
“Saya bukan tak mahu cakap saya berbangsa Melayu tetapi hakikatnya memang bukan.”
Demikian pengakuan jujur pempengaruh media sosial terkenal, Ameera Khan, yang baru-baru ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.
Dilahirkan di Kelantan dan dibesarkan dalam budaya Melayu, Ameera mendedahkan bahawa beliau sebenarnya berdarah Pakistan dan Arab, tanpa sebarang keturunan Melayu. Namun, beliau tetap fasih bertutur dalam bahasa Melayu, termasuk dialek Kelantan, hasil daripada persekitaran yang membentuk identitinya sejak kecil .
“Saya dilahirkan dan dibesarkan di sini, tentulah boleh bercakap Melayu dan berdialek Kelantan terutamanya. Kalau tak boleh [cakap Melayu], boleh tampar sahaja muka saya,” tegas Ameera.
Ameera akui kerap kali berdepan kesulitan ketika diminta untuk mengakui bahawa dia berbangsa Melayu. Kerana hakikatnya, memang dia bukan orang Melayu.
“Bukan saya tak mahu cakap saya berbangsa Melayu, namun hakikatnya memang bukan Melayu. Bukan tak nak mengaku Melayu tetapi, ibu bapa saya tiada darah Melayu,” tegas Ameera seperti dilaporkan mStar.
Pempengaruh asal Kelantan ini juga sedang hangat dilamun cinta bersama pasangan kekasihnya dari Indonesia yang juga seorang selebriti iaitu Jefri Nichol.
Pengakuan Ameera Khan mengenai identiti etniknya sebagai berdarah Pakistan dan Arab telah membuka perbincangan luas tentang definisi bangsa dan identiti dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Ameera Khan ialah adik tiri kepada selebriti terkenal Malaysia, Noor Neelofa. Walaupun mempunyai hubungan keluarga dengan Neelofa, Ameera telah membina identitinya sendiri sebagai pempengaruh media sosial dan usahawan.
Pada Mei 2018, Ameera melancarkan jenama kosmetiknya sendiri, LMK Cosmetics, yang diinspirasikan oleh ikon kecantikan antarabangsa. Walaupun mengakui tidak terlalu gemar bersolek, beliau berjaya memanfaatkan popularitinya untuk mempromosikan produk jenamanya. Namun, syarikat tersebut kini telah tidak aktif.
Ameera mendapat pendidikan di sekolah antarabangsa dan berjaya menamatkan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE). Beliau fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan dialek Kelantan, mencerminkan latar belakang keluarga yang multilingual.
Salah satu momen yang menyebabkan Ameera menjadi tular adalah apabila beliau dilaporkan membeli 161 batang gincu dalam satu masa. Insiden ini menarik perhatian netizen dan media, serta memperkukuhkan imejnya sebagai ikon fesyen dan kecantikan.
Gaya hidup mewah dan penampilannya sering menyebabkan beliau dibandingkan dengan Kylie Jenner, bintang terkenal dari keluarga Kardashians. Media pernah memberikan jolokan kepadanya sebagai “The Next Kardashians”.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.