
Pengurus kepada pelakon popular Fattah Amin, iaitu Sakirin Shak baru-baru ini menjadi perhatian ramai selepas berkongsi pandangan mengenai hubungan mesra antara penyanyi Amira Othman dan anak sulung kepada Fattah, Nur Fatima Aisya.
Menerusi sebuah video temu bual yang tular di TikTok, Sakirin atau lebih mesra disapa sebagai Acha dilihat sebak ketika menitipkan pesanan istimewa buat pasangan itu. Malah, beliau turut meyakini bahawa Amira mampu menggalas peranan sebagai ibu tiri yang baik buat Fatima.
“InsyaAllah, suatu hari nanti awak akan ada anak sendiri dan jangan lupa pula dekat Fatima. Saya yakin Amira akan jadi ibu tiri yang sangat baik kepada Fatima sebab Fattah juga merupakan seorang bapa yang sangat penyayang,” katanya penuh emosi.
Pada masa yang sama, Acha sempat menitipkan doa agar rumah tangga yang bakal dibina pasangan ini berkekalan dan dipenuhi keberkatan. Selain itu, beliau menzahirkan harapan agar kebahagiaan yang dikecapi kedua-duanya mampu bertahan hingga ke akhir hayat.
“Saya harap perkahwinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pada Isnin, Fattah mengumumkan secara terbuka bahawa majlis ijab kabul bersama Amira akan berlangsung pada Ahad ini, 14 September 2025. Pengumuman itu sekaligus menjawab persoalan peminat mengenai status hubungan mereka yang sebelum ini menjadi tanda tanya.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon terkenal Nur Fazura. Namun, selepas tujuh tahun berkongsi hidup, pasangan ini mengambil keputusan untuk berpisah pada 7 Oktober 2024 dengan talak satu. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.
Pendedahan mengenai tarikh perkahwinan mereka telah mendapat pelbagai reaksi daripada peminat yang rata-rata mendoakan kebahagiaan buat Fattah dan Amira. Malah, ramai yang memuji keakraban Amira bersama Fatima yang dianggap sebagai tanda positif buat masa depan mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.