
Peserta Raise The Star Malaysia, Zuana Zulmat (30) baru-baru ini mencuri perhatian penonton sejak minggu pertama pertandingan apabila membawakan lagu ‘Seluruh Cinta’ nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan dengan penuh penghayatan hingga memperoleh markah tertinggi 65.83% daripada 30 peserta.
Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang membelenggu dirinya apabila nada suara beliau yang sering disamakan dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut gadis yang berasal dari Sandakan, Sabah itu, sebelum ini beliau merupakan penyanyi sepenuh masa untuk majlis korporat, perkahwinan dan pelbagai acara rasmi.
Selain itu, Zuana menyifatkan penyertaannya di Raise The Star Malaysia bukan sahaja satu percubaan, tetapi juga satu langkah besar apabila beliau buat pertama kali menjejak kaki ke Semenanjung Malaysia.
“Saya cabar diri saya dan bawa Mama datang ke Kuala Lumpur untuk pertandingan ini. Tak sangka daripada Top 100, boleh dapat Top 30 dan sekarang saya lepas untuk ke minggu seterusnya, rasa macam mimpi jadi kenyataan,” katanya terharu apabila ditemui pihak REMAJA pada malam sidang media Raise The Star Malaysia minggu pertama, malam tadi.
Dalam pada itu, Zuana mengakui bahawa vokalnya sebelum ini sering dikaitkan dengan lenggok dan nada suara persis biduanita kesayangan ramai Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Malam ini saya gementar sikit sebab bila kita bawa lagu Tokti, biasanya akan terikut nada beliau. Saya mengakui tone saya ramai yang samakan dengan Tokti,” jelasnya.
Namun, persamaan tersebut terlerai selepas sesi bersama guru vokal, Cikgu Delly yang memberi satu lembaran baru dalam pencarian identiti vokal beliau sebagai seorang penyanyi.
“Saya tanya Cikgu Delly ‘Cikgu sama ke suara saya dengan Tokti?’, jawabnya tak sama dan waktu tu saya rasa nak menangis sebab selama ini di Sabah, ramai cakap suara saya tiru Datuk Seri Siti Nurhaliza,” luahnya jujur.
“Saya juga masih mencari dan gali nada suara sebenar saya dan tidak mahu orang cakap saya tiru TokTi, walaupun beliau memang idola saya sejak dulu,” jelasnya yang turut meminati Ernie Zakri, Marsha Milan dan Nadeera.
Pada masa yang sama, Zuana bersyukur apabila persembahan beliau mendapat pujian juri dan berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok Top 5 minggu pertama.
“Saya tak sangka dapat komen terbaik dan dipilih juri. Terima kasih banyak kepada semua yang percaya pada saya,” ujarnya penuh rasa syukur.
Lebih manis lagi apabila Zuana turut menerima pujian daripada komposer dan juri tetap Raise The Star Malaysia, Ajai iaitu antara figura berpengaruh dalam industri muzik tanah air.
“Saya rasa sangat terharu dan dihargai bila insan hebat seperti Ajai beri komen membina. Saya tak nak terlalu memaksa diri sebab perjalanan saya masih jauh,” kata Zuana merendah diri.
Menerusi semangat baru dan motivasi daripada minggu pertama, Zuana bertekad untuk terus fokus dan memperkuatkan mental serta fizikal bagi mempersiapkan diri untuk tampil lebih yakin dalam pertandingan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.