Remaja Dicabul Pendakwah Selebriti, Nurul Izzah Tampil Bela Mangsa

Share

Terbaru, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkongsi satu pendedahan kes amang seksual melibatkan seorang remaja lelaki yang menjadi mangsa kepada seorang pendakwah selebriti.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Nurul Izzah berkongsi bahawa remaja terbabit yang masih bersekolah telah diajak oleh suspek ke negeri lain kononnya untuk menonton persembahan nasyid. Namun, ajakan tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri.

“Adik tak rasa curiga, sebab dia percaya – dalam fikirannya, ustaz itu adalah insan yang baik, dihormati, dan tokoh pembimbing agama,” tulisnya.

“Namun, malam itu segalanya berubah. Ustaz tu mula masukkan tangan dia dalam seluar adik… dan meraba-raba,” jelasnya lagi.

Disebabkan trauma dan ketakutan, remaja tersebut terpaksa mengurung dirinya di dalam tandas hotel selama lima jam sebelum berjaya melarikan diri setelah suspek tertidur. Dia kemudian segera menghubungi keluarganya dan membuat laporan polis.

Apa yang lebih mengejutkan, keluarga mangsa turut dimaklumkan bahawa terdapat beberapa laporan polis lain terhadap suspek yang sama sebelum ini, namun tiada tindakan tegas diambil terhadapnya.

Walau bagaimanapun, sebaliknya kini suspek pula menyaman keluarga mangsa atas dakwaan fitnah dan menuntut permohonan maaf secara terbuka di media.

Kredit foto: Facebook Nurul Izzah Anwar

“Beberapa hari lalu, keluarga ini pula disaman oleh ustaz tersebut dengan saman fitnah bernilai ratusan ribu ringgit, mereka diminta membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi siaran akhbar,” kata Nurul Izzah.

“Mereka adalah keluarga B40. Simpanan pun hampir tiada,” ujarnya.

Terangnya lagi, mangsa kini mengalami trauma mendalam, memerlukan rawatan psikologi secara berkala dan turut berdepan kemerosotan akademik akibat tekanan emosi yang berterusan.

Pada masa yang sama, Nurul Izzah turut memberi jaminan bahawa beliau dan pasukannya akan membantu dari segi sokongan guaman, kebajikan dan moral kepada keluarga mangsa dalam memperjuangkan keadilan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE