Riuh Dalam Kabin ‘Business Class’! Peminat Serbu Tian Xu Ning Sebelum Pesawat Mendarat

Share

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila satu insiden kecoh telah berlaku dalam pesawat Xiamen Airlines penerbangan MF8330 dari Changsha ke Fuzhou pada 8 Julai lalu selepas sekumpulan peminat fanatik bertindak melulu menyerbu ke bahagian kelas perniagaan semata-mata mahu bergambar dengan pelakon sensasi China, Tian Xu Ning.

Menerusi sebuah rakaman video, insiden tersebut dipercayai  berlaku ketika pesawat sedang bersiap untuk mendarat dan  kelihatan tiga kru kabin bergelut untuk menghalang peminat yang cuba meluru ke tempat duduk pelakon berusia 27 tahun itu yang berada di kerusi bernombor 11L.

Dalam pada itu, ketika suasana semakin cemas, kru kabin dilihat menarik langsir pemisah antara kelas ekonomi dan perniagaan sambil merayu agar para penumpang kembali ke tempat duduk masing-masing.

“Jangan tolak ke depan, pesawat belum berhenti lagi,” kedengaran suara seorang pramugari yang jelas cuba mengawal keadaan demi keselamatan semua penumpang.

Keadaan kecoh dalam pesawat yang tular di media sosial

Sementara itu, menurut saksi yang berada dalam pesawat, Tian Xu Ning tidak menunjukkan sebarang reaksi sepanjang keriuhan tersebut berlaku. Malah, pelakon itu hanya duduk diam, dipercayai cuba mengelakkan sebarang provokasi.

Apa yang lebih mengejutkan, terdahulu dalam satu kejadian berasingan, Tian sekali lagi menjadi sasaran gangguan peminat sewaktu menaiki penerbangan lain. Namun kali ini, pelakon kacak itu dihujani tuduhan liar berkaitan dakwaan mempunyai teman wanita dan anak secara rahsia. 

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan Tian Xu Ning tampil menafikan semua tuduhan tidak berasas tersebut dan meminta peminat untuk tidak bertindak keterlaluan.

“Tian Xu Ning masih bujang dan tidak mempunyai anak. Kami mohon peminat untuk beri ruang dan hormat privasi beliau,” tegas wakil pengurusannya dalam satu kenyataan rasmi.

Sehubungan itu, insiden ini mencetus pelbagai reaksi orang ramai di media sosial China serta ada yang menganggap tindakan peminat tersebut sebagai keterlaluan dan langsung tidak menghormati ruang peribadi selebriti.

Di kesempatan yang sama, salah seorang pakar undang-undang China turut mengingatkan bahawa sebarang bentuk gangguan terhadap kru penerbangan serta tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan kabin adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang keselamatan awam.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga 200 yuan (sekitar RM130) atau hukuman penjara sehingga 10 hari. Malah, tindakan lebih tegas boleh dikenakan sekiranya keselamatan penerbangan terjejas secara langsung.

Sekadar info, nama Tian mula dikenali ramai selepas membintangi drama popular berjudul ‘Revenged Love’ yang melonjakkan namanya sejak awal tahun ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE