Siti Saleha Umum Berehat Dari Dunia Lakonan, Fokus Rehat & Bakal Timang Cahaya Mata Pertama!

Share

Pelakon jelita, Siti Saleha mengumumkan bahawa dia akan berehat seketika daripada dunia lakonan selepas selesai penggambaran drama bersiri Bad Cop arahan Jason Chong.

Difahamkan, pelakon drama Nora Elena ini kini sedang hamil empat bulan dan mahu memberi fokus sepenuhnya kepada fasa baharu dalam hidupnya.

“Selepas selesai projek yang sedang saya jalani ini, saya akan berhenti seketika daripada penggambaran kerana ia agak memenatkan.

“Buat masa ini, saya hanya mahu berehat dan menenangkan fikiran sehingga bersalin.

“Apabila keadaan badan kembali bertenaga dan ramping, barulah saya kembali ke set penggambaran,” jelas Saleha kepada media ketika ditemui di sidang media Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang berlangsung di PICC, Putrajaya.

Hamil Tapi Tetap Bertenaga!

Walaupun sedang meniti kehamilan pertamanya, Siti Saleha meluahkan rasa syukur kerana trimester pertama yang dilaluinya tidak terlalu mencabar.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami alahan, muntah atau mengidam. Cuma penat itu memang ada, seperti wanita hamil lain.

“Jika penggambaran dilakukan ketika trimester pertama dahulu, mungkin saya akan lebih bergelut walaupun tiada alahan.

“Jadi, saya bersyukur jadual penggambaran ditunda ke waktu sekarang,” tambahnya.

Sebelum ini, Siti Saleha ada berkongsi berita kehamilannya menerusi sebuah video manis di Instagram yang dirakam ketika percutiannya bersama suami tercinta,

Joshua Fitton, di Bali, Indonesia.

Pasangan romantik ini sah bergelar suami isteri dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, Februari lalu.

Rezeki Berganda Buat Bakal Ibu!

Dalam masa sama, aktres ini turut menerima satu lagi berita gembira apabila diumumkan sebagai pemenang Selebriti Ikon Terhangat AMT 2025.

“Alhamdulillah, ini rezeki saya, rezeki ‘baby’ dan juga kelab peminat yang sentiasa setia menyokong kerjaya saya sejak lebih 15 tahun lalu.

“Saya berasa amat dihargai kerana mereka menerima saya seadanya dan tidak pernah berhenti memberikan undian,” ucap Saleha dengan penuh rasa syukur.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath