Bisnes

Tak Sangka Jerawat Jadi Punca Kematian, Segitiga Kematian Wajah Ragut Nyawa Suami Tercinta

Share

Siapa sangka, niat seorang isteri untuk membantu mengurangkan kesakitan jerawat di wajah suaminya akhirnya bertukar menjadi tragedi yang meragut nyawa insan tersayang. Perkara yang kelihatan kecil ini rupa-rupanya menyimpan risiko besar yang jarang disedari.

Perkongsian menyayat hati ini dikongsikan oleh seorang wanita di media sosial menggunakan akaun burhansyfq1.

Beliau menceritakan penyesalan terbesar dalam hidupnya satu kejadian yang langsung tidak pernah terlintas di fikirannya akan membawa akibat sedemikian rupa.

Suami Merantau Jauh Demi Mencari Rezeki

Menurut wanita tersebut, suaminya merupakan seorang lelaki yang kuat bekerja dan sanggup merantau jauh demi mencari rezeki untuk keluarga. Suaminya bekerja di lapangan dan hanya pulang ke rumah setiap tiga bulan sekali.

Ketika kejadian berlaku, wanita itu sedang hamil muda. Kepulangan suami menjadi detik yang dinanti, diisi dengan kebahagiaan sederhana dan gurauan sebagai suami isteri selepas lama berjauhan.

Jerawat Di Hidung Yang Disangka Perkara Remeh

Pada suatu hari, ketika mereka sedang makan dan berbual mesra, suaminya mengadu mengenai jerawat di bahagian hidung yang tidak kunjung hilang. Si isteri hanya menenangkan suaminya dengan berkata jerawat tersebut akan sembuh dengan sendirinya.

Namun dalam suasana bergurau, suaminya mengusik isterinya sehingga membuatkan si isteri secara spontan memicit jerawat tersebut.

Ketika itu, mereka langsung tidak menyangka apa-apa kerana suaminya hanya ketawa dan memberi keizinan.

Perkara sama berulang beberapa kali dalam tempoh beberapa hari berikutnya, tanpa menyedari bahaya besar yang tersembunyi di kawasan dikenali sebagai segitiga kematian wajah.

Tanda-Tanda Awal Masalah Kesihatan

Keesokan paginya, si isteri terkejut apabila suaminya mengadu pening kepala dan badannya terasa panas. Pada mulanya, mereka menyangka ia hanyalah demam biasa lalu memberikan ubat seperti kebiasaan.

Namun keadaan suaminya tidak semakin pulih. Demamnya berlarutan, bahagian hidung menjadi merah dan bengkak, dan suaminya mengadu sakit kepala yang semakin teruk sehingga ke bahagian belakang kepala.

Keadaan tersebut akhirnya memaksa mereka mendapatkan rawatan di hospital.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat darah beku di bahagian dalam hidung yang memerlukan rawatan intensif.

Keadaan menjadi semakin kritikal apabila doktor mengesahkan berlaku pendarahan yang telah merebak ke pembuluh darah otak.

Pembedahan segera terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa suaminya.

Ketika itu, doktor bertanya sama ada sebelum ini terdapat sebarang cubaan memicit jerawat di kawasan segitiga kematian wajah, iaitu kawasan sensitif yang mempunyai hubungan terus dengan salur darah ke otak.

Soalan tersebut membuatkan si isteri terdiam dan tergamam.

Penyesalan Yang Tidak Terungkap Dengan Kata-Kata

Wanita itu akhirnya mengakui kepada doktor bahawa dialah yang pernah membantu memicit jerawat suaminya kerana menyangka ia perkara remeh dan boleh mempercepatkan penyembuhan.

Doktor menjelaskan bahawa jangkitan di kawasan tersebut boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan komplikasi serius seperti pendarahan otak, jangkitan darah dan kematian.

Si isteri mengakui dirinya benar-benar lemah, menangis tanpa henti dan hampir pengsan kerana rasa bersalah yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Dua hari selepas pembedahan dilakukan, suaminya disahkan meninggal dunia. Dunia seakan terhenti buat wanita itu, malah beliau pengsan sebaik menerima khabar duka tersebut.

Di akhir perkongsiannya, wanita itu berharap kisah hidupnya dapat dijadikan pengajaran buat semua supaya tidak memandang remeh perkara yang kelihatan kecil, dan sentiasa mendapatkan nasihat serta rawatan perubatan yang betul.

“Mohon doakan suamiku tenang di sana,” tulisnya dengan penuh pilu.

Sumber : Tiktok Burhansyfq1

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy