
Keikhlasan seorang pendidik dalam menjalankan tanggungjawabnya nyata menyentuh hati ramai apabila seorang guru di Sekolah Kebangsaan Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, Johor sanggup menggunakan duit bonus sebanyak RM2,000 demi mengubah suai dan menceriakan kelas muridnya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di platform X, guru berkenaan yang dikenali sebagai Kamal Darwin memaklumkan beliau mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkan proses menghias dan menyusun semula kelas tersebut agar lebih selesa serta kondusif untuk pembelajaran.
Menurut Cikgu Kamal, usaha itu bukan dilakukan secara bersendirian. Beliau turut menerima bantuan daripada ibu bapa murid, kakitangan pembersihan serta guru-guru senior yang sama-sama berganding bahu menjayakan inisiatif tersebut.
Sebagai seorang guru, Cikgu Kamal menganggap menyediakan persekitaran pembelajaran yang baik merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul demi perkembangan dan kesejahteraan murid.
Apa yang dilakukan oleh Cikgu Kamal ini wajar dijadikan inspirasi, bukan sahaja kepada warga pendidik tetapi juga masyarakat umum. Mengajar sambil memastikan murid belajar dalam suasana yang selesa dan positif sememangnya satu usaha murni yang patut dicontohi dan diberi perhatian.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kamal Darwin