun memasuki edisi kelimanya tahun ini, penulis amat tertarik dengan huraian milik Kimberly. Tentunya setiap orang mempunyai interpretasi berbeza di ruang fikiran masing-masing.
Bagi Kimberly yang mengambil berat soal pelapis yang bakal menggantikan tokoh-tokoh ternama di Malaysia dewasa kini, dia menyifatkan Remaja Malaysia adalah golongan yang bakal memberi idea bernas dalam memperjuang setiap pelbagai perkara mengikut peredaran zaman.
“Remaja adalah tonggak dan pelapis negara. Saya harus tekankan bahawa generasi maa kini wajar melatih diri untuk memperbaiki skil dan cara pemikiran agar mereka terus bangkit demi negara tercinta. Sekiranya ada yang musykil siapakah bakal menggantikan tempat duduk panas bagi memimpin negara, jawapannya adalah kita semua yang masih muda.
“Bukan bermakna jasa tokoh-tokoh negara sudah dilupakan tetapi saya percaya negara memerlukan idea dan generasi baharu untuk memperjuangkan setiap perkara yang baharu,” ujarnya lagi.

‘Minat muzik, tapi impian terbesar adalah berlakon’
Mengenali gadis ini sejak dia melangkah masuk ke pencarian Dewi Remaja 2022, Kimberly sama sekali tidak pernah gagal untuk melontarkan senyuman manisnya saat bertemu. Tidak pernah mendongak ke langit jadi rahsia dirinya disenangi orang di sekeliling.
Bukan sekadar berbakat menerusi lakonan, Kimberly juga hebat dalam menyampaikan lagu-lagu rap.
Kongsinya, jiwa anak seni yang perlu sentiasa bersedia untuk menghiburkan khalayak ramai sentiasa mengalir dalam dirinya. Biarpun dia secara peribadinya sentiasa menadah tangan dengan luas andai kata sudah tertulis rezekinya menceburi bidang baharu seperti muzik termasuklah genre rap; buat masa ini Kimberly selesa memahat nama sebagai seorang pelakon yang disegani terlebih dahulu
Benar, dunia digital dan media sosial membolehkan bakat-bakat baharu mengorak langkah ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan. Kendatipun, itu bukanlah cabaran utama Kimberly dalam melebarkan sayapnya lebih tinggi dalam arena seni tanah air, malah dia tetap positif dan percaya kepada rezeki.
“Kali pertama saya menjejakkan kaki dalam industri, matlamat saya hanya satu iaitu untuk melihat sejauh mana saya boleh teroka. Kita semua pun tidak tahu rezeki seluas mana dalam sesuatu bidang. Jadi mulai saat ini, saya akan terus berusaha agar mampu mencapai ke aras yang lebih tinggi.
“Saya turut berharap usaha yang saya semai bagi tahun-tahun berikutnya akan membuahkan hasilnya,” katanya sebagai penutup kalam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

