Fesyen

Scha Alyahya Mengerti ‘Struggle’ Bina Jenama Fesyen Selepas Hampir Setahun Perkenalkan ayaaya

Share

Pelakon, pengacara dan usahawan, Scha Alyahya merasakan tempoh hampir setahun yang diperuntukkan bagi membina jenama fesyen miliknya, ayaaya daripada bawah telah mengajarnya erti kepayahan.

ayaaya yang dibangun menggunakan dana peribadinya tanpa mengharapkan bantuan kewangan daripada pihak luar telah berjaya meraih perhatian pelanggan yang rata-rata terdiri daripada peminatnya.

Namun di sebalik kisah sukses itu, Scha sewaktu ditemui di acara jualan CirKLe Community yang menempatkan reruai ayaaya berkata, banyak usaha keras yang perlu dicurahkan tanpa pengetahuan orang ramai demi memastikan kelangsungan jualan serta penjenamaan.

Scha Alyahya.

“Selepas ayaaya berusia setahun, ada naik turunnya. Ada masanya saya terfikir, ‘I tak nak buat dah…’ kerana saya tersedar, ada banyak perkara yang perlu saya pelajari dan perbaiki.

“Apa yang kita nampak di sini hanyalah permukaan sahaja. Yang cantik-cantik. Tapi di sebalik semua ini… bahagian backend semua, banyak lagi benda yang saya perlu tahu,” ujarnya.

Cabaran Dunia Perniagaan Fesyen

Dalam tempoh membangunkan perniagaan tersebut, ia dilakukan dengan penuh kesabaran walaupun berdepan pelbagai cabaran yang kadangkala membuatkan dirinya hampir berputus asa.

Menurut Scha, dia sering perlu memberi kata-kata semangat kepada dirinya sendiri agar kekal positif dan terus bergerak ke hadapan.

Banyak pengorbanan telah dilakukan sejak mula membangunkan jenama tersebut, justeru meninggalkan usaha itu di tengah jalan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya pernah utarakan kepada Awal di mana saya akan lihat bagaimana hala tuju perniagaan ini untuk setahun dua. Jika saya rasa tak ‘fit’ (untuk meniaga) saya kena tanya balik kepada diri sama ada saya mampu atau tidak bergelar seorang usahawan.

“Cuma Awal cakap, jangan begitu kerana ini adalah cabaran yang perlu saya lalui untuk tahu susah senang (terbinanya) sesebuah jenama. Yang penting, jangan mudah putus asa!”

“Saya selalu beritahu diri sendiri untuk ‘trust the process’. Kalau tak, bila nak belajar?” – Pemilik ayaaya, Scha Alyahya

ayaaya Semakin Mendapat Sambutan

Dalam pada itu, jenama ayaaya yang hanya dikelolakan oleh lima orang individu termasuklah diri Scha sudah mula mendapat rentak dari segi sambutan yang diterima setiap kali ia memperkenalkan rekaan beg tangan dan baju-T baharu.

Perlahan-lahan, Scha mengayuh kemudi jenama berkenaan bukan hanya untuk dirinya tetapi juga pekerja yang setia bersamanya selama ini.

Rekaan FLARE oleh ayaaya.
Rekaan NEXX oleh ayaaya.

“ayaaya bukan hanya mewakili nama saya. Ia juga melibatkan mereka yang bekerja di bawah saya. Saya galas tanggungjawab sebagai pemilik dan pengasas untuk memacu jenama ini ke hadapan.

“Alhamdulillah selepas hampir setahun, rentak itu sudah ada. Saya cuma perlu kekal optimistik,” katanya lagi.

Untuk korang yang masih tercari-cari aksesori sepadan untuk digayakan pada Aidilfitri nanti, dapatkan koleksi terbaru ayaaya di The Campus ampang sempena acara CirKLe Community – Eid Semester 2026.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ