
Dalam usia baru 14 tahun, Nasha Abdul Wahab sudah mula mencuri perhatian dengan kisah yang bukan sekadar tentang bola sepak, tapi juga tentang identiti, impian dan perjalanan mencari tempat di pentas lebih besar.
Dilahirkan dan membesar di Brussels, Belgium, Nasha Abdul Wahab membawa latar belakang yang cukup unik darah Itali dari sebelah ibu, manakala akar Malaysia pula datang daripada bapanya, dengan datuk sebelah ayah berasal dari Segamat, Johor.
Hubungan itu bukan sekadar fakta keluarga, tapi sesuatu yang sangat dekat di hati Nasha, menjadi antara pendorong terbesar dalam perjalanan bola sepaknya.
Sejak kecil, Nasha Abdul Wahab sudah terdedah dengan pelbagai budaya dan cara hidup yang membentuk dirinya sebagai seorang pemain muda yang berdisiplin. Membesar di Eropah memberikan kelebihan dari segi pendedahan kepada sistem bola sepak yang lebih tersusun dan kompetitif.
Namun begitu, identiti Malaysia tetap kuat dalam dirinya. Nilai kekeluargaan serta hubungan dengan asal-usul bapanya terus menjadi sumber motivasi utama dalam setiap langkah yang diambil.
Di atas padang, Nasha Abdul Wahab bukan pemain yang statik. Walaupun sering diturunkan di posisi pertahanan, dia sebenarnya lebih “hidup” bila bermain di midfield. Di situlah dia rasa bebas, boleh jadi lebih kreatif, dan benar-benar mengekspresikan gaya permainan sendiri.
Ada fleksibiliti, ada instinct, dan yang penting ada kefahaman permainan yang matang untuk usia semuda itu. Keupayaan ini menjadikan Nasha antara pemain muda yang mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih jauh.
Perjalanan Nasha Abdul Wahab bersama kelab Union Saint-Gilloise juga dilihat semakin stabil. Integrasinya dalam pasukan berjalan lancar, dan dia sendiri mengakui rasa disokong oleh persekitaran sekeliling.
Menariknya, musim ini turut memberi kelebihan tambahan apabila bapanya sendiri menjadi jurulatih. Bagi Nasha, situasi itu bukan tekanan, sebaliknya satu bentuk bimbingan yang membantu dia berkembang dengan lebih terarah.
Gabungan hubungan kekeluargaan dan profesional ini memberi kelebihan dari segi disiplin, komunikasi dan pemahaman taktikal dalam permainan.
Namun di sebalik semua ini, ada satu impian besar yang sentiasa menjadi fokus utama untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan wanita Malaysia, atau Malayan Tigresses.
Bagi Nasha Abdul Wahab, impian ini bukan sekadar pencapaian dalam karier, tetapi simbol kebanggaan buat diri dan keluarga. Ia juga menjadi cara untuk menghargai hubungan yang sudah lama terjalin dengan tanah air bapanya.
Walaupun dibesarkan di luar negara, keinginan untuk mewakili Malaysia jelas menunjukkan betapa kuatnya ikatan emosi yang dimiliki terhadap negara tersebut.
Lebih menyentuh, Nasha Abdul Wahab turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan yang mula diterima daripada peminat, walaupun perjalanan masih panjang.
Dalam dunia bola sepak moden yang semakin kompetitif, sokongan seperti ini memberi kesan besar kepada keyakinan pemain muda. Ia menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha dan memperbaiki diri.
Jika segalanya berjalan lancar, tidak mustahil suatu hari nanti Nasha Abdul Wahab akan berdiri megah di atas padang, membawa nama Malaysia di dada dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Sumber : Instagram Nasha Dulco
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.