Semangat kesukanan yang tinggi jelas dapat dirasai pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet kelainan upaya intelek (ID) yang berlepas ke Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023, semalam.
Bertempat di kampus Sunway University di Bandar Sunway, seramai 16 orang atlet kelainan upaya (OKU) telah diraikan dengan panji bendera dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan atlet, jurulatih dan para penaja mereka sebelum membawa cabaran negara ke temasya yang akan berlangsung dari 17 hingga 25 Jun itu.
Antara yang tersenyum riang ketika ditemui REMAJA di majlis tersebut termasuklah atlet remaja kelainan upaya pembelajaran, Nur Ameer Muqsiq yang bakal mewakili negara untuk kali pertama di peringkat antarabangsa.
Ameer, 19 akan bertanding dalam tiga acara olahraga termasuklah larian 100m, 4x100m dan lompat jauh. Jelas, remaja yang turut menghidap disleksia itu kini lebih bersemangat untuk bersaing; lebih-lebih lagi apabila mereka diberikan kata-kata semangat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri dalam majlis tersebut.
Ads
Nur Ameer Muqsiq. Sumber Foto: BERNAMA
“Saya rasa seronok dan gementar. Saya telah mula berlatih sejak tahun lepas, saya berlatih dua kali seminggu di rumah dan di Stadium Perak bersama jurulatih (S. Manogaran),” ujar remaja yang berasal dari Perak itu.
Jurulatihnya dalam pada itu menyifatkan Ameer sebagai seorang atlet yang amat mendengar kata dan memberikan sepenuh perhatian ketika melakukan latihan. Malah, Ameer amat teruja setiap kali S. Manogaran membawanya melihat perlawanan di stadium dan ia sedikit sebanyak menaikkan semangatnya untuk mewakili Malaysia.
Ads
Sebagai info, Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 akan mempertandingkan 26 acara. Persaingan tentu sengit apabila atlet Malaysia bakal disertai oleh 7,000 atlet lain dari 190 negara. Selain Ameer, seramai 15 lagi atlet OKU Malaysia yang lain akan membawa cabaran negara dalam enam acara sukan termasuklah olahraga, renang, badminton, pingpong, boling dan bocce.
Selain dana sebanyak RM160,000 yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan kontinjen negara ke Berlin, kontinjen Malaysia juga mendapat sokongan daripada beberapa rakan penaja termasuklah penaja utama, U Mobile.
Ads
Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian tampil mengucapkan selamat bertanding kepada pasukan Malaysia pada temasya kali ini dan berharap agar kerjasama yang terjalin ini akan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai atlet kurang upaya intelek (ID) yang mempunyai keupayaan luar biasa.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pembentukan sesuatu kata berlaku melalui proses pengimbuhan, penggandaan, dan pemajmukan. Proses penggandaan bagi sesuatu kata bermaksud sesuatu kata dasar yang diulang sama ada dalam bentuk penggandaan penuh, penggandaan separa, atau penggandaan berentak.
Menerusi penulisan kali ini, penulis akan membincangkan penggandaan yang melibatkan perbuatan yang berulang-ulang, misalnya menggeleng-geleng dan mengangguk-angguk.
Dalam sesuatu ayat, jenis kata yang membawa maksud jamak tidak boleh diulang penggunaannya. Misalnya, kata “kuih-muih” telah menunjukkan jumlah yang banyak. Maka, ayat “Ibu menghidangkan pelbagai kuih-muih” tidak tepat.
Hal ini bertepatan dengan konsep perbuatan yang berulang-ulang dalam kata “menggeleng-geleng” dan “mengangguk-angguk”. Lihat contoh di bawah:
Ali menggeleng-geleng kepalanya berkali-kali kerana tidak bersetuju.
Ali menggeleng-geleng kepalanya kerana tidak bersetuju.
Ramli mengangguk-angguk berulang kali kepalanya tanda setuju.
Ramli mengangguk-angguk kepalanya tanda setuju.
Berdasarkan ayat di atas, hanya ayat (b) dan (d) tepat, manakala ayat (a) dan (c) menunjukkan kelewahan kerana disertakan dengan frasa “berkali-kali” dan “berulang kali”, sedangkan makna “menggeleng-geleng” telah menunjukkan perbuatan yang berulangan.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Nor Fazilah binti Noor Din.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Seperti yang pernah disiarkan menerusi artikel REMAJA sebelum ini, Azeem Fahmi merupakan seorang atlet muda yang menempa kejayaan sama naik dalam dalam bidang sukan dan akademik.
Anak jati Perak ini sudahpun mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sekaligus mendapat peluang untuk berlatih bagi memperhebatkan lagi skil lariannya.
Terbaharu, Azeem yang ketika itu ditemui pihak media di lapangan terbang sebaik sahaja tiba dari Colombia berkongsi mengenai keputusannya untuk menyambung pengajian ke Amerika Syarikat. Kongsinya, dia sudahpun mendapat tawaran ke University of Houston yang terletak di Texas ataupun Auburn University yang terletak di Alabama.
“Di Houston, komuniti Islam di sana besar yang mana sedikit sebanyak dapat membantu saya dan menjamin keadaan saya di sana. Dari segi latihan, Universiti Houston sudah melahirkan ramai jaguh pecut bertaraf dunia.
“Shaun Maswanganyi dari Afrika Selatan yang turut beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 turut dilahirkan di universiti itu. Ia juga terkenal kerana ketua jurulatihnya adalah Carl Lewis,” ujarnya. Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Carl Lewis merupakan pemenang pingat emas Olimpik sebanyak sembilan kali dan ini menjadi kelebihan bagi pelari pecut berusia 18 tahun ini untuk mendapat bimbingan terbaik.
Walaupun begitu pemegang rekod baharu acara pecut 100-meter kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat ini turut mepertimbangkan untuk ke Auburn University dek kerana kecemerlangan akademik yang ditonjolkan oleh universiti berkenaan.
“Baru-baru ini saya juga mendapat tawaran daripada Universiti Auburn di mana mereka lebih bagus dari segi akademik berbanding universiti-universiti lain. Setakat ini, dua universiti tersebut berada dalam fikiran saya sekarang.
“Kedua-dua universiti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Bagaimanapun, kedua-dua universiti ada dalam divisyen satu (saingan olahraga AS), jadi ia beri peluang kepada saya untuk menyertai kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik dan Liga Berlian,” kongsinya lagi.
Belum lagi membuat keputusan universiti mana yang bakal bakal dipilihnya, Azeem berkata lagi bahawa dia akan melakukan perbincangan bersama keluarga serta jurulatih untuk membuat keputusan yang terbaik bagi masa depannya.
REMAJA mengucapkan Syabas kepada Azeem dan semoga terus menjadi contoh terbaik kepada anak muda Malaysia di luar sana yang turut mahu bergiat aktif sebagai seorang atlet.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Apakah yang dimaksudkan dengan “Jamak”? Dalam bidang linguistik “jamak” bererti “banyak”, contohnya perkataan “kuih-muih”. Perkataan ini merujuk kepada “banyak jenis kuih” kerana adanya penggandaan berentak dalam “kuih-muih”. Dalam sesuatu ayat, jenis kata yang membawa maksud jamak, tidak boleh diulang penggunaannya. Mari kita lihat beberapa ayat contoh di bawah:
Ribuan penonton membanjiri majlis itu.
Penonton membanjiri majlis itu.
Ribuan penonton mengunjungi majlis itu.
Merujuk kepada tiga ayat di atas, hanya ayat (b) dan (c) yang tepat. Jika kita perhatikan ayat contoh (a), kata ‘ribuan’ menunjukkan bilangan lebih daripada satu. Pada masa yang sama, kata ‘membanjiri’ dalam ayat (a) merujuk makna ‘datang banyak-banyak’. Maka, penggunaan kedua-dua kata tersebut dalam ayat (a) dianggap lewah atau berlebihan. Mari kita teliti ayat dibawah:
Baju-baju yang dijual itu mahal-mahal belaka.
Baju yang dijual itu mahal belaka.
Contoh ayat (a) tidak gramatis, manakala ayat (b) ialah ayat yang tepat. Kata nama ganda “baju-baju” dan kata adjektif ganda ‘mahal-mahal’, seperti dalam ayat (a), tidak boleh ditulis dalam ayat yang sama kerana dianggap lewah.
Pada masa yang sama, kekeliruan juga timbul semasa penggandaan kata “guru besar”. Antara berikut, manakah penggandaan yang tepat?
Guru-guru besar.
Guru besar-guru besar.
Guru besar-besar.
Jika diteliti tiga contoh perkataan di atas, hanya (a) dan (c) yang tepat. ‘Guru-guru besar’ membawa makna bilangan guru besar (jawatan) yang ramai. Manakala, ‘guru besar-besar’ pula merujuk jumlah guru yang lebih daripada satu dan berbadan besar. Bagi perkataan (a), penggandaan hanya berlaku pada unsur pertama sahaja untuk membawa makna guru besar yang ramai. Manakala, perkataan (c) merujuk kepada guru yang mempunyai badan yang besar.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Akhirnya terjawab! Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac 2026bersamaan 1 Syawal 1447H.
Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Penyimpan...