
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencipta sejarah manis dalam perjalanan seni apabila berjaya mengumpulkan lebih 65,000 peminat di lokasi ikonik, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menerusi konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love.
Konsert mega ini bukan sekadar meraikan 30 tahun penglibatan Siti dalam industri muzik, malah menjadi bukti bahawa aura dan pengaruhnya masih utuh sehingga ke hari ini.
Merupakan konsert ke-35 sepanjang karier sejak debut pada 1996, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, membuktikan statusnya sebagai penyanyi nombor satu tanah air kekal unggul dan tiada tolak banding.
Pada konsert anjuran
SN Legacy Sdn. Bhd. itu, Siti mendendangkan 42 buah lagu popular yang dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk irama tradisional, sekali gus menyaksikan lautan manusia membanjiri SNBJ, stadium terbesar di Asia Tenggara dengan sorakan dan tarian penuh semangat.Suasana konsert menjadi semakin meriah apabila Siti mengajak peminat untuk sama-sama ‘berjoget lambak’ seperti adat keraian orang terdahulu.
“Kalau ikut adat orang dahulu, apabila ada keraian dan keramaian, orang-orang akan berjoget lambak. Saya ajak semua yang hadir di sini untuk bangun dan joget lambak, boleh? Kita jadikan ini joget lambak terbesar.
“Silap-silap boleh masuk Malaysia Book of Records (MBOR),” selorohnya di hadapan ribuan peminat.
Untuk rekod, konsert dengan bilangan penonton paling ramai di Malaysia masih dipegang oleh Coldplay: Music of the Spheres dengan lebih 81,000 penonton.
Namun begitu, penganjuran Legacy 30 Siti Nurhaliza menjadikan penyanyi lagu Cindai itu sebagai satu-satunya penghibur tempatan yang memiliki dua konsert dihadiri lebih 65,000 penonton
di Malaysia.Rekod terdahulu dicatatkan menerusi Siti Nurhaliza: Fantasia Tour pada tahun 2004 yang menghimpunkan 70,000 penonton.
Konsert ini turut menyaksikan Siti mendendangkan untaian lagu irama tradisional yang cukup sinonim dengan namanya seperti Joget Menanti Kasih, Balqis, Ya Maulai serta Pandang Pandang Jeling Jeling.
Paling menyentuh perasaan, Siti mendedikasikan lagu Cindai sebagai tanda mengenang jasa insan yang banyak berjasa dalam perjalanan kerjayanya iaitu Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain, atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.
Tidak berseorangan, Siti turut mengundang beberapa artis untuk berkongsi pentas antaranya anak saudaranya, Umairah, selain Hafiz Suip, Noh Salleh dan Cakra Khan. Turut mencuri perhatian, Auddra atau Odah tampil sebagai penari latar pada awal kemunculan konsert.
Dalam pada meraikan peminat, Siti turut memaklumkan bahawa pihaknya menyumbang RM1 juta daripada jualan tiket konsert ini kepada Yayasan Nurjiwa.
Sebaik konsert melabuhkan tirai, Siti dikejutkan dengan
sambutan hari jadi ke-47 yang jatuh pada 11 Januari, apabila ribuan peminat menghadiahkan nyanyian lagu hari jadi sebagai tanda kasih dan penghargaan.Konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu dihoskan oleh Muaz Mohamed dan turut dihadiri rakan artis yang hadir memberi sokongan antaranya Datuk Syafinaz Selamat, Ella, Rozita Che Wan, Aina Abdul, Awal Ashaari, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Wany Hasrita dan Aisha Retno.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.