Bulan Ramadan ialah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Bulan suci Ramadan, bulan kemuliaan dan keberkatan yang melimpah ruah. Berbicara tentang Ramadan, umat Islam khususnya sudah tentu terfikir tentang persiapan untuk menyambut bulan ibadat ini.
Antaranya, rancangan berbuka puasa, solat jemaah, dan bacaan tadarus al-Quran. Lebih menarik lagi, kepelbagaian juadah berbuka puasa turut menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat, sama ada masyarakat muslim dan bukan muslim.
Namun, malangnya sebilangan peniaga tempatan tidak peka dan cakna semasa mempamerkan nama makanan, misalnya “mi” ditulis sebagai “mee”. Kesalahan ejaan yang dilakukan oleh para peniaga sudah tentulah membawa kecelaruan kepada pengguna kata dalam bahasa Melayu.
Oleh sebab itu, dalam penulisan kali ini, penulis ingin berkongsi aspek ejaan beberapa perkataan yang sering disalah guna oleh pengguna bahasa, khususnya melibatkan kepelbagaian makanan di Malaysia.
Ads
Antara juadah popular rakyat Malaysia. Sumber gambar: Maggi
Ejaan “kuetiau” misalnya dieja salah oleh sebilangan besar pengguna bahasa. Ejaan yang tepat ialah “kuetiau”. Jika diperhatikan di restoran atau gerai makanan, banyak berlaku kesalahan ejaan, ada yang menulisnya sebagai “kuey tiaw”, “kotiaw”, “kueh tiyaw” dan sebagainya.
Lebih malang lagi, kesalahan ejaan pada gegantung, kain rentang dan papan iklan telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan pengguna, khususnya para pelajar atau remaja.
Ads
Selain “mi” dan “kuetiau”, “martabak” juga sering dieja salah pada papan tanda di gerai atau premis makanan. Kebanyakan pengusaha gerai makanan mengeja “martabak” sebagai “murtabak”. Ejaan yang betul ialah “martabak”.
Ads
Ejaan yang betul adalah ‘Mi’ bukan ‘Mee’. Sumber gambar: pexels.com
Begitu juga ejaan “pasembur”. “Pasembur” sering dieja sebagai “pasembor”. Hal ini sudah tentu membawa kesan yang tidak baik kepada pengguna bahasa. Lebih menarik perhatian penulis, kepelbagaian ejaan “putu mayang” pada gegantung atau kain rentang dilihat agak melucukan, pelbagai bentuk ejaan dipamerkan, ada yang menulis sebagai “putu mayong”, “putu mayam”, “putu mayom”, malah ada yang menulis “putu makyong”. Ejaan yang tepat ialah “putu mayang”.
Kepelbagaian bentuk ejaan yang tidak tepat bukan sahaja menyebabkan kecelaruan penggunaan kata, malah membawa kesan buruk yang berpanjangan kepada generasi kita, khususnya pengguna bahasa Melayu.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Puan Nor Fazilah binti Noor Din
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, tekong utama skuad sepak takraw negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi (30), secara rasmi dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), sekaligus mengesahkan statusnya sebagai antara pemain elit paling berpengaruh di pentas antarabangsa ketika ini.
Pengiktirafan tertinggi itu diumumkan oleh Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader menerusi satu kenyataan rasmi badan induk dunia berkenaan, yang turut disertakan penganugerahan Sijil Kecemerlangan Antarabangsa Terbilang kepada Syahir.
Menurut kenyataan sijil tersebut, pengiktirafan berprestij itu diberikan susulan prestasi konsisten dan memukau yang dipamerkan Syahir dalam tiga kejohanan utama antarabangsa iaitu Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.
“Melalui penguasaan teknik elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental dan kecemerlangan kompetitif, beliau secara konsisten beraksi di tahap tertinggi sepak takraw antarabangsa,” tulis kenyataan berkenaan.
“Pengiktirafan berprestij ini dianugerahkan sebagai penghormatan terhadap sumbangan cemerlang dalam sepak takraw antarabangsa, komitmen terhadap kecemerlangan serta integriti kesukanan, selain peranannya dalam meningkatkan martabat sepak takraw Malaysia di peringkat global,” jelas kenyataan itu lagi.
Pada masa yang sama, sentuhan berbisa Syahir di posisi tekong bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan skuad negara, malah turut membantu meningkatkan imej dan martabat sukan sepak takraw Malaysia di mata dunia.
Selain itu, apa yang lebih membanggakan, ISTAF turut mengakui kemampuan Syahir memberikan saingan sengit serta mencabar dominasi pemain elit Thailand telah menarik perhatian meluas dalam kalangan pemerhati sukan serantau.
Sementara itu, media sukan Thailand sendiri dilaporkan mengiktiraf kehebatan Syahir dan mengangkatnya sebagai antara tekong paling digeruni dunia ketika ini, sekaligus membuktikan impak besar beliau dalam landskap sepak takraw antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Aaron Tai berjaya meraih gelaran naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan 2026 selepas tewas kepada wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam aksi final yang berlangsung di Arena Taipei, semalam.
Gandingan pilihan kelima kejohanan berkenaan terpaksa akur dengan kekalahan ‘straight set’ 21-23, 19-21 selepas berdepan tentangan sengit daripada pasangan pilihan kelapan dari Indonesia. Walaupun gagal membawa pulang kejuaraan, Aaron dan Tai mempamerkan persembahan meyakinkan sepanjang perlawanan.
Set pembukaan berlangsung cukup seimbang apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata sehingga permainan berlanjutan ke deuce. Namun, Leo-Daniel lebih tenang memanfaatkan peluang pada saat genting untuk menutup set pertama dengan kemenangan 23-21.
Memasuki set kedua, beregu negara cuba mengubah rentak permainan bagi mengheret aksi ke set penentuan. Bagaimanapun, pasangan Indonesia berjaya mengekalkan konsistensi dan mengawal tekanan dengan baik sebelum memastikan kemenangan 21-19 sekaligus muncul juara kejohanan.
Walaupun tewas di pentas final, pencapaian itu tetap memberi tanda positif buat Aaron dan Tai yang baru digandingkan bulan lalu. Malah, Terbuka Taiwan 2026 merupakan penampilan sulung mereka dalam aksi final sejak membentuk gandingan baharu.
“Saya rasa kami telah memberikan yang terbaik hari ini dan tahniah kepada pemenang. Mereka bermain dengan sangat baik dan pada saat-saat genting, mereka memberikan tekanan yang sangat tinggi kepada kami,” kata Aaron.
Pada masa yang sama, Aaron turut melihat perkembangan positif dalam keserasian mereka meskipun Terbuka Taiwan hanyalah kejohanan kedua yang disertai sebagai pasangan. Prestasi dipamerkan sepanjang kejohanan itu dianggap sebagai petunjuk awal bahawa gandingan tersebut berada di landasan yang tepat untuk terus berkembang.
Untuk info, Aaron Chia-Aaron Tai dijadualkan meneruskan cabaran di Korea Masters 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 9 Ogos. Mereka pastinya bertekad menggunakan momentum positif yang diraih di Taipei untuk menguji kemampuan serta memburu kejayaan lebih besar dalam kejohanan seterusnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Umum serba tahu mengenai keunikan industri tekstil Malaysia yang telahpun dibawa ke peringkat antarabangsa bertahun-tahun lamanya.
Terbaru, salah satu fabrik warisan negara iaitu tenun pahang diraja kini sedang dipamerkan secara eksklusif di United Kingdom!
Acara yang dikenali sebagai Pameran Tenun Pahang Diraja ini diadakan buat julung kalinya di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square sempena Minggu Kraf London. Menariknya, pameran sehingga Ahad ini adalah inisiatif Raja Permaisuri Agong Malayia sendiri, DYMM Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Di sana, pelbagai hasil tenunan lain daripada yang lain ada dipamerkan bagi tontonan pemerhati antarabangsa. Ada yang dihasilkan oleh penghuni Penjara Penor dan Bentong di Pahang. Terdapat juga busana yang diambil daripada koleksi persalinan tenun Raja Permaisuri Agong sendiri untuk dipamerkan.
Semalam, baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta delegasinya yang tiba di United Kingdom; dalam perjalanan mereka ke Washington DC untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.
Lapor pemberita di sana, Perdana Menteri melahirkan rasa bangga terhadap sambutan yang diterima di Pameran Tenun Pahang diraja itu dan kini lebih bersemangat untuk terus memperkembangkan potensi industri tekstil warisan negara seperti tenunan dan batik secara besar-besaran.
Kata beliau lagi yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, kerajaan Pahang sedang mencadangkan penubuhan pusat tenunan di Pekan, Pahang di mana lebih banyak peluang latihan teknikal dan vokasional dalam industri tekstil akan diwujudkan selepas ini.
REMAJA pasti, ramai anak muda yang bercita-cita untuk mendalami jurusan pembuatan tekstil akan lebih berkobar-kobar untuk mengambilnya apabila peluang sedemikian semakin luas dibuka dengan sokongan kerajaan Malaysia.
Untuk pengetahuan korang, Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam kini membuka peluang kemasukan sesi Julai 2022. Permohanan boleh dilakukan secara atas talian DI SINI dan tempat adalah terhad. Pastikan korang yang berminat menghantarkan permohonon sebelum 15 Jun 2022 okay.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!