Sempena Sambutan Hari Lahir Ke-37, G-Dragon Belanja Lebih 2,600 Minuman Untuk Peminat

Share

Di dalam komuniti peminat K-Pop, sambutan hari kelahiran penyanyi kegemaran mereka biasanya akan diraikan oleh peminat dengan beberapa penganjuran acara istimewa seperti kempen amal kebajikan, kempen selamatkan alam sekitar termasuk acara khas di kafe.

Selalunya, jika sambutan hari lahir artis itu diraikan di kafe, rekaan dalaman akan dihiasi dengan dekorasi bertema, paparan gambar dan sleeve cawan eksklusif yang direka khas untuk meraikan idola mereka dan peminat lain boleh berkunjung untuk menikmati minuman sambil turut sama menyertai sambutan.

Namun, menjelang ulang tahun kelahiran ke-37 penyanyi popular, G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji Yong pada tahun ini difahamkan memilih untuk membalas kasih sayang peminat dengan cara yang lebih istimewa apabila dikatakan telah membuat pra-bayaran untuk sejumlah 2,632 minuman di beberapa kafe terpilih di seluruh Korea di mana para peminat boleh menikmatinya secara percuma.

Jumlah tersebut datang daripada 188 minuman di setiap 14 kafe yang mengambil bahagian. Angka “188” dipilih kerana ia melambangkan gabungan FANPLUS ‘ONE’ + ’88’, merujuk kepada tahun kelahiran G-Dragon iaitu 1988.

Dalam pada itu, minuman percuma ini akan diagihkan secara ‘first come, first served’ pada 18 Ogos ini, memberikan peluang kepada peminat untuk bukan sahaja meraikan hari lahirnya, malah menikmati hidangan yang ditaja oleh G-Dragon sendiri.

Pihak penganjur juga menyatakan bahawa pada 18 Ogos, bersempena hari lahir artis kesayangan mereka ini, mereka telah menyediakan hadiah kecil di kafe-kafe sambutan yang dianjurkan oleh ahli FAM sebagai tanda terima kasih atas sokongan dan kasih sayang berterusan peminat.

Sementara itu, khabar baik ini telah meraih beberapa reaksi positif di kalangan peminat yang terharu dengan usaha G-Dragon menghargai mereka serta ramai yang menyatakan keterujaan untuk menyertai acara ini.

Selain peminat, warga masyarakat di media sosial turut memuji kemurahan hati G-Dragon dan menganggapnya sebagai satu contoh hubungan erat antara artis dan peminat yang patut dicontohi.

Pada masa yang sama, langkah ini sekaligus mengukuhkan lagi reputasi G-Dragon sebagai ikon K-pop yang sentiasa menghargai peminatnya, tidak kira di atas pentas mahupun di luar dunia hiburan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE