
REXKL baru-baru ini bertukar menjadi sebuah dunia bawah tanah yang penuh misteri apabila Astro menganjurkan pengalaman imersif istimewa sempena francais animasi tempatan popular, Kisah Bawah Tanah (KBT).
Acara yang menghimpunkan rakan media, peminat, selebriti, pempengaruh dan para kolaborator itu bukan sahaja meraikan kejayaan siri animasi berkenaan, malah turut menyaksikan beberapa pengumuman menarik buat peminat setianya.
Dipenuhi dengan visual menyeramkan, instalasi karakter berskala besar dan paparan LED imersif yang menghidupkan suasana dunia bawah tanah KBT, malam tersebut menjadi bukti bagaimana siri animasi tempatan ini terus berkembang menjadi sebuah fenomena budaya pop yang mendapat tempat di hati ramai.
Sejak mula ditayangkan, Kisah Bawah Tanah berjaya mencuri perhatian penonton menerusi gabungan elemen seram, humor dan penceritaan penuh emosi yang diinspirasikan daripada cerita rakyat Asia Tenggara.
Pendekatan segar yang dibawakan siri ini turut menerima pujian ramai kerana berjaya memperkenalkan semula kisah-kisah rakyat tempatan kepada generasi baharu dalam bentuk yang lebih moden, menghiburkan dan mudah diakses oleh pelbagai lapisan penonton.
Malam penuh misteri itu dimulakan dengan sesi media eksklusif yang dihadiri wakil Astro bersama pasukan kreatif Kisah Bawah Tanah sebelum para tetamu dibawa “menyelusuri dunia bawah tanah” menerusi pengalaman After-Party terbuka kepada umum.
Antara pengumuman paling dinantikan pada malam tersebut ialah pengesahan bahawa Kisah Bawah Tanah bakal kembali dengan Part 2 yang menampilkan lapan episod baharu.
Bermula 8 Jun hingga 27 Julai 2026, siri sambungan itu dijangka membawa pengembaraan yang lebih besar, kemunculan makhluk yang lebih aneh serta pelbagai kekecohan baharu dari dunia bawah tanah yang semakin dekat di hati para peminat.
Menambahkan lagi kemeriahan dunia KBT, Astro turut memperkenalkan kolaborasi khas bersama kumpulan lelaki popular, ALPHA.
Kolaborasi tersebut hadir menerusi visualizer eksklusif berinspirasikan Kisah Bawah Tanah untuk lagu mereka berjudul Burn It Down.
Visualizer berkenaan menampilkan karakter ikonik KBT seperti Sam, Zack dan Ina bersama beberapa lagi penghuni dunia bawah tanah yang menjadi kegemaran peminat. Gabungan ini sekali gus menyatukan identiti muzik ALPHA yang berani dan penuh tenaga dengan dunia KBT yang berwarna-warni serta sarat dengan elemen fantasi.
Sambutan diteruskan menerusi Kisah Bawah Tanah After-Party yang membawa para jemputan dan orang ramai menyelami pengalaman bertemakan dunia bawah tanah secara lebih dekat.
Ruang acara diubah sepenuhnya dengan paparan visual LED 360 darjah, instalasi bertemakan dunia bawah tanah, potongan karakter bersaiz besar dan ruang interaktif yang direka khas bagi menghidupkan suasana seram namun menghiburkan seperti yang dipaparkan dalam siri tersebut.
Sepanjang malam berlangsung, para pengunjung turut disajikan dengan persembahan secara langsung, kemunculan khas bakat tempatan seperti Nadhir Nasar, Auddra, Qi Razali dan ramai lagi.
Turut mencuri perhatian adalah persembahan eksklusif daripada ALPHA serta set DJ bertenaga yang memastikan suasana meriah berterusan ketika para tetamu meneroka pelbagai aktiviti dan booth kolaborasi di seluruh lokasi acara.
Pengalaman imersif Astro Jom Turun Underground turut mendapat sokongan daripada pelbagai jenama tempatan yang membawa rasa, tenaga dan pengalaman tersendiri sepanjang acara berlangsung.
Mengangkat semangat #SupportLokal, setiap jenama tampil dengan sajian dan aktiviti eksklusif yang direka khas untuk para tetamu, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan malam tersebut.
Menurut Ketua Pemasaran Kumpulan Astro, Benjamin Woo, pihaknya berbangga melihat perkembangan Kisah Bawah Tanah yang kini berkembang melangkaui dunia animasi.
“Astro berbangga untuk memperkasakan Kisah Bawah Tanah (KBT) sebagai sebuah animasi tempatan pertama seumpamanya yang sedang mentakrif semula bagaimana cerita tempatan boleh dihidupkan dengan cara yang lebih segar dan kreatif.
“Melalui platform Astro, kami terus menyokong perkembangan sebuah visi kreatif yang benar-benar asli, yang kini berkembang melangkaui dunia animasi menjadi sebuah universe hidup yang merangkumi folklore, muzik dan pengalaman imersif bersama peminat.
“KBT membuktikan potensi luar biasa industri kreatif tempatan apabila para pencerita, artis dan inovator bergabung menghasilkan sesuatu yang unik dan memberi impak. Seiring usaha kami untuk terus memperkasakan harta intelek tempatan yang berani dan asli, Astro kekal komited dalam mengangkat animasi Malaysia serta penceritaan Asia Tenggara ke tahap yang lebih tinggi, menjangkau audiens baharu dan membuka lebih banyak ruang untuk bentuk ekspresi kreatif yang segar,” katanya.
Lebih daripada sekadar sebuah acara pelancaran, pengalaman imersif Kisah Bawah Tanah ini turut meraikan kekuatan industri kreatif Malaysia yang semakin berkembang serta komuniti peminat yang sentiasa menyokong animasi dan penceritaan tempatan.
Dengan pengumuman Part 2 serta sokongan berterusan daripada peminat dan para kolaborator, Kisah Bawah Tanah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara francais animasi tempatan paling menonjol dan berpengaruh di bawah Astro.
Para peminat boleh menantikan lebih banyak perkembangan menarik mengenai Kisah Bawah Tanah Part 2 yang bakal menemui penonton bermula 8 Jun ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.