
Terbaru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal mempertimbangkan cadangan mengenakan tindakan saman terhadap pejalan kaki yang melanggar peraturan keselamatan jalan raya menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, cadangan tersebut merupakan antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan tahap keselamatan pejalan kaki, khususnya individu yang melintas jalan di kawasan tidak dibenarkan.
Memetik laporan Kosmo, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 29 kes kemalangan maut melibatkan pejalan kaki pada 2022. Jumlah tersebut menunjukkan penurunan kepada 21 kes pada 2023, sebelum meningkat kepada 23 kes pada 2024 dan 20 kes pada 2025.

Difahamkan, antara lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan membabitkan pejalan kaki termasuk Jalan Tun Perak berhampiran Masjid Jamek, Jalan Sultan Ismail dan Seri Petaling. Kebanyakan insiden berkenaan turut dilaporkan berlaku pada waktu malam.
Selain itu, antara faktor yang menyumbang kepada kejadian tersebut ialah sikap segelintir pejalan kaki yang tidak menggunakan lintasan yang disediakan. Pada masa yang sama, tindakan pemandu yang memandu melebihi had laju turut dikenal pasti sebagai salah satu punca kemalangan.
Bagi menangani isu berkenaan, DBKL telah mengambil beberapa inisiatif keselamatan termasuk menyediakan lintasan khas pejalan kaki serta memasang penghadang di lokasi tertentu. Kemudahan tambahan juga diperkenalkan bagi mengehadkan kelajuan kenderaan kepada 30 kilometer sejam.

Dalam perkembangan lain, DBKL turut merancang untuk membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang lebih 22 kilometer di sekitar Kuala Lumpur. Projek tersebut dijangka mula dilaksanakan seawal Disember 2026 bagi menyediakan kemudahan perjalanan yang lebih selesa dan selamat kepada orang ramai.
Bagaimanapun, cadangan mengenakan saman terhadap pejalan kaki menerusi pemantauan CCTV masih berada dalam peringkat pertimbangan pihak berkuasa. Sekiranya dilaksanakan, langkah tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai supaya lebih berdisiplin dan mengutamakan keselamatan ketika menggunakan jalan raya.
Sumber: Kosmo Online
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










