Hiburan

Goo Hye Sun Raih Dua Pencapaian KAIST, Lancar Produk Kecantikan Baharu Mesra Alam

Share

Pelakon dan usahawan terkenal Korea Selatan, Goo Hye Sun, baru-baru ini mencuri perhatian apabila menerima pengiktirafan berprestij daripada KAIST dalam kategori Bakat Kreatif di mana beliau menjadi salah seorang daripada 19 individu dan pasukan yang dipilih dibawah strategi budaya KAIST, yang menilai kecemerlangan berdasarkan lima tonggak utama iaitu bakat kreatif, penyelidikan, globalisasi, penciptaan nilai teknologi serta kepercayaan dan komunikasi.

Memetik laporan media tempatan, pengiktirafan ini diraih Goo Hye Sun ketika sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di KAIST Graduate School of Future Strategy. Ia sekaligus mengukuhkan reputasinya sebagai figura serba boleh yang berjaya menyeimbangkan akademik, seni dan keusahawanan.

Lebih menarik, anugerah tersebut diterima seiring peluncuran inovasi terbarunya dalam industri kecantikan iaitu rol rambut jenis rata yang direka khusus sebagai alternatif lebih selesa dan mesra alam berbanding rol konvensional. Difahamkan, produk berkenaan menampilkan penggunaan plastik yang dikurangkan sehingga 80 peratus, menjadikannya seiring dengan tren kecantikan mampan yang semakin mendapat perhatian pengguna global.

Kredit foto: Goo Hye Sun
Kredit foto: Goo Hye Sun

Di samping itu, rekaan rol rambut tersebut turut mengetengahkan konsep kecantikan sebagai sebahagian daripada naratif budaya, selaras dengan kecenderungan beliau yang sering menyatukan nilai seni dan fungsi praktikal dalam setiap projeknya. Sentuhan kreatif ini membolehkannya menonjol di tengah-tengah persaingan industri kecantikan Korea yang terkenal kompetitif.

Sejak ia dilancarkan, produk inovatif itu menerima reaksi positif daripada pengguna yang memuji reka bentuknya yang ‘stylish’ serta keselesaannya, walaupun tanpa mencubanya secara fizikal. Penerimaan awal yang menggalakkan ini turut dibantu oleh strategi pemasaran berasaskan gaya hidup yang menekankan elemen estetik dan kemudahan penggunaan.

Rol rambut tersebut kini boleh didapati melalui pelbagai platform runcit, baik dalam talian mahupun kedai fizikal. Ketersediaannya secara meluas dijangka meningkatkan lagi jenama yang diusahakan oleh pelakon yang popular menerusi drama Boys Over Flower dan Angel Eyes itu.

Kredit foto: Goo Hye Sun
Kredit foto: Goo Hye Sun

Sementara itu, menerusi kejayaan produk serta pengiktirafan rasmi daripada KAIST, Goo Hye Sun terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon kreatif yang versatil. Dedikasinya dalam menggabungkan reka bentuk mampan, inovasi teknologi dan kepekaan artistik membuktikan bahawa beliau bukan sekadar selebriti, tetapi seorang usahawan visioner.

Pencapaian terbaharu ini turut mengukuhkan reputasi beliau sebagai bintang inspirasi yang tidak gentar meneroka pelbagai bidang, sekaligus terus relevan dalam industri hiburan, akademik dan keusahawanan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE