
Pemuzik dan penerbit terkenal Sean ‘Diddy’ Combs dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun dua bulan atas kesalahan membawa individu merentas negeri untuk tujuan hubungan seksual. Hukuman itu dijatuhkan pada Jumaat, menandakan penutup kepada kes persekutuan yang penuh dengan pendedahan mengejutkan dan mencemar reputasi ikon hip-hop berusia 55 tahun itu.
Menurut laporan antarabangsa, Diddy turut diperintah membayar denda sebanyak AS$500,000 (RM2.1 juta). Bagaimanapun, kerana beliau sudah menjalani hukuman selama setahun, Diddy dijangka dibebaskan dalam tempoh tiga tahun lagi sekiranya berkelakuan baik.
Peguam bela Diddy bagaimanapun telah mengemukakan rayuan agar anak guamnya dibebaskan segera, dengan alasan tempoh tahanan yang dilalui sudah memberi kesedaran dan membebaskannya daripada pengaruh dadah.
Sebelum ini, Diddy disabitkan bersalah pada Julai lalu atas tuduhan membawa teman wanita dan pekerja seks lelaki ke seluruh negara untuk terlibat dalam hubungan seksual berasaskan dadah. Namun, beliau dilepaskan daripada tuduhan lebih berat iaitu pemerdagangan seks dan jenayah terancang yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.
“Kenapa perkara ini berlarutan begitu lama?” soal Hakim Arun Subramanian ketika menjatuhkan hukuman.
“Kerana anda memiliki kuasa dan sumber untuk terus melakukannya dan kerana anda tidak ditangkap”
Difahamkan, Diddy kekal tenang tanpa sebarang reaksi ketika keputusan dibacakan. Dalam kenyataan terakhirnya di mahkamah, beliau mengakui perbuatannya sebagai “menjijikkan” dan “memalukan,” sambil memohon maaf kepada semua mangsa yang disakiti secara fizikal dan mental.
“Perbuatan keganasan rumah tangga saya adalah beban yang akan saya pikul sepanjang hidup,” katanya.
Sepanjang prosiding, peguam bela turut menayangkan video berdurasi 11 minit yang memaparkan sisi peribadi Diddy bersama keluarga dan kerja amalnya, di mana beliau dilihat menangis ketika tayangan tersebut.
Perbicaraan hampir dua bulan itu turut menyaksikan beberapa wanita tampil memberi keterangan mendakwa pernah dipukul, diugut dan diserang secara seksual oleh Diddy. Pendakwa raya Christy Slavik menegaskan bahawa hukuman ringan terhadap selebriti itu seolah-olah menghalalkan tahun-tahun keganasan yang dilakukan.
Sementara itu, kes ini dijalankan di bawah Mann Act, undang-undang yang melarang membawa individu merentas negeri untuk tujuan pelacuran. Antara keterangan paling mengejutkan datang daripada bekas teman wanita Diddy, Casandra ‘Cassie’ Ventura, yang mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks menjijikkan dengan orang asing ratusan kali sepanjang hubungan mereka selama 10 tahun.
Pada masa yang sama, kenyataan daripada seorang mangsa lain yang dikenali sebagai Mia iaitu bekas pembantu yang mendakwa dirogol Diddy pada tahun 2010 telah dibatalkan pada saat akhir selepas bantahan pihak pembelaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.