Hiburan

RM BTS Prihatin Warisan Budaya, Sumbangan Dana Hidupkan Semula Lukisan Tradisional Lama Korea

Share

Baru-baru ini, bintang K-Pop terkenal, RM daripada kumpulan BTS sekali lagi mencuri perhatian apabila sumbangannya membantu menerbitkan sebuah katalog khas yang memaparkan lukisan tradisional Korea yang kini tersimpan di muzium serta galeri seni terkemuka di seluruh dunia.

Menurut Overseas Korean Cultural Heritage Foundation, RM atau nama sebenarnya Kim Namjoon telah menyalurkan sumbangan bagi menyokong usaha pemeliharaan serta dokumentasi warisan seni Korea yang berada di luar negara.

Katalog berjudul ‘IT’S ____ HERE: Shining Korean Old Paintings Abroad’ itu diterbitkan menggunakan dana yang disumbangkan oleh RM pada tahun 2022. Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan khazanah seni Korea kepada masyarakat antarabangsa.

BACA: RM BTS Raih Status ‘Copyright King’, Antara 10 Penerima Royalti Lagu Tertinggi Di Korea Selatan

Sebelum ini, penyanyi dan penulis lagu berusia 32 tahun itu telah menyumbangkan sebanyak 100 juta Korea Won (kira-kira RM270,000) pada tahun 2021 dan sekali lagi pada 2022. Dana tersebut digunakan untuk menyokong pelbagai projek berkaitan pemeliharaan, pemulihan serta pemanfaatan warisan budaya Korea yang kini berada di luar negara.

Difahamkan, katalog berkenaan menghimpunkan sebanyak 24 karya lukisan Korea yang dihasilkan dalam tempoh kira-kira 400 tahun, bermula dari awal abad ke-16 sehingga abad ke-20 dan antara karya yang diketengahkan termasuk lukisan landskap, potret, lukisan dokumentari serta ilustrasi burung dan haiwan.

Pada masa yang sama, senarai karya yang diketengahkan dalam penerbitan ini ialah

Pyeongang Provincial Governor Welcoming the Successful Candidates of the State Examination yang kini disimpan di Peabody Essex Museum di Amerika Syarikat, selain Snowy Landscape at Hanrim Pavilion yang menjadi sebahagian koleksi Cleveland Museum of Art.

BACA: Selepas 11 Tahun! BTS Akhirnya Kembali Gegarkan Kuala Lumpur Selama 2 Malam Disember Ini!

Menariknya, karya-karya tersebut dipersembahkan dalam pelbagai bentuk seperti skrin lipat dan skrol gantung. Setiap lukisan turut disertakan imej beresolusi tinggi bersama penerangan terperinci bagi membantu orang ramai memahami nilai sejarah serta seni yang terkandung di dalamnya.

Di samping itu, pihak yayasan turut memaklumkan bahawa katalog tersebut telah diedarkan ke perpustakaan awam dan institusi penyelidikan utama di Korea serta beberapa negara lain. Usaha ini diharapkan dapat memperluaskan pengetahuan mengenai seni tradisional Korea di samping menjadi rujukan penting untuk pameran, pendidikan dan kajian akademik pada masa hadapan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE