Remaja dan Juadah Ramadan

Share

Bulan Ramadan ialah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Bulan suci Ramadan, bulan kemuliaan dan keberkatan yang melimpah ruah. Berbicara tentang Ramadan, umat Islam khususnya sudah tentu terfikir tentang persiapan untuk menyambut bulan ibadat ini.

Antaranya, rancangan berbuka puasa, solat jemaah, dan bacaan tadarus al-Quran. Lebih menarik lagi, kepelbagaian juadah berbuka puasa turut menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat, sama ada masyarakat muslim dan bukan muslim.

Namun, malangnya sebilangan peniaga tempatan tidak peka dan cakna semasa mempamerkan nama makanan, misalnya “mi” ditulis sebagai “mee”.

Kesalahan ejaan yang dilakukan oleh para peniaga sudah tentulah membawa kecelaruan kepada pengguna kata dalam bahasa Melayu.

Oleh sebab itu, dalam penulisan kali ini, penulis ingin berkongsi aspek ejaan beberapa perkataan yang sering disalah guna oleh pengguna bahasa, khususnya melibatkan kepelbagaian makanan di Malaysia.

Antara juadah popular rakyat Malaysia. Sumber gambar: Maggi

Ejaan “kuetiau” misalnya dieja salah oleh sebilangan besar pengguna bahasa. Ejaan yang tepat ialah “kuetiau”. Jika diperhatikan di restoran atau gerai makanan, banyak berlaku kesalahan ejaan, ada yang menulisnya sebagai “kuey tiaw”, “kotiaw”, “kueh tiyaw” dan sebagainya.

Lebih malang lagi, kesalahan ejaan pada gegantung, kain rentang dan papan iklan telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan pengguna, khususnya para pelajar atau remaja.

Selain “mi” dan “kuetiau”, “martabak” juga sering dieja salah pada papan tanda di gerai atau premis makanan. Kebanyakan pengusaha gerai makanan mengeja “martabak” sebagai “murtabak”. Ejaan yang betul ialah “martabak”.

Ejaan yang betul adalah ‘Mi’ bukan ‘Mee’. Sumber gambar: pexels.com

Begitu juga ejaan “pasembur”. “Pasembur” sering dieja sebagai “pasembor”. Hal ini sudah tentu membawa kesan yang tidak baik kepada pengguna bahasa. Lebih menarik perhatian penulis, kepelbagaian ejaan “putu mayang” pada gegantung atau kain rentang dilihat agak melucukan, pelbagai bentuk ejaan dipamerkan, ada yang menulis sebagai “putu mayong”, “putu mayam”, “putu mayom”, malah ada yang menulis “putu makyong”. Ejaan yang tepat ialah “putu mayang”.

Kepelbagaian bentuk ejaan yang tidak tepat bukan sahaja menyebabkan kecelaruan penggunaan kata, malah membawa kesan buruk yang berpanjangan kepada generasi kita, khususnya pengguna bahasa Melayu.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Puan Nor Fazilah binti Noor Din

IKLAN