Sukan

Siti Aqilah Farhana Cipta Sejarah, Raih Perak Sulung Wanita Malaysia Di Glasgow 2026! Tahniah!

Share

Terbaru, jaguh angkat berat negara Siti Aqilah Farhana Draman meraih perhatian selepas berjaya melakar sejarah sebagai wanita Malaysia pertama memenangi pingat perak dalam acara angkat berat di Sukan Komanwel. Kejayaan itu hadir menerusi aksi cemerlang dalam kategori wanita +86 kilogram (kg) pada temasya Glasgow 2026, sekaligus menghadiahkan satu lagi detik membanggakan buat sukan negara.

Atlet yang kini berusia 20 tahun itu mempamerkan prestasi luar biasa apabila mengumpul jumlah angkatan keseluruhan 253 kg menerusi 113 kg dalam acara snatch dan 140 kg bagi ‘clean and jerk’. Catatan tersebut bukan sahaja melayakkan beliau muncul naib juara, malah menjadi rekod peribadi terbaiknya selain turut memecahkan rekod kebangsaan.

Dalam pada itu, pingat emas menjadi milik atlet England, Emily Campbell, yang mencipta rekod baharu temasya dengan jumlah angkatan 278 kg, manakala wakil Kanada, Etta Mae Love, melengkapkan kedudukan tiga terbaik selepas merekodkan 250 kg.

Lebih membanggakan, pencapaian Siti Aqilah mengatasi rekod terbaik yang pernah dilakar atlet wanita negara dalam acara angkat berat di Sukan Komanwel. Sebelum ini, Malaysia hanya pernah meraih pingat gangsa menerusi Raihan Yusoff dalam kategori 53 kg pada edisi New Delhi 2010 dan Irene Jane Henry dalam kategori 48 kg di Glasgow 2014.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, anak kelahiran Kuala Nerus, Terengganu itu mengakui beliau turun bertanding tanpa meletakkan sasaran tinggi, malah hanya mahu memberikan persembahan terbaik di setiap angkatan yang dilakukan.

BACA: Aniq Kasdan Buktikan Kelas Tersendiri, Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Glasgow 2026! Tahniah!

“Saya memang tidak jangka akan menang sebab saya rasa tiada sasaran khusus ditetapkan untuk saya. Kalau ada pun, mungkin sekadar sasaran pingat gangsa. Saya langsung tidak terfikir akan dapat pingat perak.”

“Jurang dengan pemenang emas sebenarnya tidak begitu besar. Insya-Allah, empat tahun lagi saya berharap dapat meraih pingat emas,” katanya.

Pada masa yang sama, Siti Aqilah berkata beliau tidak terlalu memikirkan kedudukan pesaing sepanjang pertandingan kerana memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada setiap percubaan di pentas pertandingan.

Sementara itu, kejayaan bersejarah berkenaan didedikasikan kepada kedua-dua ibu bapanya, barisan jurulatih di Terengganu serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang banyak membantu sepanjang persiapannya. Selain itu, beliau berharap lebih ramai atlet muda akan terus berusaha dan berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa, selain memasang impian menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada edisi Sukan Komanwel akan datang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE