
Kehilangan insan tersayang sememangnya satu dugaan besar, apatah lagi apabila kehilangan itu melibatkan ibu kandung yang menjadi sumber kasih sayang utama.
Namun, bagi anak kepada usahawan dan content creator terkenal, Ridzuan Ridzokumura, iaitu Sky Taizo Okumura, situasi tersebut bukan halangan untuk dia terus berpegang teguh pada prinsip hidup dan agama.
Baru-baru ini, tular di platform TikTok apabila Ridzuan memuat naik video Sky menunaikan solat di sebuah restoran. Momen itu meraih perhatian ramai kerana pada usia yang masih muda, Sky sudah menunjukkan keazaman untuk menjaga ibadah, khususnya solat.
Menurut Ridzuan, anak lelakinya itu berazam untuk tidak pernah meninggalkan solat kerana setiap kali selesai solat, dia akan berdoa khusus buat arwah ibunya, Allahyarhamah Akiko Okumura.
“Alhamdulillah, masih banyak lagi Sky dan saya perlu pelajari. Tetapi Sky sendiri beritahu dia tidak mahu tinggalkan solat kerana selepas solat, dia akan berdoa untuk arwah ibunya,” jelas Ridzuan dalam perkongsian tersebut.
Tindakan Sky yang tetap menjaga solat walaupun berada di tempat awam mendapat pujian warganet. Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap kecekalan Sky dan mendoakan agar dia terus istiqamah dalam ibadah.
@ridz_okumura
Alhamdulillah banyak lgi sky dan saya kena belajar🥰❤️🙏🏻 sky kata dia tak nk tinggal kan solat sbb selepas solat sky sentiasa berdoa untuk arwah ibu nya🥰🇯🇵🇲🇾
Bukan itu sahaja, menurut Ridzuan, Sky kini turut dibimbing oleh seorang ustaz bagi memperbaiki bacaan serta rukun solatnya agar ibadah yang dilakukan lebih sempurna.
“Saya mahu Sky faham bahawa solat bukan sekadar pergerakan, tetapi penghubung dengan Allah, dan tempat untuk kita kirimkan doa buat insan tersayang,”
tambah Ridzuan.Terdahulu, Allahyarhamah Akiko Okumura disahkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor pada 28 Februari lalu. Kejadian itu meninggalkan kesan yang cukup besar terhadap Ridzuan dan Sky, namun mereka sekeluarga memilih untuk tabah dan reda dengan ketentuan Ilahi.
Untuk rekod, Ridzuan dan Akiko telah mendirikan rumah tangga pada Februari 2009 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura.
Semoga Sky terus kuat, cekal, dan istiqamah dalam menunaikan ibadah, serta terus menjadi anak yang membanggakan arwah ibunya.
BACA LAGI : Kubur Arwah Nurly Shahirah Dipasang Tali Penghadang, Didakwa Berlaku Amalan Khurafat
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.