Inpirasi

Dua Pelajar Korea Selatan Cemerlang SPM 2025! Raih ‘Straight A’ Termasuk Bahasa Melayu

Share

Terbaru, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Columba, Miri, Sarawak iaitu Kim Na Eun mencuri perhatian apabila berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan memperoleh 10A+ termasuk Bahasa Melayu, sekaligus menjadi antara pencapaian luar biasa oleh pelajar antarabangsa di Malaysia.

Memetik laporan The Borneo Post, bapanya Kim Taeho berkata keluarga mereka pada awalnya sukar mempercayai keputusan tersebut ketika hadir ke SMK St Columba untuk mengambil keputusan peperiksaan anaknya.

“Saya menangis apabila dia memberitahu keputusan tersebut. Kami tidak menjangka dia akan mendapat A+ dalam semua subjek, termasuk Bahasa Melayu, kerana dia pernah menghadapi kesukaran mempelajari Bahasa Melayu ketika di sekolah rendah,” katanya.

BACA: Atlet Pecut Remaja Negara Raih ‘Straight A’ Dalam SPM 2025! Izzatul Musfirah Terus Bersinar

Kim Na Eun bersama keluarganya ketika mengambil keputusan SPM 2025

Difahamkan, Na Eun mengambil subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Bible Knowledge, dan kesemuanya berjaya mendapat A+.

Keluarga Na Eun sebelum ini berhijrah dari Korea Selatan ke Miri pada tahun 2013 ketika beliau berusia lima tahun, sebelum memulakan persekolahan di SK St Columba dan kemudian menyambung pengajian di SMK St Columba sehingga ke peringkat menengah.

BACA: Usia 61 Tahun Bukan Penghalang, Warga Emas Ini Duduki SPM 2025 Cabar Keupayaan Diri

Bapanya yang merupakan seorang master taekwondo serta melatih kanak-kanak berkeperluan khas turut berkongsi bahawa anaknya tidak bergantung kepada kelas tuisyen luar. Malah, Na Eun yang memegang tali pinggang hitam Dan keempat (Kukkiwon) aktif menjalani latihan taekwondo setiap hari serta turut menyertai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menurut Na Eun, disiplin dalam taekwondo banyak membantunya menghadapi SPM. Selepas ini beliau merancang untuk sambung A Levels sebelum mengejar cita-cita dalam bidang pergigian, sambil kini fokus latihan bagi Sukan Kebangsaan Korea ke-107 di Pulau Jeju pada 17 Oktober.

Park So Hyun yang mencuri perhatian di media sosial selepas meraih keputusan cemerlang SPM 2025

Sementara itu, seorang lagi pelajar dari Sekolah Methodist Wesley, Park So Hyun juga meraih perhatian di media sosial selepas berjaya meraih keputusan SPM cemerlang dengan 10A, sekaligus turut mengharumkan nama sekolah serta komuniti pelajar antarabangsa di Malaysia.

Pencapaian oleh kedua pelajar yang berasal dari Korea Selatan ini juga telah mencetuskan perbualan positif dalam kalangan masyarakat di media sosial, sehingga ramai yang menyifatkan kejayaan mereka sebagai bukti bahawa disiplin, usaha berterusan dan semangat yang tinggi mampu mengatasi cabaran bahasa serta latar belakang.

Pada masa yang sama, ramai turut meluahkan rasa kagum dan menjadikannya inspirasi bahawa jika pelajar Korea Selatan boleh mencapai keputusan cemerlang dalam sistem pendidikan Malaysia, tiada alasan untuk pelajar lain tidak mampu mencapai kejayaan yang sama atau lebih baik.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE