Berita

“Saya Rindu Segala-Galanya.. Dia Pergi Di Depan Saya” –Erysha Emyra Kongsi Detik Akhir Bersama Arwah Bapa

Share

Kehilangan insan tersayang sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi apabila hubungan yang terjalin begitu rapat sejak kecil.

Itulah yang sedang dilalui pelakon muda, Erysha Emyra, yang mengakui dirinya masih berusaha menerima hakikat pemergian bapa tercinta, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 29 Mei lalu.

Menurut Erysha atau nama sebenarnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 26, kehilangan insan yang paling rapat dengannya itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam serta satu kekosongan besar dalam hidup.

Ketepikan Kesedihan Demi Tanggungjawab Kerja

Menerusi laporan media tempatan, walaupun masih bersedih, pelakon tersebut berkata dia perlu mengetepikan perasaan itu buat sementara waktu bagi memberi fokus kepada komitmen kerja yang telah dipersetujui lebih awal.

“Saya rindu segala-galanya sebab saya memang rapat dengan ayah. Saya sangat manja dengan dia, jadi bila dia sudah tiada, memang terasa kosong.

“Pemergian ayah ini, saya rasa tak mampu nak cakap apa-apa lagi. Buat masa sekarang, saya cuba ketepikan perasaan itu sekejap kerana masih ada komitmen kerja.

“Setiap hari saya perlu masuk set dan teruskan kerja seperti biasa. Mungkin selepas selesai penggambaran nanti, barulah saya akan hadapi semua perasaan ini sepenuhnya,” katanya.

Bersyukur Produksi Beri Peluang Temani Ayah Hingga Saat Akhir

Dalam pada itu, pelakon drama Ikatan Terlarang tersebut turut mengakui berasa sedikit terkilan kerana jadual penggambaran yang padat menyebabkan dia tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama bapanya ketika arwah sedang sakit.

Bagaimanapun, dia amat bersyukur apabila pihak produksi memberikan pelepasan cuti selama seminggu sebaik dimaklumkan mengenai keadaan bapanya yang kritikal.

“Ketika ayah sakit, saya memang sangat sibuk dengan penggambaran dan kami tidak mempunyai banyak masa bersama. Namun saya sangat bersyukur kepada produksi

Ikatan Terlarang. Apabila saya hubungi mereka dan beritahu ayah dimasukkan ke bahagian kecemasan, mereka terus memberi cuti kepada saya.

“Sebaik saya tiba di hospital, ayah terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan. Dalam tempoh kurang lima jam, pihak produksi terus meluluskan cuti selama seminggu. Saya sangat menghargainya kerana dapat meluangkan masa bersama ayah sehingga saat-saat akhir. Dia juga menghembuskan nafas terakhir di depan saya.

“Kalau ketika itu saya masih berada di set dan hanya menerima panggilan telefon, mungkin saya akan lebih terkilan,” katanya.

Berpegang Pada Amanah Terakhir Arwah

Meskipun kehilangan itu masih terasa, Erysha berkata dia reda dengan ketentuan Ilahi dan berazam untuk meneruskan amanah yang ditinggalkan oleh arwah bapanya.

“Memang bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui sesiapa pun. Namun saya percaya, dengan masa, kita akan semakin reda dan kuat.

“Sekarang mungkin saya sudah tidak mempunyai doa daripada seorang ayah, tetapi saya yang perlu terus mendoakan dia.

“Antara pesanan terakhir arwah ialah supaya saya menjaga keluarga, memikul amanah yang ditinggalkannya dan memastikan kami terus hidup dalam keadaan gembira serta bersatu,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum menghembuskan nafas terakhir beberapa hari kemudian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath