Budi yang baik memang akan dibalas dengan baik dan sentiasa berada dalam ingatan semua pihak.
Begitulah yang berlaku kepada ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya, Azwan Omar yang mulai tular sejak kisah penglibatan beliau dalam menghulurkan bantuan solo kepada mangsa bencana banjir sejak Disember lalu.
Keikhlasan beliau bertukar tular setelah rakyat Malaysia menyaksikan pengorbanan beliau membawa bot angin di atas kenderaan Perodua Viva-nya serta sekeping wang kertas RM50 yang dihulurkan ibunya demi menyelamatkan mereka yang berada dalam kesengsaraan.
Abang Viva atau Azwan bersama ibunya, Norbibah dan bapanya, Omar Pilu bersama kereta Perodua Viva serta bot angin yang telah banyak berjasa. Sumber Foto : SINAR HARIAN
Dimaklumkan, beliau telah menerima beberapa panggilan daripada pihak berlainan yang ingin memberikan hadiah penghargaan di atas bantuan yang diberi selama ini.
Paling terbaru adalah hadiah berbentuk motosikal jenis Yamaha XJ6S dan aksesori motosikal lain seperti topik keledar, jaket dan beg galas daripada syarikat ICITY Motorworld Sdn Bhd. Perkhabaran itu dimuat naik sendiri oleh syarikat tersebut.
Rata-rata warganet merasakan pemberian itu berbaloi dengan usaha Abang Viva sendiri dan mendoakan agar individu misteri yang menghadiahkan motosikal kepadanya akan dibalas dengan kebaikan selepas ini.
Untuk makluman, bersempena acara anugerah NONA SUPERHERO AWARD yang dibawakan oleh syarikat Nu Ideaktiv Sdn Bhd menerusi Majalah Nona pada malam ini, Abang Viva turut berada di sana sebagai tanda penghargaan pihak penganjur kepada beliau.
Ads
Menurut kenyataan Majalah Nona, bantuan Abang Viva sewaktu banjir melanda telah menyentuh hati rakyat Malaysia. Meskipun tidak bergelar ‘siapa-siapa’, keikhlasannya meredah air banjir dan menyelamatkan mangsa telah menyedarkan kita bahawa tindakan pantas adalah kunci kepada kejayaan menyelamatkan ramai nyawa.
Ads
Lantas, sikap kemanusiaan dan keberanian Abang Viva ini telah dijadikan salah satu kisah inspirasi yang dipancarkan sewaktu acara Nona Superhero Award pada malam ini.
Tahniah sekali lagi kepada beliau!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sudah tangan bertuah, mumbang ditanam tumbuh juga.
Ya, itulah pepatah yang sesuai bagi pemilik nama penuh Kimberly Chuah Ching Li; anak seni tempatan berbangsa Cina yang kian meningkat naik dalam industri seni hiburan. Berbekalkan minat, potensi dan semangat yang dimiliknya, tidak keterlaluan jika kami ramalkan Kimberly bakal berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan pelakon muda berkaliber yang kini mewarnai industri.
Bertatih perlahan-lahan, kehadirannya semakin dirasai langkah demi langkah selepas menamatkan perjalanannya dalam program pencarian Dewi Remaja 2022 pada kedudukan tempat ketiga. REMAJA raikan Kimberly Chuah sebagai salah seorang personaliti pilihan kempen Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gayaFZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teksFATH ABU BAKAR jurufotoAKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan AYANG KAMELL persalinanSUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Kefasihan Kimberly dalam berbahasa Melayu boleh dikatakan merupakan salah satu keunikan dominan yang ada padanya sekali gus menjadi ‘punca’ rezeki buat Kimberly terus menyemai nama menerusi naskhah yang ditonton rata-rata oleh penonton berbangsa Melayu.
Menurut Kimberly, sejak kecil lagi dirinya sudah dibesarkan untuk fasih berbahasa Melayu dan secara tidak langsung dirinya sudah sinonim dengan persekitaran berbilang kaum. Kebolehan ini menjadi satu titik tolak untuknya terus memahat nama menerusi siri drama dan telefilem bersama pemain industri tempatan terkenal.
“Boleh dikatakan tiada masalah langsung kerana saya fasih berbahasa Melayu sejak kecil. Saya pula bersekolah kebangsaan di mana saya sudah biasa bergaul dengan semua kaum.
“Dulu tidak ramai (pelakon berbangsa Cina yang aktif memasuki industri seni berbahasa Melayu) tetapi kini semakin ramai pelakon bukan Melayu yang muncul. Jujurnya, kebolehan berbahasa Melayu ini adalah keunikan dan kelebihan bagi kami (selebriti berbangsa Cina di Malaysia). Bak kata orang, practice makes perfect. Kesempurnaan memerlukan kita untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Jika sekadar teori sahaja yang mengisi ruang minda tanpa mempraktikkan bahasa kebangsaan kita, sayang sekali.
“Oleh itu, saya menganggap kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai keunikan serta kekuatan pada diri. Bahkan, saya bangga apabila terus-menerus diberikan peluang berlakon dalam drama Melayu,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.
Selain memainkan watak di depan kamera, siapa sangka Kimberly juga mempunyai bakat terpendam dan mampu melontarkan bait-bait lagu rap secara lancar dalam bahasa Melayu! Pernah suatu ketika sewaktu mengikuti uji bakat pencarian Dewi Remaja 2022 di Pulau Pinang, klip pendek yang dimuat naik oleh REMAJA bertukar tular apabila warganet terpegun dengan caranya mempersembahkan lagu bergenre rap.
Menurut Kimberly, bakat terpendam ini mungkin sekali diasah sewaktu di bangku sekolah apabila dia seringkali menyertai aktiviti di luar bilik darjah seperti berdebat.
Disoal apa yang difahaminya mengenai erti Saya #RemajaMalaysia bersempena kempen REMAJA yang sudahpun memasuki edisi kelimanya tahun ini, penulis amat tertarik dengan huraian milik Kimberly. Tentunya setiap orang mempunyai interpretasi berbeza di ruang fikiran masing-masing.
Bagi Kimberly yang mengambil berat soal pelapis yang bakal menggantikan tokoh-tokoh ternama di Malaysia dewasa kini, dia menyifatkan Remaja Malaysia adalah golongan yang bakal memberi idea bernas dalam memperjuang setiap pelbagai perkara mengikut peredaran zaman.
“Remaja adalah tonggak dan pelapis negara. Saya harus tekankan bahawa generasi maa kini wajar melatih diri untuk memperbaiki skil dan cara pemikiran agar mereka terus bangkit demi negara tercinta. Sekiranya ada yang musykil siapakah bakal menggantikan tempat duduk panas bagi memimpin negara, jawapannya adalah kita semua yang masih muda.
“Bukan bermakna jasa tokoh-tokoh negara sudah dilupakan tetapi saya percaya negara memerlukan idea dan generasi baharu untuk memperjuangkan setiap perkara yang baharu,” ujarnya lagi.
‘Minat muzik, tapi impian terbesar adalah berlakon’
Mengenali gadis ini sejak dia melangkah masuk ke pencarian Dewi Remaja 2022, Kimberly sama sekali tidak pernah gagal untuk melontarkan senyuman manisnya saat bertemu. Tidak pernah mendongak ke langit jadi rahsia dirinya disenangi orang di sekeliling.
Bukan sekadar berbakat menerusi lakonan, Kimberly juga hebat dalam menyampaikan lagu-lagu rap.
Kongsinya, jiwa anak seni yang perlu sentiasa bersedia untuk menghiburkan khalayak ramai sentiasa mengalir dalam dirinya. Biarpun dia secara peribadinya sentiasa menadah tangan dengan luas andai kata sudah tertulis rezekinya menceburi bidang baharu seperti muzik termasuklah genre rap; buat masa ini Kimberly selesa memahat nama sebagai seorang pelakon yang disegani terlebih dahulu
Benar, dunia digital dan media sosial membolehkan bakat-bakat baharu mengorak langkah ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan. Kendatipun, itu bukanlah cabaran utama Kimberly dalam melebarkan sayapnya lebih tinggi dalam arena seni tanah air, malah dia tetap positif dan percaya kepada rezeki.
“Kali pertama saya menjejakkan kaki dalam industri, matlamat saya hanya satu iaitu untuk melihat sejauh mana saya boleh teroka. Kita semua pun tidak tahu rezeki seluas mana dalam sesuatu bidang. Jadi mulai saat ini, saya akan terus berusaha agar mampu mencapai ke aras yang lebih tinggi.
“Saya turut berharap usaha yang saya semai bagi tahun-tahun berikutnya akan membuahkan hasilnya,” katanya sebagai penutup kalam.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pada usia 15 tahun, Loo Yie Bing selayaknya berbangga dengan pencapaiannya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Ini setelah perenang dari Sabah itu mencatatkan kejayaan hatrik ppingat emas menerusi acara renang 100 meter gaya bebas wanita, 50 meter kuak kupu-kupu wanita dan 200 meter gaya bebas wanita; sekaligus mengenepikan saingan perenang yang jauh lebih berpengalaman daripadanya.
Menariknya, atlet kelahiran Kota Kinabalu ini mendedahkan kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil bahawa dirinya pernah menerima tawaran menyertai skuad renang kebangsaan sebanyak dua kali walaupun masih berusia belasan tahun.
“Kali pertama adalah pada tahun 2019. Dan kali kedua beberapa minggu lepas tapi saya tolak.
“Saya mahu fokus kepada pengajian dahulu dan jika berpeluang, (saya) mahu pergi sambung pengajian (dalam jurusan) veterinar di UK (United Kingdom), Australia atau US (Amerika Syarikat),” kata Yie Bing.
Minatnya dalam bidang veterinar ini tercetus setelah pemergian anjing peliharaannya yang diberi nama Chunky pada Jun 2021. Begitupun, Yie Bing tidak serik untuk terus beraksi dalam sukan renang dan akan terus memperbaiki catatan masanya dengan berlatih secara lebih gigih.
Bercakap mengenai pencapaian hatrik emas pada temasya kali ini, Yie Bing gembira apabila dapat menghadiahkan emas kepada negeri Sabah. Namun dia tetap menyimpan sedikit rasa kecewa kerana tidak berjaya memecahkan rekod kebangsaan untuk acara 100 meter gaya bebas wanita yang dilakukannya ketika Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan, Jun lalu.
“Saya rasa saya terlalu menarik nafas dan mengakibatkan pergerakan menjadi perlahan. Mungkin disebabkan saya juga terlalu gementar. Saya tahu saya mempu melakukannya dengan lebih baik,” tambahnya.
Yie Bing kini berbaki tiga lagi acara renang di SUKMA 2022 iaitu acara 50 meter gaya bebas wanita, 50 meter kuak dada wanita dan 100 meter kuak kupu-kupu wanita.
Mampukah Yie Bing untuk terus melakar kejayaan di kolam renang SUKMA ini? Sama-sama kita nantikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
”.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, saudara kembar yang juga pelajar tingkatan 2 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Anas Rayyan Muhammad Shaifuddin dan Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Emas Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024.
Mereka berdua membuat keputusan menyertai pertandingan esei itu semasa berkunjung ke London untuk menemui kakak mereka, Sofea Arisya Muhammad Shaifuddin yang kini merupakan pelajar tahun tiga Wharton Business School, University of Pennsylvania, dan berjaya menghasilkan esei yang diperlukan walaupun dalam masa yang terhad dan singkat.
Dalam pada itu, saudara kembar ini meluahkan rasa girang serta syukur di atas kejayaan yang diraih dan berkongsi persediaan rapi yang mereka lakukan untuk pertandingan esei berkenaan.
“Memenangi anugerah ini memberi motivasi untuk kami meneruskan usaha mencari cara baru untuk melahirkan pandangan kami menerusi penulisan”
Mereka berkata dalam satu kenyataan dihantar kepada Bernama, sebelum kejayaan ini, Anas dan Amir pernah menyertai peraduan esei yang lain, tetapi penyertaan untuk Queen’s Commonwealth Essay Competition, adalah yang pertama.
Selain itu, esei mereka turut memberi tumpuan kepada tema nilai kekeluargaan, perpaduan dan warisan budaya, ternyata paling unggul dalam kalangan ribuan esei yang diterima oleh pihak penganjur.
Esei Anas, bertajuk ‘A Culinary Journey with Tok and Me’, memberi peluang kepada pembaca untuk berkongsi pengalamannya mempelajari cara memasak makanan tradisional Malaysia daripada neneknya (Tok).
“Nak buat kuih yang sedap mesti ada rasa kasih dalam setiap langkah membuat kuih itu’,” nenek Anas memberitahunya.
Menurut Anas, pesanan neneknya itu mengajar dirinya kepentingan bersabar, daya kreatif serta nilai menyatukan komuniti menerusi makanan.
Sementara itu, esei Amir yang berjudul ‘A Malaysian Tale of Family and Unity’, menekankan kepentingan perhimpunan keluarga sewaktu musim perayaan seperti hari raya.
Amir menggambarkan suasana meriah, berkongsi makanan dan tradisi yang mengeratkan lagi jalinan silaturrahim sesama anggota keluarga, di samping nilai-nilai berkenaan penting memupuk perpaduan dalam Komanwel.
“Bagi saya, tradisi ini adalah simbol kekuatan dan perpaduan, nilai yang saya percaya boleh menyatukan semua dalam Komanwel,” ujarnya.
Tema Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024, berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan, hospitaliti, kerjasama, hormat-menghormati serta maruah serta konsep yang digunakan oleh Anas dan Amir untuk esei mereka.
Pada masa yang sama, saudara kembar ini juga menyatakan penghargaan kepada guru bahasa Inggeris mereka, Sir Qassim dan En Ng atas bimbingan serta galakan yang diberikan untuk mereka berkarya sebagai penulis muda.
Mereka juga melahirkan harapan esei yang dihasilkan itu akan memberi inspirasi kepada yang lain untuk mencuba kuasa penceritaaan serta menjadikan nilai-nilai seperti perikemanusiaan dan saling hormat-menghormati, malar segar, dalam evolusi dunia yang kian pesat.
Sumber Artikel & Foto: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Insiden remaja maut ditembak di Keningau mengejutkan negara. Ketahui kronologi kejadian, hasil siasatan polis dan pengajaran penting buat remaja serta ibu bapa mengenai bahaya senjata buatan sendiri.