
Dalam hidup, kita sering disajikan dengan pelbagai kisah yang membuka mata tentang makna kesungguhan. Kisah seorang lelaki OKU yang dikongsikan oleh Che Ainun Nasihah Ismail ini salah satunya.
Kisah tentang abang yang disayanginya sepenuh hati, dan tentang semangat yang tidak pernah padam walaupun berdepan cabaran yang tidak sedikit. Menurut Ainun, perjalanan abangnya bukanlah perjalanan yang mudah.
“Abang dilahirkan songsang dan proses kelahiran yang rumit menyebabkan dia mengalami masalah perkembangan sejak kecil.
“Slow learner kata mereka, gagap teruk, selalu hilang dalam dunianya sendiri, dibuli secara fizikal dan mental di sekolah walaupun ayah kami seorang guru di sekolah itu,” tulisnya di laman Facebook.
Namun, di sebalik semua kekurangan yang sering dilemparkan kepadanya, abangnya membuktikan bahawa perjalanan seseorang tidak pernah ditentukan oleh kekurangan, tetapi oleh tekad dan keberanian untuk terus melangkah.
Perjalanan akademiknya penuh liku. Abangnya mengambil SPM sehingga 10 kali, dan pernah mengakui kepada ibu bahawa percubaan itu mungkin yang terakhir. Ada hari-hari tertentu, air matanya tumpah kerana tekanan dan rasa kecewa yang terlalu berat untuk dipikul.
Namun, semangatnya tidak pernah patah. Dia meneruskan perjuangan dengan mencuba STPM sebanyak dua kali pula. Dari kesungguhan yang tidak pernah pudar itu, akhirnya lahirlah kejayaan dan menamatkan pengajian di peringkat ijazah dan kemudian menyambung pula ke DPLI.
Dalam usaha untuk membina hidupnya, abangnya pernah melakukan pelbagai pekerjaan, daripada menjadi pengawal keselamatan di hospital, sekolah dan rumah orang tua, hingga membantu ayah mereka di sawah.
Hidupnya penuh usaha, penuh kerja keras… namun tidak pernah sekali pun dia meminta simpati.
Satu hari yang sangat dinantikan akhirnya tiba… sesi temu duga untuk jawatan yang selama ini menjadi impiannya. Di hujung sesi, abangnya diminta menjelaskan mengenai kad OKU yang dimiliki.
Dengan jujur dan tenang, dia berkata dirinya tergolong dalam kategori OKU pembelajaran.
Usai temu duga, dia melangkah keluar untuk mendapatkan ibu. Dan ketika itu juga, dia menangis, mungkin kerana lega, mungkin juga kerana akhirnya melihat sinar di penghujung perjalanan panjangnya.
Dan ya, hari yang ditunggu itu benar-benar tiba.
Pada usia 37 tahun, abangnya sah bergelar seorang guru. Satu permulaan baharu yang penuh makna, tercipta daripada perjalanan yang dipenuhi air mata, usaha tanpa henti dan keyakinan pada diri sendiri.
Walaupun kini bergelar pendidik, bagi Ainun, abangnya tetap insan yang sama, seorang yang sederhana, jujur dan berhati baik.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB Che Ainun Nasihah Ismail