Berita

Kes Tikam Di Sekolah: Remaja Perempuan Didakwa Cuba Membunuh, Jalani Pemeriksaan Mental Di Hospital Bahagia

Share

Terbaru, remaja perempuan yang didakwa terbabit dalam kejadian tikaman membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh di Mahkamah Majistret Telok Datok, pada Jumaat.

Memetik laporan media tempatan, remaja berusia 15 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan selepas dipercayai menyerang seorang rakan sekolah menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.

Difahamkan, mahkamah kemudian memerintahkan remaja terbabit dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan serta penilaian mental selama sebulan.

BACA: “Kena Tengok Keadaan…” –Bapa Mangsa Tikaman 16 Kali Belum Terima Permohonan Maaf

Perintah tersebut dibuat selepas mengambil kira keadaan kes yang melibatkan mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU), selain permohonan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut pertuduhan, pelajar Tingkatan Tiga itu didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dengan menggunakan pisau dengan niat menyebabkan kematian. Kesalahan itu didakwa berlaku di sekolah berkenaan sekitar pukul 9.50 pagi pada 6 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, remaja terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun mengikut peruntukan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pisau yang digunakan oleh seorang individu yang dipercayai menikam seorang pelajar sekolah di Banting.
Pelajar perempuan yang menjadi mangsa tikaman di sebuah sekolah hari ini dilaporkan stabil.

BACA: Pelajar Perempuan Cedera Ditikam Di Sebuah Sekolah Menengah Di Banting

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid mengendalikan pendakwaan, manakala remaja berkenaan diwakili peguam. Mahkamah turut menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, laporan media memaklumkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun mengalami kecederaan selepas dipercayai ditikam berulang kali oleh rakan sekolahnya ketika waktu rehat di kantin. Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan termasuk pada bahagian paru-paru dan sedang menerima rawatan di hospital.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE