Sofyank Menang Anugerah Magic Of The Month, Video Terbaik Pilihan Zach King

Share

Bakat anak muda yang bernama Mohamad Sofian Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sofyank sering kali mendapat perhatian netizen kerana menghasilkan video-video kreatif yang dikongsi di laman instagramya. Sofian juga pernah menarik perhatian pelakon antarabangsa, Will Smith apabila video yang disunting olehnya dimuat naik semula oleh pelakon tersebut.

Instagram: Sofyank96

Baru-baru ini, Sofian telah pun menerima penghargaan apabila berjaya memenangi salah satu anugerah daripada Magic Of The Month, iaitu sebuah anugerah yang diberikan oleh digital creator terkenal, Zach King.

“Untuk mereka yang tidak tahu apa itu anugerah Magic Of The Month, sebenarnya setiap bulan Zachking

akan menganjurkan Magic Of The Month ini, di mana followersnya boleh menghantar video dan pada hujung tahun, beliau akan memilih antara video terbaik untuk menerima anugerah Magic Of The Month ini,”
Instagram: sofyank96

“Saya memang mengagumi kehebatan Zachking dan pengalaman bertemu dengannya merupakan pengalaman paling manis buat saya. Dari dulu lagi, impian saya adalah untuk mendapat perhatian daripada Zachking dan Alhamdulillah, akhirnya beliau menyedari kehadiran saya dan kami juga sempat bertemu sebelum ini,” jelasnya.

Ketika dihubungi oleh wartawan Remaja, anak muda berusia 25 tahun ini menjelaskan bahawa minatnya terhadap kemahiran suntingan video bermula sejak usia 14 tahun lagi.

“Idea dalam menghasilkan setiap video-video saya adalah antara kerjasama saya dan juga dua lagi team kami. Biasanya, bagi satu video, ia bergantung kepada effects yang digunakan, jadi ada yang dapat siapkan dalam masa sehari sahaja, ada yang disiapkan dalam masa seminggu, malah sebulan pun ada,”

“Buat masa sekarang memang ramai yang berminat untuk belajar edit video dengan saya, termasuklah orang dari luar negara. Cuma, saya kekurangan masa untuk mengadakan kelas, jadi saya cuba untuk buat tutorial di YouTube sahaja,” jawab Sofian.

Walaupun sudah bergelar sebagai Zachking Malaysia, namun Sofian tetap ingin meneruskan pembelajarannya terhadap kemahiran suntingan video yang lebih baik.

Instagram: sofyank96

“Perancangan saya buat masa ini adalah untuk mempelajari skill yang lebih advance seperti membuat CGI yang dilakukan oleh filem luar negara. Saya juga ingin menubuhkan production VFX supaya kami boleh memberikan perkhidmatan sekiranya pihak luar memerlukan servis editing visual effects,” tambahnya.

Tahniah Remaja ucapkan kepada Sofyank yang juga turut terpilih sebagai #Remaja25Under25 baru-baru ini. Semoga anak muda ini terus sukses dan lebih bersinar dalam menghasilkan karya-karya yang hebat.

IKLAN