Di tepi jalan sebuah kawasan kediaman di Pasir Gudang, Johor, berdiri sebuah gerai kecil yang mungkin nampak biasa pada pandangan pertama. Tapi di sebalik gerai air tembikai ini, tersembunyi satu kisah yang cukup menyentuh hati.
Bagi Muhammad Zufar Azman, 17 tahun, setiap cawan air yang terjual bukan sekadar minuman tapi satu langkah kecil ke arah berdikari. Kisah remaja disleksia jual air tembikai ini mula mencuri perhatian ramai kerana keunikan dan keikhlasan yang dibawanya.
“Seronok bila orang datang beli air tembikai saya,” katanya ringkas, tapi cukup jujur.
Zufar merupakan seorang remaja istimewa yang menghidap disleksia, satu keadaan yang menyebabkan dia menghadapi kesukaran membaca dan mengira sejak kecil. Namun itu bukan alasan untuk dia berhenti mencuba.
Dengan bantuan adik-beradiknya, dia mula mengusahakan gerai air tembikai sejak awal tahun ini, betul-betul di tepi jalan berhampiran rumah keluarganya.
Usaha remaja disleksia jual air tembikai ini bukan sahaja membuka peluang mencari pendapatan, malah menjadi latihan berdikari dalam kehidupan seharian.
Konsep Unik “Bayar Seikhlas Hati”
Apa yang membuatkan gerai ini unik bukan sekadar minuman yang dijual, tapi konsep yang digunakan iaitu “bayar seikhlas hati”.
Ads
Menurut kakaknya, Haziqah Azman, 27 tahun, pendekatan ini diperkenalkan kerana kekangan Zufar dalam mengendalikan transaksi biasa.
Pendekatan ini menjadikan kisah remaja disleksia jual air tembikai ini lebih istimewa dan berbeza daripada gerai lain.
Walaupun ada pelanggan yang membayar serendah 10 sen atau 50 sen, mereka tetap dilayan dengan penuh mesra. Malah, pelanggan bebas mengambil sebanyak mana cawan yang mereka mahu.
Di situ terletaknya keikhlasan yang jarang kita jumpa hari ini. Ia bukan sekadar jual beli, tetapi satu bentuk kepercayaan antara penjual dan pelanggan.
Haziqah berharap usaha kecil ini mampu menjadi titik permulaan untuk adiknya belajar berdikari, tanpa perlu terlalu bergantung kepada keluarga pada masa akan datang.
Menariknya, sejak kisah remaja disleksia jual air tembikai ini mula tular di TikTok, gerainya mula mendapat perhatian ramai. Bukan sahaja pelanggan datang membeli, malah ada juga yang menyumbang wang infak setiap hari sebagai tanda sokongan.
Sokongan ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan keyakinan diri Zufar untuk terus berniaga dan berinteraksi dengan orang ramai.
Namun di sebalik senyuman dan semangatnya, Zufar sebenarnya turut berdepan cabaran kesihatan. Dia kini berada di bawah pemantauan perubatan kerana menghidap kencing manis, darah tinggi dan masalah obesiti.
Walaupun begitu, semangat remaja disleksia jual air tembikai ini tidak pernah luntur. Dia tetap hadir ke gerai setiap hari dengan harapan untuk terus belajar dan berdikari.
Ads
Bila ditanya tentang masa depan, jawapannya bukan tentang kereta mewah atau kejayaan besar. Dia cuma mahu menjaga ibu dan ayahnya.
Dan mungkin, dalam dunia yang semakin sibuk mengejar kejayaan, kisah remaja disleksia jual air tembikai ini jadi satu peringatan bahawa kadang-kadang, kebahagiaan sebenar datang dari perkara yang paling simple.
Dan mungkin juga, dari segelas air tembikai yang dibayar seikhlas hati.
Sumber : Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kemalangan maut pelajar UniSZA di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada Isnin telah menggemparkan orang ramai apabila polis mengesahkan pemandu Honda Jazz yang terlibat mempunyai rekod rawatan psikiatri sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu dikenal pasti menghidap Major Depressive Disorder (MDD) dan telah beberapa kali menerima rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bermula Januari 2025.
Menurut beliau, suspek kini masih dirawat di hospital sama selepas mengalami patah tangan kanan serta beberapa kecederaan lain akibat kemalangan tersebut.
“Suspek masih hidup dan berada dalam keadaan stabil. Dakwaan yang mengatakan suspek telah meninggal dunia adalah tidak benar. Dia dijangka menjalani pembedahan bagi kecederaan tangan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan.
Perbuatan Sebelum Kejadian Berlaku
Siasatan awal polis mendapati sebelum kemalangan maut pelajar UniSZA itu berlaku, suspek dipercayai mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai kira-kira RM200 daripada sebuah kenderaan yang diparkir berhampiran Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sekitar jam 1.45 tengah hari.
Selepas kejadian itu, suspek masuk semula ke dalam kenderaannya dan memandu dengan laju sebelum terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, seperti yang dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka.
ACP Azli menjelaskan hasil semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati Honda Jazz yang dipandu lelaki tersebut adalah milik adiknya dan bukan kenderaan curi seperti yang tular di media sosial selepas kemalangan maut pelajar UniSZA itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa dan suspek.
Menurut polis, suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas selesai menjalani rawatan dan disahkan benar-benar sihat.
Butiran Mangsa Dan Kronologi Nahas
Dalam kejadian kira-kira jam 1.55 tengah hari itu, mangsa Syakirah Hanan Mazli, 25, yang memandu Perodua Viva dari arah UniSZA menuju ke Bukit Kecil dipercayai sedang membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau sebelum dirempuh sebuah Honda Jazz dari arah bertentangan.
Mangsa merupakan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Universiti Sultan Zainal Abidin dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Tragedi ini menjadikan kemalangan maut pelajar UniSZA tersebut antara insiden jalan raya paling menyayat hati di Terengganu setakat ini.
Sumber : MalaysiaGazette
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan 2026 Kembali Jadi Perhatian
Bantuan Awal Persekolahan 2026 (BAP) kembali menjadi perhatian apabila kerajaan mengesahkan bantuan kewangan RM150 secara one-off akan diteruskan bagi sesi persekolahan tahun hadapan. Inisiatif ini melibatkan lebih 5.2 juta pelajar di seluruh negara merangkumi sekolah rendah, menengah serta pelajar Tingkatan Enam.
Bantuan Awal Persekolahan 2026
Pengumuman rasmi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu dilihat sebagai langkah signifikan dalam membantu pelajar dan keluarga membuat persiapan awal persekolahan, terutama ketika kos sara hidup terus menjadi cabaran kepada ramai isi rumah.
Menariknya, bantuan ini diberikan tanpa mengira pendapatan ibu bapa atau penjaga. Pendekatan ini menjadikan Bantuan Awal Persekolahan 2026 lebih inklusif dan menyeluruh, sekali gus memastikan setiap pelajar menerima manfaat yang sama tanpa diskriminasi latar belakang ekonomi.
Agihan Bermula 11 Januari 2026
Bagi tahun 2026, penyaluran Bantuan Awal Persekolahan akan dilaksanakan secara serahan tunai di sekolah. Agihan dibuat menerusi program pertemuan antara guru dan ibu bapa, sama seperti kaedah yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Menurut kenyataan KPM, pendekatan ini bukan sahaja memastikan penyampaian bantuan lebih teratur dan telus, malah membantu mengukuhkan hubungan kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam menyokong perkembangan akademik serta kebajikan pelajar.
Untuk makluman, agihan bantuan dijadualkan bermula seawal 11 Januari 2026 (Ahad) dan akan dibuat secara berperingkat di sekolah-sekolah seluruh negara. Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar sentiasa peka dengan makluman rasmi pihak sekolah masing-masing bagi mengelakkan sebarang kekeliruan semasa hari agihan.
RM800 Juta Diperuntukkan Untuk BAP
Terdahulu, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan menerusi Belanjawan 2026. Jumlah peruntukan yang besar ini membuktikan bahawa pendidikan kekal sebagai antara keutamaan utama negara dalam memastikan akses pembelajaran tidak terjejas akibat kekangan kewangan.
Selain itu, kerajaan turut memperluas Bantuan Am Persekolahan (BAPs) kepada murid miskin sehingga Tingkatan Lima, berbanding hanya sehingga Tingkatan Tiga sebelum ini, dengan peruntukan sebanyak RM180 juta. Langkah ini dijangka memberi kelegaan kepada keluarga berpendapatan rendah dan mengurangkan risiko keciciran pelajar.
Sokongan Tambahan Melalui Biasiswa
Dalam masa sama, Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) turut menerima peruntukan RM150 juta bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Bantuan ini penting bagi memastikan pelajar yang memerlukan terus mendapat sokongan kewangan sepanjang tempoh persekolahan.
Pendidikan Lebih Inklusif & Menyeluruh
Keseluruhan langkah ini selari dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memastikan akses pendidikan yang adil, inklusif dan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Selain bantuan kewangan, kerajaan turut meneruskan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan peruntukan RM870 juta. Program ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 870,000 murid di seluruh negara bagi memastikan keperluan pemakanan pelajar terus terjamin sepanjang sesi persekolahan.
Secara keseluruhan, Bantuan Awal Persekolahan 2026 bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi simbol sokongan berterusan kerajaan terhadap masa depan pendidikan generasi muda agar setiap pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersedia, yakin dan bermotivasi.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 yang bakal dilancarkan kerajaan menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara. Antara perubahan utama yang diperkenalkan ialah penetapan gred C sebagai syarat minimum lulus bagi empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, sasaran ini bersifat mandatori dan bertujuan memastikan murid di peringkat sekolah rendah dan menengah benar-benar menguasai asas pembelajaran sebelum melangkah ke tahap seterusnya.
Beliau menegaskan bahawa penguasaan minimum ini penting bagi mengelakkan situasi murid terus naik tahap walaupun masih lemah dalam kemahiran asas yang sepatutnya dikuasai lebih awal.
Empat Subjek Teras Sebagai Asas Pembelajaran
Keempat-empat subjek teras yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 dipilih kerana peranannya yang kritikal dalam membentuk kemahiran asas murid.
KPM Mansuh Peperiksaan
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris berfungsi sebagai teras komunikasi serta pemahaman akademik, bukan sahaja dalam pembelajaran harian malah dalam kehidupan bermasyarakat. Matematik pula membantu membina pemikiran logik, analitikal dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Sejarah memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri murid, memperkukuh kefahaman terhadap identiti nasional serta memberi kesedaran tentang perjalanan dan pembinaan negara.
Dengan penetapan gred C sebagai penanda aras minimum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap murid bukan sekadar mampu menjawab peperiksaan, tetapi benar-benar memahami kandungan pembelajaran secara menyeluruh.
Penekanan Kepada Akademik Dan Kesejahteraan Fizikal
Selain pencapaian akademik, Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 turut menekankan pembangunan murid secara holistik.
KPM menetapkan sasaran agar 90 peratus murid Tahap Dua sekolah rendah hingga Tingkatan Lima mencapai piawaian standard dalam penilaian kecergasan fizikal dan kesihatan.
Bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Pendekatan ini selari dengan hasrat melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi intelek, fizikal dan emosi, selaras dengan keperluan dunia moden yang menuntut daya tahan mental, disiplin diri dan kesejahteraan menyeluruh.
Pelan Berasaskan Tujuh Teras Utama
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 dirangka berasaskan tujuh teras utama yang merangkumi petunjuk prestasi jelas serta inisiatif penambahbaikan jangka pendek atau “quick wins”.
Langkah ini bertujuan memastikan hasil awal dapat dicapai sambil membina asas kukuh untuk pelaksanaan jangka panjang yang lebih mampan.
Menurut laporan media, keutamaan di bawah tujuh teras ini adalah untuk memastikan sistem pendidikan negara menjadi lebih inklusif, dinamik dan relevan, selain memaksimumkan potensi setiap murid melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna.
Gambae Hiasan. NSTP/SURIANIE MOHD HANIF
Fokus Kepada Kualiti Pengajaran Dan Pemantauan
Mohd Azam turut menegaskan bahawa kejayaan pelan ini tidak seharusnya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu dinilai melalui kualiti pengajaran dalam bilik darjah, tahap penglibatan murid dalam aktiviti sekolah serta hubungan interaksi harian antara guru dan pelajar.
Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, KPM telah menubuhkan unit khas untuk memantau kemajuan, menyelaras strategi dan memastikan setiap pembaharuan dilaksanakan sehingga ke peringkat sekolah.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 ini dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dilihat sebagai usaha jangka panjang untuk melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berkemahiran serta seimbang dari segi sahsiah dan kesejahteraan diri.