Sharmaine Alexander Hampir Putus Asa Selepas Pemergian Ayah, Bangkit Cemerlang Dalam Pelajaran & Sebagai Pempengaruh

Share

Di mana ada kemahuan, sememangnya ada jalan yang terbuka luas buat seseorang mengejar impian peribadi.

Begitulah yang berlaku kepada pempengaruh tempatan dan finalis pencarian Dewi Remaja 2025, Sharmaine Ilenna Rudy Alexander.

Gadis kelahiran Sabah yang lebih mesra dengan panggilan Sharmaine Alexander merupakan seorang mahasiswi jurusan perundangan yang baru sahaja menamatkan proses ‘Call To The Bar’ pada akhir Disember lalu sekaligus kini menggalas gelaran seorang peguam bertauliah.

Sharmaine, 25 memulakan perjalanannya dalam dunia perundangan selama setahun dalam program asasi di UiTM Dengkil sebelum kemudiannya menyambung pengajian selama empat tahun pada peringkat sarjana muda perundangan di UiTM Shah Alam.

Menarik untuk dikongsikan, pengajian peringkat sarjana muda itu telah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah memandangkan Sharmaine berjaya memperolehi biasiswa ‘Anak Cemerlang Sabah’.

Atas dorongan keluarga dan minat mendalamnya untuk mendalami dunia perundangan juga, Sharmaine kemudiannya menyambung pengajian selama setahun di peringkat sarjana sambil meneruskan proses chambering seperti yang dikehendaki oleh mana-mana calon peguam.

“Ramai ingat misi kita sebagai pelajar adalah untuk memperolehi biasiswa 100 peratus dan kita akan ‘selamat’. Tetapi cabaran sebenar adalah setelah mendapat biasiswa itu kerana saya tidak boleh gagal mana-mana subjek selama lapan semester berturut-turut.

“Selain itu, saya juga perlu kekalkan pointer 3.0 ke atas dan bukan mudah untuk melakukannya untuk tempoh empat tahun,” kongsinya ketika dihubungi oleh REMAJA.

Pemergian Ayah Hampir Robek Minat Belajar Sharmaine

Menurut Sharmaine lagi, cabaran terbesar sepanjang bergelar pelajar adalah apabila keluarganya kehilangan ayah tercinta pada tahun 2021 sewaktu dia sibuk meneruskan pelajaran di Shah Alam.

Kasih seorang ayah merupakan satu bentuk dorongan yang cukup penting buat Sharmaine memandangkan mendiang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang peguam tetapi terpaksa melupakan impian itu disebabkan neneknya yang enggan berpisah dengan anak tercintanya itu.

“Mendiang ayah adalah seorang askar. Beliau memang teringin untuk lanjutkan pelajaran dan menjadi seorang peguam tetapi atas faktor keluarga, beliau akhirnya menyertai pasukan askar.

“Sudah ketentuan keluarga kami; biarpun ayah tidak dapat menjadi peguam tetapi keempat-empat orang anaknya bergelar peguam. Di akhir hayat ayah, ibulah yang menjaga beliau manakala saya pula sedang mengikuti online class. Ketika itu baru memasuki semester tiga dan saya hampir berhenti belajar kerana terlalu sedih. Sukar untuk saya cope. Saya tiba-tiba hilang minat untuk teruskan studies pada masa itu.”

“Mak sayalah yang meminta agar saya bersabar dan bertahan. Saya lihat mak saya yang sakit pada waktu itu masih kuat meneruskan kehidupan. beliau menginspirasikan saya terus belajar. Semua ini untuknya.”

‘Call To The Bar’ Ditemani Keluarga & Rakan Dewi Remaja

Buat followers tegar Sharmaine di media sosial, tentunya korang tahu mengenai keazaman gadis ini untuk meneruskan pengajian dan pada masa yang sama, mengejar punca pendapatan serta impian untuk bergelar seorang selebriti.

Benar, eksplorasi diri menerusi pencarian Dewi Remaja 2025 yang melabuhkan tirainya pada akhir November lalu memerlukan pengorbanan baik dari segi masa, tenaga, komitmen lain dan wang Ringgit.

Namun buat Sharmaine, semua peluang yang hadir pada usia 25 tahun ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Tambahan pula faktor umur boleh menjadi kekangan untuk menyertai program sebegini.

“Dewi Remaja banya mengajar saya untuk meningkatkan confidence level. Nak dijadikan cerita sewaktu kami sertai uji bakat lakonan baru-baru ini bersama Michael Ang, saya terkejut apabila tiada seorang pun daripada kami yang benar-benar nervous.

“Mungkin di situlah kelebihan yang kami perolehi hasil 3-4 bulan dilatih dalam Dewi Remaja. Kami sudah terbiasa berdepan dengan judgement. Lebih diuji lebih excited pula jadinya. (Ketawa). Saya kira Dewi Remaja banyak mengajar saya dari sudut itu,” katanya.

Ketika diraikan dalam acara ‘Call To The Bar’ baru-baru ini juga, Sharmaine tidak keseorangan apabila rakan-rakan Dewi Remaja lain seperti Elisa Chew, Ariana dan Nelysa Kay turut hadir untuk memberi sokongan.

“Mereka luangkan masa untuk saya… they are really like sisters to me. Selain mereka, kakak-kakak dan ibu saya juga ada. Kakak sulung mengucapkan terima kasih kerana tidak mudah putus asa dan beri peluang kepada ibu kami untuk melihat saya menjadi seorang peguam.

“Bagi kami adik-beradik, keutamaan adalah untuk mengejar masa membahagiakan ibu kami bersama,” kata pemenang kategori Dewi Favourite itu.

Kepada ‘Haters’ & ‘Followers’ Sharmaine…

Di akhir perbualan, kami bertanyakan sekiranya Sharmaine mempunyai apa-apa pesanan kepada pengikutnya yang sedang atau pernah berdepan dengan kepayahan hidup sewaktu zaman belajar.

“Walau apapun yang terjadi, teruskan sahaja. Take it day by day. Baru-baru ini, ruangan komen saya ditaburi netizen yang menuduh saya tidak pandai hanya kerana mereka mengenali saya menerusi Dewi Remaja.

“Walaupun orang tidak percayakan kepada saya, kita teruskan sahaja hingga ada result

yang membuatkan orang itu boleh percayakan kebolehan kita.”

“Ya saya memasuki dunia hiburan atas dasar minat dan ingin membina kerjaya. Tetapi saya juga mempunyai sijil untuk menyertai semula ke bidang guaman. Ini masanya untuk saya kejar apa yang saya minat sejak dulu.

Whatever your passion is, saya selalu katakan untuk pentingkan pelajaran terlebih dahulu. At the end of the day, kelayakan akademik tidak akan tinggalkan kita,” ujarnya yang kini sedang bercita-cita untuk meneruskan pengajian dalam bidang PhD pula sambil bergiat aktif sebagai seorang selebriti.

Ia selaras dengan janjinya kepada mendiang ayah untuk menamatkan pengajian PhD sebelum tiba usia 30 tahun. All the best Sharmaine Alexander!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ