Akhirnya setelah 5 tahun penuh penantian, “Spider-Man: Across the Spider-Verse” mula menemui penonton minggu lepas. Filem sekuel “Spider-Man: Into the Spider-Verse” itu ternyata tidak mengecewakan dengan animasi yang menakjubkan, watak yang tidak dapat dilupakan dan tema yang kompleks.
Sedikit ringkasan tentang filem animasi ini, Spider-Man: Across the Spider-Verse ialah filem wira animasi 2023 yang menampilkan watak Marvel Comics iaitu Miles Morales sebagai Spider-Man.
Sekuel kepada Spider-Man: Into the Spider-Verse (2018) ini berlatarkan alam semesta alternatif yang dipanggil ‘Spider-Verse’ dan diarahkan oleh Joaquim Dos Santos, Kemp Powers serta Justin K. Thompson.
Ads
Dalam filem tersebut, watak utama Miles Morales harus meneruskan pengembaraan bersama rakannya, Gwen Stacy merentasi ‘multiverse’ di mana dia bertemu pasukan baharu ‘Spider-People’ yang dikenali sebagai ‘Spider-Society’, diketuai oleh Miguel O’ Hara.
Di samping keseimbangan watak yang mengagumkan, filem animasi ini berjaya mengekalkan gaya filem kendiri mereka sendiri. Agak menarik bagi min apabila penonton dibawa ke alam semesta yang berbeza seperti alam semesta Spider-Man 2099 yang futuristik, dunia buku komik dan juga dunia Lego.
Setiap alam semesta diperkenalkan dengan naratif yang menarik dan mudah difahami.
Ads
Selain itu, elemen kasih sayang sesama ahli keluarga juga banyak diketengahkan. Ianya bukan sekadar filem adiwira bertempur namun lebih kepada nilai pengorbanan yang harus dilakukan demi yang tersayang.
Sejujurnya, filem 2 jam 21 minit itu berlalu dengan sekelip mata, meninggalkan penonton mahu lebih daripada itu. Wowzers sangat kan?
Haaa….jadi apa anda tunggu lagi?
Tonton di wayang berhampiran sementara tiket masih dijual!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sepanjang hujung minggu lepas, masyarakat Kadazan-Dusun telahpun meraikan Pesta Kaamatan di seluruh negara.
Juga dikenali sebagai Tadau Kaamatan, perayaan kali ini bagaimanapun lebih sederhana dan tidak diraikan seperti kebiasaan memandangkan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Namun apa yang penting adalah semangat meraikannya.
Bercakap mengenai Pesta Kaamatan, penulis pantas teringat dengan salah seorang finalis Dewi Remaja 2019 yang juga berasal dari Sabah iaitu Sharlina Gilbert Mojinun.
Pada tahun-tahun sudah, Sharlin akan kembali semula ke kampungnya di Panampang Sabah untuk bersama-sama dengan ahli keluarganya pada waktu ini. Namun seperti anak Sabah lain yang menetap di Kuala Lumpur, Sharlin juga perlu akur dengan keadaan semasa.
*
Menurutnya, antara momen manis semasa menyambut Pesta Kaamatan adalah pengalaman Sharlin menyertai pertandingan ratu cantik bernama Unduk Ngadau.
“Di Sabah, ramai kanak-kanak dan remaja perempuan yang akan menyertai Unduk Ngadau apabila tiba saja perayaan Pesta Kaamatan.
Kali pertama saya menyertainya adalah semasa di darjah dua. Dan kali kedua adalah setelah saya bekerja di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
“Mereka menganjurkannya di sini dan saya memenanginya! Lalu, saya mewakili Lembah Klang untuk bertanding di Panampang pada peringkat daerah. Tak sangka pula saya menempah tempat keenam pada waktu itu,” jelas Sharlin yang berpakaian tradisional lengkap Sinuangga dengan stail ‘rambut gong’.
Penulis tertanya-tanya juga apakah makna di sebalik pertandingan ratu cantik ini?
Menurut Sharlin, Unduk Ngadau berasal daripada perkataan ‘runduk tadau’ yang bermaksud ‘gadis yang dimahkotakan dengan cahaya matahari’.
Ia bagi memperingati seorang gadis bernama Huminodun yang mempunyai hati baik dan selalu menolong orang lain. Selepas Sabah diuji dengan musim kemarau, Huminodun menawarkan diri untuk dikorbankan. Menurut cerita lagenda, gadis tersebut dipotong kepada beberapa bahagian badan dan ditaburkan ke tanaman di sana seperti padi dan pohon buah-buahan agar ia kembali subur.
Selepas tujuh hari, gadis bernama Unduk Ngadau muncul dan dipercayai merupakan jelmaan semangat Huminodun yang dikorbankan tadi.
Bercakap mengenai tradisi lain sewaktu Pesta Kaamatan, masyarakat Sabah akan menyediakan beberapa makanan tradisi seperti Hinava Pampanga (sejenis hidangan ikan), Gutod (ulat sagu) dan buah Bambangan (jeruk mangga).
“Walaupun saya tidak dapat pulang ke Sabah pada tahun ini, tapi saya tahu keluarga dan rakan di sana masih meraikannya seadanya dengan jamuan makan malam bersama keluarga. Saya rindukan untuk menari Sumazau dan Magunatip (tarian buluh).
“Tak apalah, selepas PKPB nanti tentunya saya akan pulang ke Sabah untuk bertemu keluarga di sana,” katanya sebelum memberi ucapan di bawah:
Kopivosian, Izou ii Sharlina Gilbert mantad Kota Kinabalu, Penampang, maganu do kosivatan diti do mamason Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan Toun 2020 kumaa diozu saviai tuhun!
(Hello, nama saya Sharlina Gilbert berasal Kota Kinabalu, Penampang, ingin mangambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kaamatan kepada semua!)
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Persaingan untuk mewakili negara ke pertandingan ratu cantik Miss Universe sudah semestinya sengit pada setiap tahun.
Pada tahun ini, situasi pandemik akibat wabak Covid-19 di seluruh dunia memaksa setiap negara akur dengan norma baharu dalam menganjurkan pertandingan ratu cantik.
Bagaimanapun, itu tidak menghalang 5 buah negara dari rantau ASEAN ini untuk memahkotakan wakil negara masing-masing ke Miss Universe 2020.
Terbaru, kuasa besar ratu cantik iaitu Filipina telahpun memilih wakilnya untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh beberapa juara Miss Universe sebelum ini seperti Pia Wurtzbach dan Catriona Gray.
Siapakah mereka, jom lihat senarai ini.
01
FILIPINA
Rabiya Mateo.
Nama pemenangnya saja sudah membawa maksud Puteri ataupun Ratu.
Gadis kacukan Filipina-India, Rabiya Mateo, 23 merupakan pemenang terbaru dari rantau ASEAN setelah dia dimahkotakan sebagai Miss Universe Filipina 2020, hari ini.
Rabiya berdepan cabaran sengit daripada beberapa peserta kegemaran seperti naib juara Ysabella Ysmael, Michelle Gumabao (3), Pauline Amelinckx (4) dan Kimberly ‘Billie’ Hakenson (5). Namun, peserta dark horse ini berjaya mengenepikan empat peserta tersebut setelah melakukan persembahan yang cukup lancar pada segmen pakaian mandi, gaun dan sesi soal jawab.
Sedikit info mengenai Rabiya, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Fisioterapi ini merupakan calon ‘Valedictorian’ ataupun pelajar terbaik pada tahun 2018 dari Kolej Kedoktoran Iloilo.
Sepanjang musim pandemik, Rabiya aktif melakukan kerja-kerja kemanusiaan seperti menyediakan makanan kepada frontliners di hospital serta membantu mengutip dana untuk membeli pakaian PPE buat frontliner kesihatan dan pemandu teksi di sana.
02
MALAYSIA
Francisca Luhong James.
Yes guys, Malaysia pun sudah mempunyai wakil.
Sejak menyandang gelaran Miss Universe Malaysia pada 5 September lalu, kelibat Francisca Luhong James seakan berada di mana-mana. Malah, Fran, 25 juga sempat untuk melakukan trip ‘homecoming’ ke negeri kelahirannya, Sarawak.
Fran yang mempunyai darah kacukan Kayan-Kenyah dan Iban-Dayak tidak sabar untuk membawakan nama negara dan kebudayaan dirinya ke pertandingan Miss Universe kelak. Masakan tidak, Fran ialah wanita Dayak pertama yang pernah menjuarai dalam sejarah pertandingan.
Selain itu, Fran memaklumkan dalam temuramah eksklusif bersama REMAJA bahawa dia teruja untuk meneruskan kempen ‘Women Rise’. Ia bertujuan bagi membantu wanita Malaysia mempunyai platform untuk memperbaiki kualiti kehidupan dan mempunyai semangat berjuang.
03
THAILAND
Jika pada tahun 2019, Thailand berjaya menempatkan negara mereka di kedudukan Top 5 – all thanks to Paweensuda Drouin. Wakil Thailand berdarah kacukan Thai-Kanada itu meneruskan legasi wakil 2016 dan 2017 Thailand yang berjaya memperolehi kedudukan Top 5/6.
Untuk edisi 2020 ini, Thailand menobatkan model berusia 27 tahun, Amanda Obdam sebagai wakil ke Miss Universe. Menariknya, Amanda juga memiliki darah kacukan Thai-Kanada seperti Paweensuda.
Sedikit info mengenai Amanda, graduan Pentadbiran Perniagaan dan Ekonomi daripada University of Toronto, Kanada ini merupakan penyokong kegiatan kesedaran kesihatan mental dan ingin menyebarkan lagi kesedaran mengenainya.
04
INDONESIA
Ayu Maulida, 23 yang mesra dengan panggilan Ayuma merupakan di antara wakil rantau ASEAN terawal yang dinobatkan sebagai juara. Usai memenangi pertandingan Puteri Indonesia 2020 pada bulan Mac, dia kini aktif menjalankan tugas bersama Yayasan Puteri Indonesia di Jakarta.
Anak kelahiran Surabaya ini juga merupakan graduan jurusan undang-undang daripada Universitas Airlangga, Surabaya. Pada ketinggian 179sm, tidak hairanlah Ayuma banyak terlibat dengan dunia modelling. Malah dia juga pernah penyertai pertandinggan Asia Model Festival 2019 dan berjaya menyandang gelaran Face of Asia.
05
VIETNAM
Seawal bulan Disember tahun lepas lagi, model Nguyen Tran Khanh Van telah dinobatkan sebagai Miss Universe Vietnam dengan mengenepikan saingan 43 orang peserta lain.
Anak kelahiran Ho Chi Minh City ini pernah mengambil jurusan Seni Pementasan & Perfileman daripada Ho Chi Minh City Universiy dan bercita-cita untuk meneruskan impian menjadi seorang pelakon.
Negara ASEAN Yang Masih Tiada Wakil
Sementara itu, empat lagi negara dari rantau ASEAN masih belum memahkotakan sesiapa. Ini memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang memaksa mereka untuk menangguhkan pertandingan buat masa ini.
Ini termasuklah Myanmar, Laos, Cambodia dan Singapura. Walaupun lima buah negara yang sudahpun memiliki wakil (di atas) mempunyai potensi yang cerah untuk pergi jauh di Miss Universe 2020 kelak, kita tidak boleh menidakkan kehebatan 4 lagi buah negara ini.
Untuk pengetahuan, Miss Myanmar dan Miss Laos pernah memenangi kategori Kostum Nasional terbaik; masing-masing pada tahun 2017 dan 2018.
Miss Myanmar.Miss Laos.
All the best girls!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sesungguhnya, benar bahawa rezeki, jodoh, ajal serta maut itu berada di tangan Allah SWT.
Tengah hari semalam sekitar jam 1.00, pelakon senior negara, Allahyarham Azmil Mustapha telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Shah Alam.
Berusia 64 tahun, arwah meninggal dunia akibat masalah komplikasi jantung.
Walaupun mengetahui tentang kondisi kesihatan arwah, namun kami di Remaja baru saja menemui arwah pada pertengahan bulan Disember lalu apabila kami sempat menemu ramah arwah dalam satu sesi ringkas untuk Instagram LIVE.
Banyak yang sempat dikongsi arwah bersama Remaja dan salah satu daripada topik yang muncul adalah tentang keputusan arwah untuk membenarkan anak, Nur Alya Iman menceburi bidang peragaan fesyen Muslimah.
Walaupun baru berusia 17 tahun, Alya sudah popular di kalangan pereka fesyen Muslimah serta media Malaysia yang sering menjemputnya sebagai model.
Alya memulakan kerjaya sebagai model seawal usia 13 tahun berbekalkan kerja keras dan bukannya sekadar bersandarkan kepada paras rupa.
“Benar, dia seorang model. Sekarang pun (pada Disember lepas) masih shooting lagi,” kata arwah.
“Jika ada yang tanya kenapa anak model, ayahnya begini (guru agama), saya hanya boleh berkata hidayah itu milik Allah SWT.
“Anak saya muda lagi, minat pula ke arah itu… jadi kita okay sajalah. Kalau nak cakap lebih-lebih pun, kita dulu pun dalam bidan ini juga.
“Tak apalah, kita doa yang baik-baik saja,” tuntas arwah yang sememangnya mudah ramah walaupun dengan orang yang tidak dikenali.
Sementara itu, Alya turut berkongsi tentang pesanan arwah ayahnya.
“Babah pernah meniti zaman populariti dulu dan dia sentiasa mengingatkan saya supaya berhati-hati dan bersedia dengan asam garam dunia modelling.
“Dia tak pernah menghalang malah menyokong minat saya. Namun dia mahu saya menjaga batas, pergaulan serta menjaga nama baik keluarga.
“Asalkan saya pandai menjaga aurat, tak meninggalkan solat dan tak abaikan pelajaran, babah akan terus menyokong kerana dia tahu saya boleh menjaga diri,” kongsi Alya.
Sebagai seorang yang amat rapat dengan ayahnya memandangkan Alya adalah anak bongsu, dia mengambil tanggungjawab untuk menjaga arwah sepenuh masa kerana adik-beradik lain sudah mempunyai komitmen keluarga masing-masing.
“Pernah juga saya ajak babah teman ke event fesyen. Dia sporting dan akan temankan jika ada masa terluang.”
Takziah kami ucapkan kepada seluruh keluarga dan kenalan rapat Allahyarham Azmil Mustapha. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.
Amin.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!