Berita

Semangat Luar Biasa! Dr. Siti Hawa Apandi Raih PhD Walau Hidap Penyakit SMA, Ibu Hadir Sebagai Ganti Anak Dalam ICU

Share

“Kita merancang, tuhan yang menentukan. Kami reda dengan ketentuan ini, cuma mohon supaya semua turut mendoakan kesihatan dan keselamatan permata hati kami.”

Itulah luahan penuh haru ibu kepada Dr. Siti Hawa Apandi, 36, yang tidak dapat hadir sendiri ke Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Sultan Ahmad Shah (UMPSA) baru-baru ini kerana sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat jangkitan paru-paru.

Dr. Siti Hawa sepatutnya naik ke pentas bagi menerima Anugerah Hadiah Kecemerlangan Inklusif Abdullah bin Ummi Maktum (Kategori Pascasiswazah). Namun, ibunya, Dr. Zaidah Tamjis, 62, hadir mewakili anaknya bersama suami, Apandi A. Hadi, 62, bagi menerima anugerah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor.

Walaupun tidak dapat naik pentas sendiri, Dr. Zaidah bersyukur impian anaknya untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Komputeran tercapai.

“Apa yang kami diharapkan adalah kesihatan Hawa,” ujarnya penuh sayu.

Dr. Siti Hawa menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA), penyakit yang melemahkan urat saraf sejak kecil dan membuatkan beliau memerlukan bantuan sepenuhnya daripada ibunya untuk bergerak. Namun, semangatnya tidak pernah luntur untuk menuntut ilmu di UMPSA.

Perjalanan akademiknya begitu mengagumkan. Bermula dengan Diploma Sains Komputer pada 2010 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79, diikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2013 dengan PNGK 3.88, seterusnya Sarjana Sains Komputer pada 2016, dan kini, akhirnya, Ijazah Doktor Falsafah pada 2025.

Sepanjang pengajiannya, Dr. Siti Hawa sentiasa ditemani oleh ibu kesayangan, Zaidah, sama ada di asrama mahupun dewan kuliah, sejak dari peringkat diploma hingga ke peringkat PhD. Ketekunan dan semangat luar biasa ini turut mendapat perhatian masyarakat, sehingga beliau menerima pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Khas Belia Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Pahang 2024 yang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, serta Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024 dan Anugerah Perdana Belia Negara.

Selain cemerlang dalam akademik, Dr. Siti Hawa juga lantang bersuara di media sosial bagi membela nasib golongan OKU yang masih kekurangan fasiliti. Zaidah turut menitipkan kata-kata semangat buat ibu-ibu lain yang mempunyai anak istimewa, dengan menekankan bahawa sebagai ibu, kita perlu sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam apa jua minat anak-anak, dan jangan sesekali berputus asa.

Dr. Siti Hawa merupakan antara 4,259 graduan yang diraikan pada majlis konvokesyen tersebut. Satu pencapaian yang bukan sahaja membanggakan keluarga, malah memberi inspirasi kepada semua.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: UMPSA News

Published by
Fath