Remaja Jual Burger Jadi Mangsa Kecurian Terima “Hadiah” Telefon Bimbit Dari Ketua Polis

Share

Jika kita merasa kehidupan kita susah, ingatlah masih ramai lagi yang diuji dengan kesusahan yang mungkin kita sendiri belum tentu boleh menghadapinya.

Sumber Gambar : Polis Daerah Petaling Jaya

Jika remaja seusianya sedang seronok berehat di rumah ketika musim cuti sekolah tetapi tidak buat  adik Muhammad Faisal Nor Faizal Nordin. Baru berusia 14 tahun, remaja ini  mengambil peluang cuti persekolahan untuk berniaga burger di tepi jalan di Petaling Jaya untuk mencari duit poket sendiri.

Namun, usaha murninya ini ditimpa malang apabila remaja ini mengalami kerugian selepas beberapa barangan di gerainya dicuri.

Hal ini terjadi sekitar pukul satu pagi baru-baru ini apabila adik Faisal meninggalkan gerainya sebentar untuk ke tandas. Apabila pulang ke gerai semula, didapati telefon bimbit, sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan serta barang-barang niaga didakwa telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber : Facebook Polis Daerah Petaling Jayapolis

Bagi adik ini, apalah lagi yang mahu diharapkannya untuk dijadikan sumber pendapatan, melainkan wang hasil jualan burgernya itu.

Langit tidak sentiasanya mendung, bagaimanapun kes kecurian ini sampai ke pengetahuan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook Polis Daerah Petaling Jaya malam tadi, difahamkan Nik Ezanee bersama pasukannya telah bertandang ke gerai burger adik Faisal semalam.

Atas dasar kemanusiaan dan ihsan, pihaknya bersetuju memberi sumbangan berupa sebuah telefon bimbit baharu buat anak muda ini.

Difahamkan, pemberian ‘hadiah’ itu adalah sebagai suntikan semangat buatnya agar cekal dan tabah mendepani cabaran hidup.

Kisah adik Faisal dan Nik Ezanee ini mendapat pujian dan penghargaan daripada segenap warganet, rata-rata mereka memuji kecekalan adik Faisal mencari rezeki pada usia muda serta keprihatinan Nik Ezanee selaku anggota polis.

Sumber Gambar : Polis Daerah Petaling Jaya

Situasi ini mengajar kita semua bahawa slogan ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’ itu bukanlah sekadar kata-kata, tapi ia realiti yang perlu dikota.

Semoga urusan adik Faisal ini dan keluarganya dipermudahkan dan teruskan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa kerana insyaAllah hidup akan lebih diberkati. Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan buat Nik Ezanee dan pihak IPD Petaling Jaya atas sumbangan ini.

Kalau ada yang lalu di kawasan adik ini berniaga, sama-samalah kita bantu dengan membeli jualan burger dia.

Penulis yakin masyarakat Malaysia ramai yang prihatin kan?

Sumber : Facebook Polis Daerah Petaling Jaya 

IKLAN