Bisnes

Remaja 17 Tahun Digelar ‘Pembela Digital’, Lindungi Warga Emas Dari Penipuan Siber

Share

Remaja 17 tahun digelar ‘pembela digital’, Tejasvi Manoj dari Frisco, Texas, Amerika Syarikat berjaya mencuri perhatian dunia selepas membangunkan platform khas untuk melindungi warga emas daripada menjadi mangsa penipuan siber.

Kisah inspirasi ini bermula pada Februari 2024 apabila datuknya yang berusia 85 tahun hampir terpedaya dengan e-mel palsu kononnya daripada ahli keluarga, meminta wang sebanyak $2,000 (lebih RM8,400). Mujurlah keluarganya cepat menyedari helah itu dan berjaya menghalang transaksi. Namun, pengalaman tersebut membuka mata Tejasvi tentang betapa mudahnya warga emas terjebak dengan taktik licik scammer.

Sebagai pelajar tahun akhir sekolah menengah, Tejasvi merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer, dengan minor dalam AI atau keselamatan siber. — Agensi

Sejak itu, Tejasvi mula menjalankan kajian mendalam. Data FBI pada 2024 sahaja mencatatkan hampir 860,000 kes penipuan siber dengan kerugian melebihi $16 bilion (lebih RM68 bilion). Warga emas merupakan golongan paling terkesan dengan kerugian hampir $5 bilion — peningkatan 32% berbanding tahun sebelumnya.

Hasilnya, lahirlah Shield Seniors, sebuah laman web yang mesra warga emas dengan tulisan besar, tema biru lembut dan ciri interaktif untuk memberi kesedaran tentang scam. Platform ini juga dibangunkan bersama bimbingan ibu bapa dan jiran yang bekerja dalam bidang kejuruteraan perisian.

Remaja berusia 17 tahun itu sudah mula menjadi sukarelawan sejak darjah enam. — Agensi

Apa yang menarik, walaupun sibuk dengan aktiviti lain — daripada menyertai Scouting America

(hingga memperoleh pangkat Eagle Scout), bermain biola dalam orkestra sekolah, mengajar Matematik dan bahasa Inggeris kepada pelarian Bhutan secara dalam talian, hingga menyertai kerja sukarela di North Texas Food Bank — Tejasvi tetap memberi tumpuan terhadap misi melindungi warga emas.

Shield Seniors kini mula mendapat perhatian besar, termasuk daripada organisasi American Association of Retired Persons (AARP) yang menjemput Tejasvi membentangkan projeknya. Malah, platform ini sudah dipromosikan di LinkedIn dan menerima maklum balas positif daripada komuniti.

Sebagai pelajar tahun akhir, Tejasvi merancang menyambung pengajian dalam bidang sains komputer dengan fokus kepada kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber. Lebih daripada itu, dia mahu memperluas Shield Seniors agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai warga emas di seluruh dunia.

“Pastikan anda selalu mengambil tahu keadaan orang tersayang. Pastikan mereka selamat dalam talian,” pesan Tejasvi, yang kini benar-benar menjadi contoh bahawa usia muda bukan penghalang untuk membawa perubahan besar.

 BACA LAGI : RM2.28 Juta Pampasan! Remaja Alami Kerosakan Otak Kekal Akibat Kecuaian Doktor Semasa Dilahirkan

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana