
Penyanyi versatil, Marsha Milan meluahkan hasrat untuk bergabung dalam sebuah karya istimewa bersama dua lagi figura vokal hebat tanah air iaitu Aina Abdul dan Ernie Zakri pada masa akan datang.
Menurut Marsha, keinginan tersebut hadir susulan dirinya bersama Aina dan Ernie sering menjadi perbandingan dalam kalangan peminat serta pemerhati industri muzik tempatan.
“Saya teringin untuk ada satu karya dengan Aina Abdul dan Ernie Zakri. Walaupun pernah berduet dalam persembahan, tetapi lagu bersama masih belum ada lagi.
“Saya mahu duet dengan Aina dan Ernie sebab suara kami bertiga sering dibanding-bandingkan. Kalau ingat kembali, ada suatu ketika dahulu kami memang kerap dibandingkan.
“Bila orang sering membandingkan, perkara itu ‘triggered’ saya dan terfikir, kalau bergabung mengapa tidak,” katanya.

Marsha berkongsi perkara tersebut ketika ditemu bual dalam satu program stesen radio tempatan yang dihoskan oleh Radin.
Gabungan Tiga Vokal Berbeza, Satu Keunikan
Mengulas lanjut, pelantun lagu popular Hening Rindu itu mengakui Aina dan Ernie masing-masing memiliki kelebihan tersendiri selain kekuatan vokal yang sememangnya tidak perlu disangkal.

“Aina dan Ernie, kedua-dua penyanyi ini sangat berbakat. Saya pasti dari arah muzik juga kami mempunyai sedikit persamaan walaupun tona suara berbeza.
“Tetapi saya rasa ia akan jadi sesuatu yang unik sekiranya kami benar-benar digabungkan. Soal lagu pula saya tidak kisah, kalau lagu rancak pun mengapa tidak, asalkan sesuatu yang baharu,” tuturnya lagi.

Hasrat tersebut sekali gus mengundang perhatian peminat yang turut berharap kolaborasi tiga suara besar ini dapat direalisasikan pada masa akan datang.
Jika benar menjadi kenyataan, gabungan tiga nama ini pastinya bakal mencipta satu momen luar biasa dalam industri muzik tempatan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










