
Bintang K-Pop sensasi, Stray Kids baru-baru ini terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu pengaruh terbesar Hallyu apabila Forbes menobatkan kumpulan itu sebagai ‘Kumpulan K‑Pop No.1 tahun 2025’, sekaligus meletakkan mereka sebagai artis K‑Pop ketiga terbesar di dunia secara keseluruhan.
Memetik laporan media tempatan, pengiktirafan tersebut diumumkan menerusi senarai “30 Idola K‑Pop Terbaik 2025” yang baru diterbitkan Forbes, dan Stray Kids yang dianggotai oleh Bang Chan, Lee Know, Changbin, Hyunjin, Han, Felix, Seungmin, dan I.N. berjaya mempertahankan kedudukan teratas, mengatasi puluhan nama besar industri yang turut tersenarai.
Difahamkan, kejayaan mereka bukan satu kebetulan, sebaliknya didorong oleh pengaruh global yang semakin kukuh. Bagi tahun 2025, Stray Kids mencatat jumlah streaming yang tinggi, termasuk dengan liputan media yang konsisten serta sokongan peminat (STAY) yang kekal luar biasa.
Pada masa yang sama, Stray Kids juga mencatat pelbagai pencapaian yang memecah rekod. Antara yang paling menonjol ialah debut lapan kali berturut‑turut di carta Billboard 200 pada kedudukan No.1, di mana ia adalah satu rekod yang jarang sekali dicapai oleh mana‑mana artis K‑Pop.
Di samping itu, dari aspek jualan fizikal, kumpulan ini turut membuktikan kekuatan komersial mereka apabila album KARMA dan DO IT masing‑masing mencatat jualan berjuta‑juta unit, sekaligus meletakkan mereka dalam liga tersendiri dalam pasaran global.
Momentum ini turut mengesahkan Stray Kids sebagai salah satu kumpulan paling berpengaruh dan relevan dalam landskap muzik antarabangsa, dengan kehadiran mereka dirasakan bukan hanya dalam komuniti peminat K‑Pop, malah di peringkat mainstream.
Sementara itu, sebagai kumpulan yang kini di kedudukan tertinggi dalam senarai Forbes tahun ini, Stray Kids sekali lagi membuktikan kemampuan mereka mendominasi era baru K‑Pop sekaligus menjadi antara kuasa utama yang membentuk masa kini dan masa depan industri tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.