Gaya Hidup

Selepas Qodrat, Kini Badut Gendong Pula! Filem Seram Indonesia Ini Bakal Gegarkan Pawagam Malaysia

Share

Peminat filem seram Indonesia, bersedia untuk satu lagi naskhah yang bakal membuatkan anda tidak senang duduk!

Selepas mencipta fenomena di Indonesia, filem seram aksi Badut Gendong kini bersedia menemui penonton Malaysia menerusi tayangan rasmi di pawagam seluruh negara bermula 25 Jun 2026.

Menariknya, filem ini bukan sekadar menawarkan elemen seram biasa, sebaliknya hadir dengan kisah yang lebih mendalam mengenai kehilangan, tekanan hidup dan sisi gelap manusia yang sering dipandang sepi.

Sebahagian Daripada Universe Qodrat

Bagi peminat tegar francais Qodrat, kemunculan Badut Gendong pastinya menjadi berita yang dinantikan.

Filem ini merupakan sebahagian daripada Universe Qodrat, dunia sinematik seram Indonesia yang semakin berkembang selepas kejayaan filem Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025).

Di Malaysia sendiri, kedua-dua filem tersebut berjaya membina kelompok peminat tersendiri yang menggemari gabungan elemen seram, spiritual dan drama emosi yang diketengahkan.

Kehadiran Badut Gendong dilihat sebagai langkah seterusnya dalam memperluaskan universe tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara francais seram serantau paling berpengaruh ketika ini.

Bukan Sekadar Hantu, Tetapi Kisah Tentang Luka Manusia

Apa yang membezakan Badut Gendong daripada kebanyakan filem seram lain adalah pendekatan penceritaannya.

Naskhah arahan Charles Gozali ini tidak hanya bergantung kepada elemen gangguan makhluk halus untuk menakutkan penonton. Sebaliknya, ia mengangkat tema kemanusiaan, kehilangan, trauma psikologi dan tekanan sosial yang jarang diberikan perhatian dalam filem komersial.

Filem ini turut memanfaatkan elemen budaya dan ritual masyarakat Indonesia serta mengetengahkan fenomena “badut gendong” atau penghibur jalanan yang menjadi sumber pendapatan bagi segelintir masyarakat di negara itu.

Darso, Simbol Kemarahan Golongan Yang Terpinggir

Badut Gendong mengikuti perjalanan Darso, seorang penghibur jalanan yang hidup serba kekurangan bersama isterinya, Darsi.

Namun, satu tragedi besar mengubah hidupnya secara drastik. Kehilangan yang dialami membuatkan Darso terperangkap dalam kesedihan dan kemarahan sehingga perlahan-lahan mengubah dirinya menjadi sesuatu yang jauh lebih gelap.

Menariknya, watak Darso bukan sekadar antagonis biasa. Sebaliknya, dia digambarkan sebagai simbol kemarahan golongan bawahan yang terlalu lama dipinggirkan dan tidak dipedulikan.

Melalui watak ini, filem tersebut cuba menyampaikan mesej bahawa “monster” sebenar tidak semestinya datang daripada dunia ghaib, tetapi boleh lahir daripada luka emosi yang tidak pernah sembuh.

Akan Bertemu Ustaz Qodrat Pada Masa Akan Datang?

Menurut pengarah yang juga penulis skrip filem ini, Charles Gozali, watak Darso sebenarnya dicipta untuk menjadi sebahagian daripada perancangan besar Universe Qodrat.

Katanya, Darso bakal dipertemukan dengan watak Ustaz Qodrat dalam naskhah akan datang sebagai sebahagian daripada pengembangan dunia sinematik tersebut.

Menurut Charles, kedua-dua watak mengalami kehilangan insan tersayang, namun memilih jalan hidup yang berbeza. Perbezaan itu bakal menjadi asas kepada konflik yang lebih besar pada masa akan datang.

Barisan Pelakon Berpengalaman

Watak Darso dibawakan oleh pelakon berbakat, Marthino Lio yang bergandingan bersama Clara Bernadeth, Derby Romero, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Vonny Anggraini, Totos Rasiti, Insan Nur Akbar, Barry Prima dan Jose Rizal.

Gabungan pelakon-pelakon ini dijangka memberikan impak besar menerusi persembahan yang penuh emosi dan meninggalkan kesan kepada penonton.

Bawa Mesej Tentang Realiti Masyarakat

Dalam masa sama, penerbit dari MAGMA Entertainment, Linda Gozali menyifatkan pembinaan watak Darso diinspirasikan daripada realiti masyarakat masa kini yang berdepan pelbagai bentuk ketidakadilan sosial.

Menurutnya, filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi turut mengajak penonton untuk lebih peka terhadap penderitaan dan kesusahan orang lain yang sering diabaikan dalam dunia yang semakin individualistik.

Jangan Lepaskan Peluang Menonton!

Dengan gabungan elemen seram, aksi, psikologi dan kritikan sosial yang kuat, Badut Gendong dilihat mempunyai potensi untuk menjadi antara filem seram Indonesia paling menarik tahun ini.

Jadi, bagi korang yang sukakan filem seram dengan jalan cerita yang mempunyai makna lebih mendalam, jangan lepaskan peluang menyaksikan Badut Gendong di pawagam seluruh Malaysia bermula 25 Jun 2026.

Korang berani tak nak masuk ke dunia gelap Darso?

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath