Simbol Cinta Abadi Pada Al-Quran, UPSI Bakal Wujudkan Galeri Nurly Shahirah

Share

Baru-baru ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menubuhkan sebuah galeri khas sebagai penghormatan buat arwah Nurly Shahirah Azman iaitu salah seorang pelajar yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak pada bulan Jun lalu.

Memetik laporan BERNAMA, galeri tersebut akan dinamakan sempena nama Allahyarhamah dan ditempatkan di bangunan baharu fakulti Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan), yang dijangka siap menjelang awal tahun 2027.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, penubuhan Galeri Nurly Shahirah ini merupakan sebuah bentuk penghargaan atas keperibadian dan kecintaan Allahyarhamah terhadap al-Quran.

Kredit foto: Bernama
Kredit foto: Bernama

“Galeri ini diwujudkan sebagai penghargaan UPSI kepada pelajar cemerlang ini, yang diketahui meninggal dunia dalam keadaan memeluk erat Al-Quran,” katanya.

Tambah beliau, jika diizinkan oleh kedua ibu bapa dan keluarga, pihak universiti merancang untuk mempamerkan mushaf Al-Quran tulisan tangan Nurly Shahirah di galeri tersebut, bersama koleksi mushaf lain.

Pada masa yang sama, galeri tersebut dijangka menjadi sumber inspirasi khususnya buat para huffaz untuk mendalami dan menghafal al-Quran melalui pendekatan penulisan tangan.

Dalam pada itu, Dr Mohd Na’im turut mengajak orang ramai, terutamanya sektor swasta, untuk turut serta menyumbang secara wakaf bagi menjayakan penubuhan galeri tersebut. Beliau berharap usaha ini menjadi wadah untuk memperkukuh pendidikan Islam serta memelihara legasi Nurly Shahirah.

Hasil mushaf Al-Quran yang ditulis sendiri oleh arwah Nurly Shahirah

Sekadar info, tragedi yang menimpa Allahyarhamah berlaku pada awal pagi 9 Jun lalu apabila bas sewa khas yang membawa 39 pelajar UPSI dari Jerteh ke Tanjong Malim bertembung dengan sebuah MPV Perodua Alza sebelum terbalik. Nahas itu mengorbankan 15 pelajar termasuk Nurly Shahirah dan mencederakan 33 individu lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohd Na’im juga sempat menziarahi lima keluarga mangsa terkorban serta lima pelajar yang cedera dalam insiden tersebut. Setiap waris mangsa menerima sumbangan berjumlah RM7,500 manakala pelajar yang cedera menerima RM4,000 setiap seorang daripada beberapa agensi termasuk Yayasan Taqwa MAIWP, YAPEIM, Tabung Musa’adah Jakim dan PPZ-MAIWP.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa sumbangan untuk baki waris dan mangsa lain yang belum diziarahi akan disampaikan secara berperingkat melalui agensi berkaitan serta setiap keluarga yang diziarahi turut menerima bantuan bakul makanan bernilai RM150 daripada Tabung Musa’adah Jakim sebagai tanda keprihatinan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE