
Pelakon popular Korea Selatan, Song Ji-hyo, sekali lagi menjadi topik perbualan selepas penonton mendakwa masa kemunculannya dalam episod terbaru rancangan variasi popular SBS, Running Man, dikatakan terlalu singkat sehingga mencetuskan perdebatan hangat.
Episod yang disiarkan pada 8 Mac bertajuk “Run & Fun Company: Spin the Roulette” menampilkan konsep sketsa tempat kerja di mana ahli rancangan perlu menjalani pelbagai tugasan dengan ganjaran bonus atau kerja lebih masa ditentukan melalui permainan roulette.
Namun apa yang mencuri perhatian ramai bukanlah permainan tersebut, sebaliknya masa kemunculan Song Ji-hyo yang dilaporkan hanya sekitar 10 saat sepanjang episod berdurasi kira-kira 90 minit itu.
Dalam kebanyakan babak, Ji-hyo hanya kelihatan ketawa atau muncul sekilas dalam babak berkumpulan, tanpa banyak dialog atau penglibatan aktif dalam permainan.
Malah, penonton turut mendakwa bahawa dalam episod minggu sebelumnya, masa kemunculannya juga tidak sampai satu minit, sekali gus mencetuskan lebih banyak persoalan mengenai peranan Song Ji-hyo Running Man dalam format rancangan semasa.
“Rancangan 90 minit, tapi Song Ji-hyo cuma muncul sekitar 10 saat,” tulis seorang pengguna internet.
Ada juga yang berpendapat bahawa sebagai ahli tetap, dia sepatutnya lebih aktif dalam program tersebut. Malah terdapat komen yang meminta pelakon itu menarik diri secara sukarela daripada rancangan berkenaan.
Namun dalam masa sama, ramai peminat tampil mempertahankan Ji-hyo. Ada yang berpendapat ia mungkin berpunca daripada suntingan produksi yang mengehadkan babaknya.
Selain itu, ada juga kemungkinan pelakon tersebut tidak berada dalam keadaan sihat semasa penggambaran, sekali gus menyebabkan penglibatannya dalam episod tersebut menjadi lebih terhad.
Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa format Running Man yang kini lebih tertumpu kepada perbualan dan sketsa berbanding permainan fizikal mungkin menyebabkan peranan Ji-hyo tidak lagi menonjol seperti dahulu.
Song Ji-hyo sendiri merupakan antara ahli paling lama dalam Running Man, menyertai rancangan itu sejak 2010.
Sepanjang lebih 15 tahun bersama program tersebut, beliau terkenal dengan gelaran “Ace” kerana keberaniannya menyertai pelbagai misi dan cabaran tanpa ragu.
Dalam banyak episod awal rancangan itu, Song Ji-hyo Running Man sering menjadi sebutan kerana kemampuannya menyaingi ahli lelaki dalam pelbagai permainan fizikal.
Popularitinya dalam rancangan tersebut juga pernah membawanya memenangi anugerah utama di Entertainment Awards.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama isu masa kemunculannya diperdebatkan.
Pada 2023, kritikan serupa pernah timbul sehingga rakan hosnya, Yoo Jae-suk, tampil mempertahankannya secara terbuka dalam rancangan web Pinggyego.
Menurut Yoo, Ji-hyo sebenarnya sangat mengambil berat tentang perkara tersebut dan pernah berasa sedih apabila menyedari dia tidak banyak bercakap dalam sesetengah episod.
“Ji-hyo benar-benar berusaha. Ada episod dia tidak banyak bercakap dan dia rasa sangat bersalah, katanya dia patut cuba lebih lagi,” jelas Yoo ketika itu.
Walaupun berdepan pelbagai kritikan, Song Ji-hyo sebelum ini menegaskan bahawa dia tidak berhasrat meninggalkan Running Man.
Dalam satu penampilan di saluran YouTube Jodongari, beliau mengakui tidak pernah menyangka akan kekal begitu lama dalam rancangan variasi itu.
“Pada awalnya saya fikir mungkin sekitar 10 tahun sahaja. Tapi rancangan ini terus berjalan, dan saya sudah terlalu rapat dengan ahli-ahli lain,” katanya.
Malah Ji-hyo turut menegaskan bahawa dia tidak akan meninggalkan rancangan tersebut selagi pihak produksi tidak menamatkannya terlebih dahulu.
Sumber : Tenasia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.