Penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein, mengakui keputusan untuk berhijab bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya datang dengan penuh keikhlasan selepas hatinya tersentuh melihat keberanian para sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.

“Rasa Insaf Tengok Perjuangan Mereka” – Elly Mazlein Akui Keputusan Bertudung Datang Lepas Tonton Misi Gaza!

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, kesedaran untuk menutup aurat hadir secara semula jadi selepas dia mengikuti rapat perkembangan misi bersejarah itu yang disertai ramai aktivis dan artis Malaysia termasuk Heliza Helmi dan Ardell Aryana.

Ads

“Saya mohon semua doakan yang baik-baik untuk saya. Sudah tentu saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk diri sendiri. Tiada istilah cuba-cuba. Kadang-kadang jihad seseorang itu yang buat diri rasa insaf. Rasa kagum dan sangat hebat, terutama sekali melihat semangat rakan-rakan yang terlibat dengan misi GSF ke Gaza,” katanya.

Pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu turut berkongsi bahawa perjuangan sukarelawan di bumi Palestin benar-benar membuka matanya tentang makna sebenar pengorbanan, kekuatan iman dan keberanian dalam mempertahankan kebenaran. Melihat semangat wanita berhijab yang berdiri di barisan hadapan tanpa gentar membuatkan dirinya mahu berubah ke arah lebih baik.

Ads

“Mereka berjuang untuk bantu saudara kita yang ditindas, tapi dalam masa sama masih menjaga maruah dan aurat. Dari situ saya rasa sangat malu dan tersentuh. Saya fikir, kalau mereka boleh kuat di sana, kenapa saya tak boleh berubah di sini?” luahnya lagi.

Dalam masa sama, Elly turut menegur segelintir pihak yang masih mempertikai usaha para sukarelawan yang membawa mesej keamanan dan bantuan ke Gaza.

“Saya mohon sangat, hentikan kata-kata yang bukan-bukan. Usaha mereka itu cukup baik. Mengapa perlu kita patahkan semangat mereka dengan kata-kata yang tidak cerdik? Daripada sibuk mempertikai, lebih baik kita sama-sama doakan mereka yang sedang berjuang dalam misi Global Sumud Flotilla,” tegasnya.

Keputusan Elly untuk berhijab disambut dengan penuh rasa bangga oleh peminat dan rakan selebriti yang memuji perubahan positif dirinya. Ramai juga menganggap penghijrahan itu sebagai bukti bahawa hidayah boleh hadir melalui pelbagai cara, termasuk melalui perjuangan kemanusiaan yang menyentuh jiwa.

Ads

Kini, penampilan sopan dan tenang Elly menjadi inspirasi kepada ramai wanita muda yang turut berusaha memperbaiki diri. Baginya, perubahan bukan sekadar soal imej, tetapi tentang kekuatan hati untuk mendekatkan diri kepada Allah.

“Saya hanya harap Allah tetapkan hati saya. Saya nak istiqamah, nak jadi lebih baik, dan semoga perubahan ini kekal sampai bila-bila,” katanya penuh rendah diri.

Langkah berani Elly Mazlein ini membuktikan bahawa setiap insan boleh berubah apabila hati disentuh oleh kisah perjuangan dan kasih sayang sesama manusia. Kadang-kadang, keinsafan yang datang tanpa dijangka mampu menjadi titik mula kepada perjalanan hijrah yang paling indah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads