Pernah menyangka tidak sempat menduduki SPM akibat menghadapi kanser, namun Mohamed Adam Baihaqi Mohamed Zadro (19) membuktikan segalanya mungkin dengan semangat kental apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 2024 di SMK Bachok selepas memperoleh semua A, meskipun terpaksa ‘ponteng’ sekolah hampir setahun untuk menjalani rawatan.
Menurut laporan Sinar Bestari, segalanya bermula pada Mac 2023 apabila Adam disahkan menghidap kanser dan perlu berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi menjalani enam sesi kemoterapi.
Disebabkan rawatan intensif, Adam kerap tidak hadir ke sekolah dan pernah terpaksa melupakan persekolahan selama hampir setahun. Meskipun begitu, semangatnya untuk bangkit tidak pernah luntur.
“Saya pernah terfikir tidak sempat menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan akan meninggal dunia selepas disahkan menghidap kanser pada Mac 2023,” katanya.
“Selepas terpaksa ponteng sekolah selama setahun kerana perlu fokus kepada rawatan di HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II), melihat rakan-rakan sekelas sudah menduduki SPM dan menyambung belajar, pada waktu itu saya rasa sangat sedih,” luahnya yang kini menjadi inspirasi pelajar di luar sana.
Ads
Walau bagaimanapun, segalanya berubah pada Julai 2024 apabila beliau disahkan bebas daripada kanser. Berbekalkan semangat baru, Adam kembali ke sekolah dan fokus sepenuhnya untuk mengejar impiannya menduduki peperiksaan SPM, membuktikan bahawa kesukaran bukan alasan untuk gagal.
Menurut Adam, pengorbanan besar bapanya, Mohamed Zadro Mohd Salleh (50) seorang peniaga santan, dan ibunya, Suzila Abdullah (47) seorang suri rumah telah menjadi pembakar semangat utamanya untuk berjaya.
Ads
“Untuk mengubati kanser perlukan wang yang banyak, ayah dan ibu hanya bekerja biasa. Bagaimanapun mereka sanggup buat apa sahaja untuk saya, dari situlah semangat untuk mengulangkaji bersungguh-sungguh hadir,” jelasnya.
“Alhamdulillah, rakan-rakan serta guru-guru banyak membantu sehingga saya berjaya memperoleh semua A dalam tujuh mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu (A-), Sejarah (A-), Matematik (A), Bahasa Inggeris (A), Geografi (A), Pendidikan Islam (A), dan Sains (A),” tambah Adam.
Ads
Sementara itu, Adam juga memasang cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) demi merealisasikan impiannya menjadi seorang pendidik.
Baginya, kejayaan ini adalah hadiah istimewa buat kedua ibu bapanya serta rakan-rakan dan guru-guru yang tidak pernah putus memberi sokongan dan doa.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Menjadi anak muda Malaysia yang berjaya di pentas antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi Umar Zulkefli, 23, telah membuktikan bahawa dengan usaha gigih dan semangat yang tidak pernah luntur, tiada apa yang mustahil.
Pada Majlis Graduasi University of York, United Kingdom baru-baru ini, Umar telah diberi penghormatan besar untuk menyampaikan ucapan sebagai wakil graduan di hadapan lebih 1,200 tetamu. Satu momen luar biasa yang mengharumkan nama negara.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi ini bukan hanya dikenali sebagai pelajar cemerlang, tetapi juga aktif dalam pelbagai aktiviti kampus sepanjang pengajiannya. Beliau juga merupakan penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan dalam ucapannya, Umar turut merakamkan penghargaan kepada MARA yang banyak menyokong perjalanan akademiknya sejak bangku sekolah lagi.
Dari Pelajar ‘Clearing’ Ke Pentas Utama
Apa yang menjadikan kisah Umar lebih menyentuh hati adalah latar belakangnya yang bermula sebagai pelajar ‘clearing’ ,hadir ke University of York tanpa perancangan awal. Namun dengan tekad dan dedikasi, beliau berjaya membuktikan bahawa setiap jalan yang kita pilih akan membawa makna jika dilalui dengan bersungguh-sungguh.
Pemilihan Umar sebagai penyampai ucapan graduan bukanlah secara rawak. Ia adalah pengiktirafan atas pencapaian cemerlangnya bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga kerana keterlibatannya sebagai Naib Presiden Persatuan Sarjana Muda Ekonomi Malaysia, duta pelajar universiti, pengajar rakan sebaya, penulis komuniti ekonomi dan banyak lagi.
Pengorbanan Ibu Bapa Jadi Pendorong
Anak jati Shah Alam ini turut berkongsi sisi peribadinya yang cukup menyentuh hati. Sebagai anak tunggal, Umar mengimbas kembali kisah kelahirannya yang mencabar, apabila ibunya terpaksa melalui pembedahan kecemasan demi menyelamatkan nyawanya. Kehadiran kedua ibu bapa menyaksikan majlis konvokesyennya di UK merupakan satu saat penuh emosi buat Umar, dan jelas terpancar rasa syukurnya atas segala pengorbanan mereka.
“Semua kejayaan ini adalah milik mereka,” katanya dengan nada sebak, mengenang kasih dan pengorbanan ibu bapanya.
Langkah Seterusnya: Dunia Profesional & Impian Sarjana
Kini, Umar sedang bersiap sedia untuk memulakan kerjaya sebagai pelatih siswazah pelaburan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula Oktober ini. Dalam masa yang sama, beliau turut memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang ekonomi, sekiranya diberi peluang dan tawaran biasiswa.
Majalah Remaja mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Umar atas pencapaian membanggakan ini. Semoga kisah beliau menjadi pencetus inspirasi kepada lebih ramai remaja Malaysia untuk terus berani bermimpi besar dan membawa nama negara ke persada dunia.
Semalam lebih daripada 300,000 tempahan janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua telah dibuat oleh rakyat Malaysia.
Hari ini, pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 Kebangsaan telah mengesahkan bahawa pemberian dos pertama vaksin AstraZeneca pusingan kedua akan bermula pada 7 Jun 2021 sehingga 27 Julai 2021 kelak di lokasi-lokasi di negeri-negeri yang dinyatakan sebelum ini.
Pemberian dos pertama vaksin AstraZeneca pusingan kedua akan dijalankan bermula dari 7 Jun hingga 27 Julai 2021. pic.twitter.com/YHKQbGRywV
Baru-baru ini, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom, Sabah telah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya muncul juara dalam Festival dan Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye.
Dalam pertandingan yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun itu, pelajar-pelajar berkenaan mempersembahkan tarian Magunatip, iaitu tarian tradisional masyarakat Murut yang memerlukan ketangkasan dan koordinasi tinggi.
Dalam pada itu, tarian tersebut bukan sahaja berjaya memikat hati penonton, malah memukau juri sehingga membolehkan pasukan dari Sabah ini mengatasi 13 pasukan lain dari pelbagai negara untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Kredit foto: Warta Oriental
Lebih membanggakan, kumpulan tersebut turut menerima Anugerah Persembahan Terbaik, satu pengiktirafan yang menegaskan reputasi mereka sebagai antara pasukan kebudayaan terbaik dunia.
Menurut jurulatih kebudayaan sekolah, Siti Faridah Lawadin, kejayaan itu adalah hasil usaha gigih para pelajar serta sokongan padu pihak sekolah dan komuniti.
“Mereka berjaya mengatasi 13 pasukan lain dari seluruh dunia dan muncul sebagai juara. Ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah dan Sabah, tetapi juga meletakkan seni tradisional kita di pentas dunia,” katanya.
Pada masa yang sama, Siti Faridah turut menjelaskan bahawa penyertaan ini menjadi platform penting dalam usaha memartabatkan budaya tempatan ke peringkat global, selain menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda terhadap seni warisan negara.
Kredit foto: Warta OrientalKredit foto: Warta Oriental
“Persembahan hebat ini mendapat tepukan gemuruh daripada penonton antarabangsa dan delegasi kebudayaan yang hadir. Ia secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye melalui pendekatan budaya serta warisan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, kejayaan mereka kali ini juga berjaya menamatkan dominasi juara bertahan dari Rusia yang memenangi pertandingan tahun lalu. Kemenangan ini sekaligus membuka lembaran baru buat pasukan tersebut dalam arena tarian antarabangsa.
Sekadar info, tarian Magunatip sinonim dengan masyarakat Murut dan terkenal dengan persembahan lompatan di antara batang buluh yang diketuk mengikut irama. Ia bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal dan disiplin tinggi, malah mencerminkan warisan budaya yang unik dan penuh simbolik.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!