
Sanae Takaichi mencipta sejarah apabila menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun — bukti bahawa wanita boleh menembusi dunia politik yang sebelum ini didominasi lelaki. Pelantikan beliau bukan sekadar sejarah untuk Jepun, tetapi simbol semangat baharu buat generasi muda terutamanya wanita yang berani mencabar norma dan mengejar cita-cita tanpa rasa takut.
Tokoh politik beraliran ultrakonservatif ini mencuri tumpuan dunia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun pada usia 64 tahun. Bukan sahaja mengetuai Parti Demokratik Liberal (LDP) — parti paling berkuasa di Jepun — Sanae Takaichi juga menjadi wanita pertama menduduki kerusi tertinggi negara Matahari Terbit itu. Dalam ucapannya yang tular, beliau menegaskan:
“Saya akan buang perkataan keseimbangan kerja dan kehidupan. Saya akan bekerja, bekerja, bekerja dan terus bekerja.”
Tegas, fokus dan berdedikasi begitulah gaya kepimpinan Sanae. Namun di sebalik wajah seriusnya, siapa sangka pemimpin ini sebenarnya berjiwa ‘heavy metal’ dan peminat motosikal berkuasa tinggi!
Antara kumpulan muzik kegemaran Sanae Takaichi termasuk Iron Maiden, Deep Purple dan Metallica, malah beliau juga seorang pemukul dram amatur. Minatnya terhadap muzik keras dikatakan memberi tenaga dan keberanian dalam menghadapi tekanan dunia politik yang mencabar.
Dilahirkan di Nara, Jepun, Sanae datang daripada keluarga sederhana. Ibunya seorang anggota polis manakala bapanya bekerja di kilang alat ganti kereta. Sejak kecil, beliau sedar betapa sukarnya wanita Jepun mendapatkan peluang setara. Namun semangatnya tidak pernah luntur. Beliau menempuh enam jam perjalanan setiap hari ke Universiti Kobe semata-mata untuk menuntut ilmu, membuktikan tekad luar biasa demi mencapai impian.
Selepas tamat pengajian, Sanae Takaichi menyertai Institut Tadbir Urus dan Pengurusan Matsushita, sebelum berpeluang berlatih di pejabat ahli Kongres AS, Patricia Schroeder — seorang feminis terkenal yang banyak membentuk pandangan politiknya. Sekembalinya ke Jepun, Sanae mula mencipta nama sebagai penulis dan personaliti TV sebelum memenangi kerusi Parlimen pada tahun 1993.
Beliau juga merupakan anak didik kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, dan sering dianggap sebagai pewaris ideologi Abe yang menekankan kekuatan nasional serta kestabilan ekonomi. Gaya kepimpinan tegasnya sering dibandingkan dengan ‘Iron Lady’ Britain, Margaret Thatcher. Malah, Sanae sering tampil dengan sut biru sebagai tanda penghormatan kepada idolanya itu.
Namun perjalanan politiknya tidak mudah. Sanae Takaichi pernah berdepan diskriminasi jantina, diabaikan oleh rakan sejawat lelaki dan disisihkan daripada mesyuarat penting yang diadakan di tempat eksklusif seperti kelab sosial. Tapi dengan semangat dan ketekunan tinggi, beliau berjaya menembusi dunia politik yang didominasi lelaki dan kini berdiri sebagai lambang kekuatan wanita Jepun moden.
Di sebalik imej keras, Sanae Takaichi kekal sebagai inspirasi — wanita yang berani menjadi diri sendiri, berjiwa ‘rock’, namun tetap teguh memperjuangkan nilai konservatif dan patriotisme negaranya. Dari seorang gadis kecil di Nara yang pernah bermimpi memiliki ‘istana’ sendiri, kini impian itu menjadi nyata di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Nagatacho, Tokyo.
Sanae Takaichi bukan sekadar nama dalam sejarah Jepun, tetapi ikon keberanian wanita moden yang berani berfikir luar kotak. Untuk remaja hari ini, kisahnya menjadi bukti kamu boleh jadi apa sahaja yang kamu impikan, asalkan berani mencuba dan tidak takut menjadi diri sendiri.
Sumber : NYtimes.com